Tuntunt Hutang Amy seach
Khamis, 29 Julai 2010
KUALA LUMPUR: “Kalau mereka hendak ambil tindakan undang-undang, saya tidak boleh buat apa-apa,” kata penyanyi rock ternama tanah air, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search berhubung sebuah syarikat logistik yang bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana didakwa gagal membayar kos perkhidmatan pengangkutan bagi menjayakan Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru, tahun lalu.
Amy, 51, berkata dia melakukan kesilapan kerana memberi kepercayaan kepada seorang rakan menguruskan konsert itu sehingga menimbulkan pelbagai masalah lain.
“Saya tidak tahu perlu membayar kos pengangkutan itu kerana saya difahamkan ia ditaja ketika perbincangan dijalankan.
“Saya tidak tahu hendak buat apa sekarang, kalau mereka mahu ambil tindakan undang-undang, saya terima,” katanya yang dihubungi semalam.
Sebelum itu ketika ditemui di Balai Berita semalam, Pengarah Urusan Wanaf Logistics (M) Sdn Bhd (Wanaf), Wan Ahmad Fazlisyah Wan Mohamad memberitahu pihaknya bercadang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap penyanyi rock itu kerana pembayaran masih belum dibuat selepas hampir setahun konsert itu berakhir.
Wanaf dilantik membawa semua peralatan pentas termasuk sistem bunyi ke lokasi konsert yang dianjurkan sebagai penghargaan kepada peminat bermula awal Mei dan berakhir Ogos tahun lalu.
Wan Ahmad Fazlisyah berkata, mengikut perjanjian antara syarikatnya dengan Amy pada awal Februari, Wanaf menyediakan lima treler membawa peralatan ke lokasi konsert.
“Bagaimanapun kami hanya membawa peralatan ke tiga lokasi, Seberang Jaya, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Jengka, Pahang manakala di Terengganu, perkhidmatan kami dibatalkan dan terpaksa berpatah balik atas alasan mereka mempunyai masalah kewangan.
“Baki perkhidmatan kami belum dibayar sehingga kini kira-kira RM200,000. Pada mulanya Amy berjanji membayar semua hutang dan memberikan tiga cek, tetapi malangnya cek tendang.
“Selepas berulang kali hubungi lama-kelamaan dia mengelak, malah panggilan dan surat tuntutan tidak dilayan,” katanya.
Menurutnya, walaupun kecewa dengan sikap penyanyi itu, pihaknya masih bersabar dan menggunakan cara rasmi untuk menuntut pembayaran seperti menghantar surat selain berusaha menghubunginya.
“Ini kali pertama Wanaf terbabit menyediakan perkhidmatan untuk konsert dan pada mulanya kami cukup gembira kerana berpeluang bekerjasama dengan penyanyi terkenal, malah dapat menyumbang sesuatu untuk konsert itu.
“Tetapi sekarang saya cukup terkilan pembayaran tidak dibuat selepas setahun manakala penyanyi itu masih mengadakan persembahan baru-baru ini. Kami membuka ruang membincangkan perkara ini seluas-luasnya dan tiada niat selain menuntut hak kami,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields kelmarin. Beliau berkata, pihaknya berharap maklum balas Amy untuk menyelesaikan pembayaran tertunggak selama setahun itu.
“Seboleh-bolehnya kami tidak mahu sehingga peringkat tindakan undang-undang kerana masih mengharapkan perbincangan, tetapi jika masih tidak diendahkan, kami terpaksa lakukannya,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan