Klik disini

Memaparkan catatan dengan label pkr. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pkr. Papar semua catatan

Mansuh Diskaun Rumah Rm500,000 keatas bumiputera:selangor

Rabu, 28 Julai 2010



Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata cadangan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua supaya diskaun bumiputera dimansuhkan dalam pembelian rumah adalah bagi hartanah bernilai RM500,000 ke atas.

Beliau berkata Pua tidak mencadangkan pemansuhan diskaun bagi pembelian rumah kos rendah atau mampu milik dalam lingkungan RM250,000 seunit.

Ditanya sama ada cadangan itu akan diambil kira dalam pembentangan bajet negeri bagi 2011, Abdul Khalid berkata: "Kalau setuju akan ditulis dalam ucapan bajet, kalau tak ada, kita diam sahaja."

Katanya, cadangan Pua itu ada rasionalnya kerana jika berhasrat membantu mereka yang kurang berkemampuan, diskaun tersebut perlu ditumpukan kepada golongan berkenaan.

"Kedua, antara sebab dia (Pua) katakan (perkara) tersebut, kalau diskaun tujuh peratus untuk rumah RM1 juta, orang itu akan dapat diskaun RM70,000.

"Kalau dia beli rumah tu kemudian jual pada harga pasaran, dia sudah dapat RM70,000 atau kurang sedikit," katanya selepas penutupan Majlis Dialog Bajet 2011 Selangor di siniSelasa.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri mendapati urusniaga sedemikian telahpun berlaku.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Dana Program Ramadan di Gaza anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama gabungan badan bukan kerajaan Malaysia.

Katanya, program itu dijangka dapat mengumpul dana sebanyak RM3 juta dan sebagai permulaan, kerajaan negeri memberikan sumbangan berjumlah RM500,000.

Kutipan derma juga akan dilakukan pada setiap solat Jumaat, selain mengharapkan sumbangan daripada syarikat berkaitan dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata hasil kutipan dalam bentuk makanan, minuman, ubat-ubatan dan bahan pendidikan akan dihantar ke ke Gaza melalui misi yang disertai 40 aktivis diketuai Pengarah Penerangan Selangor Dr Badrul Amin Bahron.

Mereka akan bertolak dari Kuala Lumpur pada 6 Ogos ini dan kembali ke tanah air pada 18 Ogos.

Read more...

Protes Kepala Lembu

Selasa, 27 Julai 2010




Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 kepada semua 12 lelaki yang dituduh terlibat dalam perhimpunan haram sambil membawa kepala lembu pada tahun lalu.

Hakim Hasbi Hasan memutuskan perkara itu selepas kesemua 12 tertuduh mengaku salah.

Mereka ialah Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36, dan timbalannya, Ibrahim Sabri, 42; Eyzva Ezhar Ramly, 31; Mohd Azmir Mohd Zain; 35, Ahmad Suhairi Zakaria, 30; Mohd Hilmi Ni, 40; Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67; Mohd. Jurit Ramli, 39; Mohammad Nordin Zakaria, 56; Jamil Mohamad Isa, 40; Rahimuddin Md. Harun, 39; dan Azhari Shaari, 39.

Semua mereka mengaku bersalah setelah pihak pendakwaan meminda tuduhan mengikut Seksyen 143, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman lebih ringan.

Sebelum ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis

Read more...

polis Nafi geledah pejabat pkr

Khamis, 22 Julai 2010



Polis hari ini memberi penjelasan berhubung kehadiran mereka di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Polis sekaligus menafikan bahawa mereka mahu menggeledah bangunan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abd Manan Mohd Hassan berkata polis sebenarnya sedang menyiasat Ahli Majlis Tertinggi PKR iaitu Badrul Hisham Shaharin di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan.

Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard ditahan di Pejabat Perhubungan PKR Negeri Sembilan di Jalan Rahang di sini pada 9 Julai lepas, kerana didakwa memuatkan artikel berunsur hasutan di dalam blognya, mengenai Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja.

Beliau kemudiannya dibebaskan.

"Untuk melengkapkan siasatan itu, pihak polis memerlukan beberapa bahan dan salah satu bahan yang diperlukan ialah komputer riba Badrul Hisham.

"Jadi pihak polis telah pergi ke Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya untuk mendapatkan komputer riba tersebut yang dimaklumkan kepada pihak polis oleh Badrul Hisham, bahawa artikel tersebut (bahan bukti) telah ditulis di sana," kata Abd Manan kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau menjelaskan polis terlebih dahulu mendapat kebenaran mahkamah untuk memperolehi bahan bukti berkenaan.

Beliau berkata semasa pihak polis sedang memeriksa ibu pejabat PKR itu, Pegawai Penyiasat ASP Affendy Sulaiman telah menerima panggilan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Badrul Hisham sendiri yang menyatakan komputer riba tersebut berada bersamanya.

"Hasil daripada SMS tersebut, maka pihak polis telah menghentikan pemeriksaan di Ibu Pejabat PKR itu dan balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di mana Badrul Hisham telah berjanji untuk menyerahkan komputer riba tersebut.

