Klik disini

Memaparkan catatan dengan label belia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label belia. Papar semua catatan

'Imam Muda' Dapat Liputan Meluas Akhbar Di Jerman Dan Switzerland

Khamis, 15 Julai 2010




FRANKFURT, 15 Julai (Bernama) -- Media di Jerman dan Switzerland melaporkan secara meluas mengenai program realiti televisyen Malaysia berjudul "Imam Muda".

Pada masa di kebanyakan negara di barat, program bakat televisyen dianjurkan bagi memilih bintang, Malaysia memilih "bintang imam" berikutnya menerusi program pencarian bakat, seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar di Jerman dan Switzerland.

Butiran mengenai program "Imam Muda" dilaporkan dengan meluas oleh akhbar harian -- daripada Tagesspiegel, Merkur Online menerusi n-tv.de, Bild.de, Sueddeutsche Zeitung sehinggalah kepada akhbar harian Switzerland, Tagesanzeiger - membuatkan pembaca begitu asyik, seperti yang digambarkan oleh pembaca dalam komen mereka terhadap laporan berita itu.

Menerusi program "Imam Muda", kira-kira lapan anak muda muncul di televisyen di Malaysia pada waktu perdana, lengkap berbaju Melayu dan bersongkok.

Tagesanzeiger, misalnya menyifatkan calon berkenaan sebagai "superstar" di televisyen Malaysia dan melaporkan bahawa mereka nampaknya telah menjadi pujaan hati ramai wanita muda.

Berbeza dengan program realiti yang lain, apabila peserta lazimnya menyanyi atau menari, calon dalam program "Imam Muda" memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran, mengikuti latihan menguruskan jenazah untuk dikebumikan, dan berikrar untuk melindungi golongan muda Malaysia daripada seks serta dadah.

Program pencarian bakat yang disiarkan setiap minggu itu