"Kira-kira pukul 5.45 petang Rabu, Badrul Hisham datang ke IPD Seremban dan menyerahkan komputer riba tersebut kapada Affendy.

"Jadi dalam hal ini tidak timbul isu seperti mana yang dilaporkan dalam akhbar yang menyatakan bahawa pihak polis hendak melakukan penggeledahan. Sebenarnya ia lebih kepada untuk membantu siasatan.

"Kita nak dapatkan komputer riba itu, kita nak tahu apa yang ada dalam kandungannya. Penting komputer riba itu untuk dikaji, untuk nak buktikan ada atau tidak apa-apa elemen hasutan di dalamnya.

"Kita telah pun dapat komputer riba tersebut dan siasatan akan diteruskan," kata Abd Manan.

Read more...

3 kes profil tinggi babit menteri, MB ditutup: SPRM

Rabu, 21 Julai 2010



KUALA LUMPUR: Sebanyak tiga kes berprofil tinggi yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan Menteri dan Menteri Besar ditutup ekoran tiada bukti kukuh yang menyokong kes terbabit.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Hadenan Jalil, berkata kes berkenaan adalah pemberian rasuah membabitkan kereta jenis Alphard kepada Isteri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan penerimaan RM10 juta oleh bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berhubung skandal PKFZ.
"Satu lagi membabitkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung siasatan jamuan hari raya pada 2008," katanya pada sidang akhbar di sini, sebentar tadi.

Read more...

Esok Penentu Petisyen Hulu Selangor

Selasa, 20 Julai 2010




Mahkamah Pilihan Raya Selasa menolak bantahan awal oleh peguam Datuk Zaid Ibrahim dan akan mendengar permohonan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan, untuk membatalkan petisyen yang dikemukakan oleh peguam itu.

Hakim Datuk Azahar Mohamed memerintahkan hakim pilihan raya mempunyai kuasa sedia ada untuk menolak atau melupuskan petisyen itu sekira ianya cacat.

Mahkamah diberi kuasa untuk berbuat demikian jika petisyen itu tidak memenuhi syarat mandatori yang ditetapkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954, katanya.

Azahar berkata beliau akan mendengar merit permohonan Kamalanathan esok.

Zaid, kini sebagai Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, kalah kepada Kamalanathan dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 25 April lalu.

Pada 24 Mei lalu, Zaid memfailkan petisyen supaya keputusan pilihan raya kecil itu diisytiharkan tidak sah dan batal dengan mendakwa berlaku rasuah dalam bentuk sogokan kepada penduduk di kawasan itu.

Zaid menamakan Kamalanathan, pegawai pengurus pilihan raya Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Azahar berkata beliau juga akan mendengar bantahan awal yang dikemukakan oleh SPR atas alasan Zaid telah gagal menyediakan bukti secukupnya terhadap dakwaan rasuah itu.

Beliau menjelaskan kuasa yang diberikan kepada hakim pilihan raya untuk menolak petisyen pilihan raya telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam beberapa kes sebelum ini.

"Pada petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh pengundi PAS, Ahmad Jamaluddin Abd Majid terhadap Rafidah Aziz, Mahkamah Persekutuan memerintahkan bahawa hakim pilihan raya mempunyai kuasa untuk menolak petisyen itu sekiranya mempunyai kecacatan," katanya.

Zaid dan Kamalanathan hadir di mahkamah hari ini.

Kamalanathan, yang juga Ketua Penerangan MIC, telah memohon untuk membatalkan petisyen itu atas alasan ianya mengaibkan, remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Katanya Zaid gagal mendedahkan identiti orang yang dikatakan telah ditawarkan rasuah.

Peguam Zaid, Azahar Azizan Harun, sebelum itu mengemukakan bahawa di bawah Seksyen 36(1) Akta Kesalahan Pilihan raya 1965, hakim pilihan raya tidak mempunyai kuasa untuk melupuskan petisyen itu tetapi harus menentukan sama ada wujud sebarang amalan rasuah atau amalan haram dalam perbicaraan penuh.

Peguam Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Kamalanathan, berhujah bahawa ada beberapa petisyen pilihan raya ditolak tanpa perbicaraan penuh dan ianya disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Oleh itu, Mahkamah Pilihan Raya tertakluk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan," katanya.

Read more...

Pemuda Umno selangor Hantar Dokumen isu Pasir Ke SPRM




Pemuda Umno Selangor pada Selasa menghantar sejumlah dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini sebagai sokongan kepada dakwaan penyelewengan pasir yang dibuat Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Noh Omar Sabtu lepas.

Ketua Penerangannya Safarizul Mustafa berkata dokumen setebal setengah inci itu dihantar bersama bukti seperti resit rasmi berkaitan aktiviti penjualan dan pembelian pasir di negeri itu.

"Buah semangka berdaun sirih, mengata orang dia yang lebih. Kita bukan seperti mereka yang mendakwa tanpa bukti, jadi hari ini kita kemukakan bukti kepada SPRM untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata semua dokumen itu diperolehi daripada badan perhubungan Umno Selangor.

Pemuda juga akan terus mengumpul bukti berhubung isu pasir di negeri tersebut bagi memastikan isu berkenaan diambil serius oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, katanya.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini mendakwa mempunyai bukti wujud penyelewengan dan amalan pilih kasih oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam menawarkan pembelian pasir kepada syarikat kontraktor.

Antaranya beliau mendakwa KSSB memberi diskaun 22 peratus atau RM4 bagi pembelian setiap tan pasir yang berharga RM17.50 kepada sebuah syarikat, manakala yang lain hanya diberi potongan sebanyak 50 sen.

Selain itu Noh juga mendakwa KSSB memberi kemudahan kredit kepada sebuah syarikat dan lima kontraktor untuk mengorek pasir pasir tanpa perlu membayar deposit.

Read more...

Umno Rancang Konvokesyen Rampas Kedah




Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah akan menganjurkan konvensyen pada 31 Julai ini bagi membincangkan lapan perkara yang menjadi asas gerakan untuk mengambil semula negeri Kedah pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengerusinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata konvensyen sehari di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu akan dihadiri kira-kira 1,000 orang terdiri daripada pemimpin Umno peringkat negeri dan bahagian.

"(Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) Datuk Seri Shafie Apdal yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah akan menyampaikan ucaptama pada sebelah pagi, diikuti lapan sesi bengkel dengan setiap bengkel disertai antara 100 dan 120 peserta.

"Pelbagai isu akan dibincang pada sesi bengkel itu dan setiap peserta boleh menyuarakan idea dan cadangan bagi memantapkan perjalanan dan gerak kerja parti ke arah pilihan raya," katanya dalam kenyataan di Alor Star hari ini.

Beliau berkata resolusi daripada konvensyen itu akan menjadi 'blue print' terhadap gerak kerja Umno di peringkat negeri, bahagian dan cawangan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Resolusi konvensyen itu akan disalur kepada akar umbi bagi membolehkan mereka memahami tindakan yang telah disusun dalam memastikan kemenangan pada pilihan raya umum nanti," katanya.

Read more...

Anwar Akan Dihumban Di Penjara




Sekiranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman bersalah atas tuduhan meliwat, adakah beliau akan dinafikan peluang ikat jamin dan terus dihumban ke penjara?

Senario itu dikemukakan oleh bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia, John R Malott, melalui rencana pengarangnya yang disiarkan di The Wall Street Journal - akhbar yang paling tinggi edarannya di Amerika, semalam.

"Ketika melawat Malaysia bulan lau, adalah jelas bukan sahaja bagi Anwar tetapi juga pemerhati lain bahawa mereka menjangkakan keputusan bersalah pada Ogos nanti,” tulis Malott.

"Persoalannya sama ada dia akan bebas dengan ikat jamin semasa rayuannya atau terus dihumban ke penjara.”

Menurut Malott pengalamannya berkhidmat di Kuala Lumpur antara 1995 hingga 1998 menyakinkannya bahawa perbicaraan liwat kedua membabitkan bekas timbalan perdana menteri itu adalah bermotifkan politik.

"Segala yang saya ketahui ketika itu dan sekarang ini, membawa kepada rumusan bahawa perbicaraan ini adalah untuk mengketepikan beliau dari politik,” katanya.

Merujuk kepada kejayaan Anwar pada pilihan raya umum 2008, Malot berhujah perbicaraan liwat sekarang bertujuan melemahkan pakatan pembangkang yang semakin bersemangat.

"Rancangan politik kerajaan adalah untuk menghumban Anwar ke penjara supaya pembangkang menjadi kucar-kacir dan tidak bersedia. Kemudiannya, pilihan raya mengejut diumumkan dan mereka akan menang dengan mudah,” katanya.

Menurut Malott adalah mustahil bagi Anwar bagi menang pada perbicaraan itu, lebuh-lebih lagi apabila bukti-bukti penting kes itu dinafikankepada peguamnya. Malah, media-media yang dikuasai kerajaan telah juga menghukumnya dengan mendapati beliau 'bersalah' dalam laporan mereka.

"Malaysia tidak mempunyai sistem juri. Keputusan ditentukan oleh seorang hakim yang dilantik oleh kerajaan yang sama yang mahu Anwar dikeluarkan dari politik,” katanya.

Dalam artikelnya itu juga, Malott mendakwa kerajaan BN sekarang dibelenggu oleh pelbagai masalah dan mereka bertekad untuk mengurung Anwar agar segala kepincangan itu tidak dihebohkan.

Katanya, ekonomi Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan terdapat kadar pertumbuhan, namun perangkaaan itu disokong oleh perbelanjaan kerajaan.Tindakan itu menyaksikan hutang negara semakin membesar manakala pelaburan terus asing (FDI) cukup kecil.

Read more...

Elaun khas bn di potong

Khamis, 15 Julai 2010



 DUN Selangor meluluskan usul memotong elaun khas ADUN BN Datuk Mohd Satim Diman (Seri Serdang) setelah didapati bersalah menghina dewan.

Keputusan itu dibuat ekoran kegagalannya hadir dalam sesi pendengaran jawatankuasa hak dan kebebasan walaupun telah diperintahkan berbuat demikian.

Keputusan itu dicapai setelah speaker membuat pengundian suara sebentar terhadap cadangan jawatankuasa itu sebentar tadi sebelem dewan ditangguhnya pada jam 4.30 petang.

Usul menerima penyata jawatankuasa hak dan kebebasan DUN Selangor bagi mengesyorkan hukuman kepada Mohd Satim itu dibentangkan oleh ADUN Bukit Tunku Lau Weng San.

Ia merupakan usul terakhir sepanjang empat hari DUN Selangor bersidang pada sesi ini.

Menurut speaker Teng Chang Kim, tindakan itu dianggap sebagai menghina dewan menurut Perkara 76 Peraturan Tetap DUN Selangor.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan melanggar hak dan kebebasan dewan berhubung kenyataannya mengenai menteri besar semasa membahaskan Bajet Selangor 2010 pada November tahun lalu, Mohd Satim didapati tidak bersalah.

Dalam sidang media selepas itu, Teng menjelaskan sesi pendengaran berhubung kes itu dijalankan walaupun tanpa kehadiran Mohd Satim.

Bagaimanapun, tambahnya, Khalid diwakili peguamnya Malik Imtiaz.

Teng berkata, hasil keterangan dalam sesi tersebut, jawankuasa mendapati apa yang didakwa Mohd Satim dalam dewan tidak salah walaupun tidak menggambarkan isu sebenar secara menyeluruh.

"Tetapi kerana enggan hadir sesi pendengaran, beliau dihukum denda RM1,500 yang dipotong daripada elaun khasnya," kata Teng.

Read more...

Adun Bn tidak boleh menolak menjadi pengerusi PAC



 ADUN BN Datuk Shamsudin Mohd Lias (Sungai Burong) tidak boleh menolak pelantikannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) negeri kerana ia merupakan satu usul yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN), kata speaker Teng Chang Kim.

"Selagi sudah diluluskan dewan, terpulanglah kepada mereka untuk terima atau tidak.

"Tetapi dari sudut dewan, usul sudah lulus melainkan ada usul untuk meminda (keputusan itu) dibentangkan," kata Teng ketika ditanya sama ada BN boleh menolak pelantikan tersebut.

DUN Selangor hari ini meluluskan usul untuk melantik Shamsudin sebagai pengerusi PAC, yang dianggap sebagai satu sejarah.

Ia diluluskan walaupun dibantah oleh wakil rakyat BN sewaktu usul itu dibahaskan dan kemudiannya mereka mengundi menolaknya.

Bercakap dalam sidang media selepas DUN berhenti rehat tengah hari tadi, Teng menjelaskan sekiranya pengerusi tidak menjalankan tugasnya, jawankuasa itu masih boleh berfungsi seperti biasa.

"Mana-mana anggotanya boleh dilantik mempengerusikan jawatankuasa tersebut," katanya apabila ditanya mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap Shamsudin sekiranya beliau tidak menjalankan tugasnya.

Teng juga mempersoalkan tindakan ADUN BN cuba menolak usul tersebut kerana dakwanya perkara itu telah dipersetujui dengan ketua pembangkang Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sendiri.

Tambahnya, cadangan awal itu telah dinyatakan kepada Dr Mohd Khir dalam pertemuan mereka di pejabat speaker.

"Kalau mereka (pembangkang) ikhlas, kenapa dari mula lagi mereka tidak bantah," katanya sambil mendakwa pendirian ADUN BN tidak konsisten.

Justeru, Teng berharap isu tersebut tidak dipolitikkan bagi tujuan "fahaman sempit politik".

Beliau juga menjelaskan, nisbah anggota jawatankuasa itu - dua daripada BN dan lima daripada Pakatan - dibuat menurut peruntukan berdasarkan nisbah keanggotaan dalam dewan.

"BN ada satu pertiga (dalam dewan). Jadi dua (anggota PAC) daripada tujuh itu paling hampir," jelasnya yang juga ADUN Sungai Pinang.

Read more...

Jangan Keterlaluan Perjuangkan Kaum: Najib

Rabu, 14 Julai 2010

Perdana Menteri berkata mereka perlu melihat dalam konteks negara ini secara keseluruhannya yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Kita tidak boleh menyekat mana-mana pihak tetapi kita tidak hendak perbalahan berlaku yang menyebabkan sentimen perkauman itu menjadi-jadi dalam negara kita.

"Itu yang mesti kita bendung kerana saya mengajukan bahawa semangat 1Malaysia itu menjadi panduan kita," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulan, penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 dan Penganugerahan Pembaharuan Pensijilan 5S Perbendaharaan Malaysia di sini Rabu.

Najib diminta mengulas mengenai cadangan penubuhan "Perkasa Cina" oleh Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim untuk berdepan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak orang Melayu iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang diterajui Datuk Ibrahim Ali.

Ditanya mengenai cadangan supaya kuasa pendakwaan kes-kes rasuah diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Najib berkata perkara itu masih dalam kajian dan memerlukan pindaan Perlembagaan.

"Jadi, ada kekangan dalam hal itu sebab pada masa sekarang, kita (Barisan Nasional) tiada majoriti dua pertiga dalam Parlimen," katanya.

Diminta mengulas mengenai pendirian pakatan pembangkang yang bersetuju supaya kuasa pendakwaan itu diberikan kepada SPRM, Najib berkata: "Nanti kita timbang dan kaji."

Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah berpandangan kuasa untuk pendakwaan kes rasuah harus diletakkan di bawah Ketua Pesuruhjaya SPRM dan bukan di bawah Peguam Negara

Read more...

Mahkamah Tetapkan 20 Julai Untuk Dengar Permohonan Batalkan Petisyen Pilihanraya Hulu Selangor

Selasa, 13 Julai 2010



KUALA LUMPUR 13 Julai - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 20 Julai ini untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim.

Read more...

Laporan Anwar bayar CNN palsu



 CNN menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang kononnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat bayaran agar beliau diwawancara oleh stesen televisyen berita angtarabangsa itu, awal bulan ini.

“Berita CNN menerima bayaran daripada seseorang supaya Anwar muncul di 'Connect the World' adalah palsu,” kata seorang jurucakap CNN yang berpangkalan di Hong Kong di mana ibu pejabat Asia stesen itu beroperasi.

“Adalah membimbangkan kerana tiada usaha dilakukan untuk menghubungi kami dan secara berkecuali mengesahkan dakwaan yang tidak berasas itu sebelum melaporkannya sebagai fakta.”

Akhbar harian Utusan Malaysia pada Jumaat lalu mencetuskan kontroversi dengan laporan 9 Julai yang bertajuk “Anwar didakwa bayar CNN'.

L
aporan itu merujuk kepada tulisan presiden Trevino Strategies and Media Inc, Joshua Trevino, yang menulis di portal Amerika - The New Ledger yang Anwar mengupah kenalan medianya, khususnya CNN, bagi menyakin para pelobi Yahudi bahawa beliau bukan anti-Israel.

Trevino mendakwa wawancara CNN menerusi 'Connector of the Day' pada 2 Julai lalu adalah 'jinak' berhubung Anwar disoal berhubung retorik anti-Zionis ketua pembangkang itu.

Berikut laporan itu, beberapa pemimpin tertinggi Umno membidas Anwar yang didakwa 'membayar' untuk diwawancara.

"Jika benar Anwar membiayai temu bualnya dengan CNN itu, ia menunjukkan beliau tunduk kepada Amerika Syarikat dan Yahudi...dia akan lakukan apa sahaja untuk mencapai cita-citanya untuk jadi Perdana Menteri," kata naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sehari selepas Utusan menyiarkan laporan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga timbalan presiden Umno berkata laporan itu menunjukkan Anwar adalah terdesak.

Read more...

ISU PASIR:PENJELASAN MB SELANGOR

Isnin, 12 Julai 2010




Langkah kerajaan Selangor mewujudkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bertujuan mengawal industri perlombongan pasir yang sebelum ini memberikan pihak tertentu peluang mengaut keuntungan mudah daripada kegiatan berkenaan, kata menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Selain itu, ia juga bertujuan membolehkan Selangor mengenali selok belok industri berkenaan untuk mengenalpasti ketirisan yang berlaku dalam kegiatan perlombongan pasir.

"Saya dapati terlalu ramai mereka yang terlibat dalam operasi pasir ini bukan saja individu. Ada juga kepimpinan kampung, pegawai kerajaan, pembawa lori, dan rupa-rupanya samseng pun terlibat.

"Barulah saya tahu industri ini ramai peminat. Bila kita kurangkan duit poket ini, terdapat heboh begitu besar, tapi kita mesti selesaikan," katanya ketika menjawab soalan lisan di DUN Selangor hari ini.

Soalan tersebut dikemukakan Mohd Shamsudin Lias (BN Sungai Burong) yang bertanyakan jumlah kerugian yang dialami Selangor akibat kegiatan kecurian pasir.

Dalam soalannya itu, Mohd Shamsudin turut menyoal langkah-langkah yang diambil kerajaan negeri dalam menangani isu berkenaan.

Khalid dalam jawapannya berkata, pada tahun 2006 kerajaan negeri memperoleh royalti sebanyak RM4.37 juta. Manakala bagi tahun 2007 pula jumlah kutipan berjumlah RM4.2 juta - jauh daripada kutipan sepatutnya yang dijangkakan sebanyak RM30 juta setahun.

"Kecurian masih berleluasa. Kita dapati (hasil) berjumlah RM30 juta tidak terkutip sebab kita tidak kawal. Jadi cara kita adalah tubuhkan Kumpulan Semesta," katanya.

Dedah nama

Tambahnya, hasil daripada langkah itu, kerajaan negeri berjaya mengutip hasil sebanyak RM7 juta pada 2008, tidak termasuk keuntungan daripada KSSB.

"Kenyataannya, (KSSB) bukan saja untuk tingkatkan royalti. Unjuran awal bukan (hanya) RM10 hingga RM20 juta, tapi untuk 2010 mereka jangka keuntungan melebihi RM25 juta," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga bercadang untuk mendedahkan senarai individu yang menerima lesen pengeluaran pasir sebelum 2008 untuk membolehkan masyarakat tahu sama ada indvidu berkenaan merupakan pengeluar pasir yang sebenar.

"Ikut kajian kita, 80 peratus daripada mereka tak kenalpun jentera tapi dapat lesen untuk dijual. Sekarang kita buat perubahan," katanya.

Katanya lagi, kaedah menangkap individu terlibat dalam kegiatan tersebut dan menyita peralatan mereka didapati tidak berjaya menyelesaikan masalah berkenaan.

"Untuk ini kerajaan berpendapat, salah satu usaha bukan saja selesaikan pengeluaran tetapi juga mengawasi penggunaan atau pengeluaran," katanya lagi.

Jelasnya, kaedah mengenakan kawalan di pihak pengguna pasir didapati berkesan untuk mengawal industri perlombongan, seperti yang diamalkan dalam industri minyak.

"Dulu kita hanya sekat tempat keluar pasir. Sekarang strategi kita ialah tempat penggunaan pasir. Kita akan letakkan pegawai untuk buat semakan sama ada pasir diambil dari tempat yang diluluskan kerajaan negeri.

Rampas tanah persendirian

"Contohnya, kawasan pembinaan jalan untuk kapal terbang (tambang murah) LCCT yang perlukan berjuta tan pasir," katanya lagi.

Katanya, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan pengeluar simen di Selangor supaya dapat bekerjasama bagi menentukan sama ada mereka membeli pasir daripada kawasan yang diberikan lesen.

"Kita tubuhkan syarikat kerajaan negeri (KSSB) untuk bersaing dan selesaikan masalah, sebab kita tidak tahu tentang industri ini. Kita tidak tahu siapa pembeli, siapa penggunanya," katanya.

Katanya lagi, selain langkah makro seperti itu, kerajaan negeri juga akan mengadakan mesyuarat mingguan dengan pegawai setiap daerah untuk mengenalpasti kawasan yang berlaku kecurian pasir.

Tambahnya, kerajaan juga akan membayar sagu hati sebanyak RM5,000 kepada pemberi maklumat yang boleh mendedahkan maklumat kegiatan kecurian pasir.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan langkah untuk merampas tanah milik persendirian yang membiarkan kegiatan kecurain pasir dilakukan di tanah mereka.

"Kerajaan negeri setuju beri borang 7A untuk rampas tanah tersebut, dan bila dirampas, tanah akan jadi milik kerajaan dan kerajaan negeri akan jaga tanah tersebut supaya tidak berlaku kecurian.

"Hampir 7, 8 keping tanah sudah kita ambil kerana mereka tidak jaga tanah mereka dan dibiarkan dicuri," katanya lagi.

Tambahnya, peruntukan untuk penguatkuasaan seperti itu akan dibiayai oleh KSSB.

Read more...

Akhbar baru PKR diberi percuma




Mengabaikan amaran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), PKR awal pagi ini turun padang mengedarkan akhbar lidah rasmi terbaru mereka - Keadilan.

Oleh kerana permit penerbitan Suara Keadilan masih gagal memperbaharui permitnya, parti itu kini menerbitkan akhbar tidak berkala yang tidak memerlukan kebenaran daripada kementerian itu.

Lidah rasmi baru - yang kini diterbitkan sayap Pemuda PKR (AMK) diedarkan percuma kepada orang awam di stesen LRT Masjid Jamek oleh beberapa pemimpin mudanya.

Kesemua 400 salinan yang dibawa habis diedar "macam pisang panas" dalam masa 20 minit sahaja.

Ketika edaran itu dibuat, dua kereta peronda dan dua anggota pasukan keselamatan dilihat mengawal sekitar kawasan tersebut tetapi tidak menghalan pengedaran itu.

Keempat-empat pemimpin muda PKR itu setiausaha publisiti Lee Khai Loon, exconya Ramlan Roes, Ketua AMK Wilayah Persekutuan Zaman Md Tasi dan Ketua AMK Cabang Batu Rozan Azen.

Mereka antaranya melaungkankan slogan menggesa Suara Keadilan dan wartawan "dibebaskan" dalam aktiviti pagi ini.

Ketua pengarang Suara Keadilan Dzulkarnain Taib juga dilihat hadir dan mengambil gambar sekitar acara tersebut.

Read more...

Pkr cabar kdn terbit suara keadilan

Ahad, 11 Julai 2010




PETALING JAYA: Akhbar Rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan terus mencabar undang-undang dengan menerbit dan mengedarkan edisi terbarunya ke seluruh negara sejak semalam walaupun permitnya sudah tamat tempoh.

Malah Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata, pihaknya mahu melihat tindakan yang bakal diambil oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung perkara berkenaan.

"Sejak petang semalam lagi Suara Keadilan sudah keluar (terbit), malah kita dah edar ke seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.

"Kita tunggu saja nanti apa KDN boleh buat," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Ahad.

KDN sebelum ini memutuskan permit penerbitan akhbar Suara Keadilan yang tamat 30 Jun lalu tidak diperbaharui mengikut Seksyen 5(1) Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.

Suara Keadilan pada keluaran bertarikh 22 hingga 26 Jun lalu telah menyiarkan berita utama muka depan bertajuk Felda Bangkrap dan empat lagi artikel dalam keluaran sama.

Ekoran itu, kerajaan telah memutuskan untuk menyaman Suara Keadilan sebanyak RM200 juta.

Ditanya sama ada PKR sedia menghadapi tindakan undang-undang berhubung tindakan menerbitkan akhbar tanpa permit, Syed Husin berkata: "Tak apalah... kita tunggu dulu apa mereka nak buat, tahulah kami nanti."

Read more...

Negara Islam Akan menjadi kenyatan Apabila Umno Dan Pas bersatu



KOTA BHARU: Cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan jika PAS dan UMNO bersatu dan bekerjasama.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas Agama Islam (JASA), Lokman Nor Adam, berkata cita-cita PAS merealisasikan hasrat itu akan menjadi lebih mudah jika mereka berbaik-baik dan bekerjasama dengan UMNO berbanding dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Katanya, kedua-dua parti pakatan pembangkang itu ternyata mempunyai dasar perjuangan yang berbeza, di mana DAP jelas menolak Islam, manakala PKR adalah parti yang memperjuangkan kepentingan peribadi pemimpin.
"Sebab itu tiada sebab PAS tidak menyahut salam UMNO untuk berbaik-baik dan melupakan sejarah hitam menyebabkan kedua-dua parti itu berpecah daripada gabungan dalam Barisan Nasional (BN) pada 1977.

"Jika UMNO dan PAS bekerjasama banyak perkara boleh direalisasikan, termasuk melaksanakan hukum hudud, berbanding dengan tindakannya bekerjasama dengan DAP dan PKR yang ternyata mempunyai dasar dan matlamat perjuangan yang berbeza," katanya pada majlis Wacana Perdana di Balai Islam, Lundang, di sini, malam tadi.

Wacana yang lebih berbentuk debat terbuka antara kedua-dua parti terbesar PAS dan UMNO itu sedikit tercemar oleh sikap penonton yang mengejek sesetengah ahli panel.

Turut diundang menganggotai panel ialah bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Mujahid Yusoff Rawa; dan Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Mohd Affandi Yusoff.
Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, menjadi moderator wacana yang bertajuk "Bolehkah Melayu Bersatu?".

Kira-kira 3,000 penyokong kedua-dua parti itu hadir pada majlis itu.

Lokman yang sebelum ini bekas ahli PKR berpendapat PAS tidak mungkin dapat menubuhkan negara Islam seperti yang diharapkan kerana tidak mempunyai kuasa yang cukup dua pertiga di Parlimen jika tidak bersatu dengan UMNO yang mempunyai suara majoriti orang Melayu dan Islam.

Sementara itu, Dr Mohd Asri berpendapat bersatu untuk menyokong sesebuah parti politik tidak membawa makna selagi ia tidak diasaskan kepada bersatu dalam erti kata menegakkan wadah perjuangan Islam yang sebenar.

"Semangat perpaduan dan bersatu dalam konteks bangsa sahaja tidak menjamin perpaduan dalam erti kata sebenar, buktinya dapat dilihat apabila masih ramai umat Islam di dunia yang berpecah belah dan tidak bersatu kerana tidak meletakkan asas perpaduan Islam," katanya.

Read more...

chegubard ditahan polis

Sabtu, 10 Julai 2010





Seorang ahli majlis pimpinan pusat PKR Badrul Hisham Shaharin ditahan polis di Seremban antaranya ekoran tulisannya dalam blog mengenai Altantuya Shariibu.

Badrul yang juga dikenali sebagai Chegubard berkata, beliau ditahan di pejabat PKR Negeri Sembilan di Seremban ketika hendak mempengerusikan mesyuarat PKR cabang Rembau kira-kira jam 9 malam pada Jumaat.

“Baru nak pengerusikan mesyuarat cabang Rembau, sekumpulan 15 orang angggota polis serbu dan ambil Chegubard, ditahan dan dalam perjalanan ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Seremban,” tulisnya dalam laman blog mikro Twitter.

Badrul yang juga pengarang buku Di Sebalik misteri pembunuhan Altantuya juga menulis bahawa rumahnya di Bukit Chedang, Seremban digeledah polis selepas beliau ditahan.

Beliau memberitahu dibawa sekali ketika operasi itu dijalankan.

Polis kemudian merakamkan kenyataannya di IPD berkenaan, tulisnya lagi.

Ketika dihubungi Malaysiakini selepas dibebaskan dengan jaminan polis hampir jam 12 tengah malam tadi, Badrul mengesahkan laporan-laporan di Twitter berkaitan penahanannya.

Katanya, pihak berkuasa memberitahunya, beliau disiasat bawah akta hasutan kerana terdapat beberapa laporan polis dibuat terhadapnya dan ekoran kenyataannya di blog dan pentas ceramah.

“Saya ditunjukkan dan disoal berkaitan artikel di blog, antaranya berkaitan Altantuya dan raja.

"Ya, saya mengaku saya yang tulis,” katanya.

Ditanya tentang penggeledahan rumahnya oleh pihak polis, Badrul yang juga jurucakap NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata:

“Saya juga tidak jelas apa yang mereka (polis) cari. Tiada apa-apa diambil. Cuma polis mengambil gambar ruang kerja saya di rumah.”

Read more...

Pertelingkahan pas dan dap tak jejaskan pakatan pembakang,anwar ibrahim



Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertelingkahan antara pimpinan tertinggi PAS dan DAP tidak akan menjejaskan keharmonian pakatan pembangkang.

Menurut beliau, PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mencapai persefahaman tentang perkara-perkara dasar antaranya melibatkan pentadbiran, agama Islam sebagai agama persekutuan dan kedudukan mahkamah Syariah.

"Ia hanya melibatkan perbezaan pendapat dan boleh diselesaikan dengan perbincangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Harapan Baru Untuk Malaysia (SEHARUM) 2010 untuk pimpinan PKR negeri di sini, Jumaat.

Beliau mendakwa isu perbalahan antara Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP Karpal Singh berhubung pembentukan negara Islam sengaja ditimbulkan oleh parti lawan untuk lagakan parti-parti pembangkang.

Anwar berkata mesyuarat membabitkan pimpinan tiga parti itu diadakan setiap minggu.

Anggota Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata PKR sedang menggerakkan anggotanya di peringkat negeri sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Read more...

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal Pengerusi Pakatan Rakyat Negeri Selangor

Jumaat, 9 Julai 2010



SHAH ALAM: Penasihat Pari Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan terus kekal sebagai Pengerusi Pakatan Rakyat Negeri Selangor.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat berikutan persetujuan barisan kepimpinan PKR supaya Abdul Khalid terus mengetuai dan mempengerusikan Pakatan Rakyat negeri Selangor serta mempengerusikan mesyuarat meski bukan lagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

"Kami bermesyuarat dan Menteri Besar sebagai Pengerusi dapat membantu menyelaras dan menjamin agar hubungan tiga parti - PAS, PKR dan DAP akan lebih mantap. Itu sahaja saya hendak umumkan, selamat sore," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor sebelum itu menghadiri majlis penghargaan terhadap Menteri Besar Selangor anjuran Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Hadir sama, Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali merangkap Pengerusi MPN Selangor, Pengurus Besar PKNS, Othman Omar, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Teng Chang Khim dan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud.

Abdul Khalid merupakan antara 50 alumni terpilih Universiti of Queensland (UQ) sebagai Pengerusi Perancangan Strategi Masa Depan pada Sidang Kemuncak Halatuju Strategik ke arah 2020 Alumni Naib Canselor UQ di Brisbane, Australia baru-baru ini.

Barisan alumni tersebut diberi tanggungjawab menentukan arah tuju universiti berkenaan. Antara lain termasuk Menteri Pengangkutan Australia, Rachel Nolan; Pengerusi Deloitte Touche Tohmatsu International dan bekas Menteri Queensland, Dr. Wayne Goss dan Hakim Kanan Mahkamah Persekutuan Australia, Jeffrey Spencer.

Khalid yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran Perniagaan UQ pada 1975 turut menerima anugerah Alumni Antarabangsa (Alumnus International) sebagai penghargaan ke atas pencapaian cemerlang beliau dalam kegiatan profesional pada tahun 2002.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok berkata, majlis tersebut bertujuan meraikan Menteri Besar Selangor atas penghargaan diberikan oleh universiti terkemuka Australia itu.

Bagaimanapun, beberapa 'kekeliruan' kecil membabitkan kelewatan jemputan dan perkataan pada latar belakang pentas mengakibatkan acara itu disalah erti oleh sebilangan pihak.

"Jemputan lewat dihantar, manakala Parlimen masih lagi bersidang jadi ramai tidak dapat hadir.

"Juga, tidak sepatutnya tertulis 'Majlis Meraikan Pengiktirafan Kepimpinan..' kerana boleh menyebabkan pihak luar keliru," katanya sambil memberitahu terdapat lebih 20 wakil DAP hadir pada majlis itu.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP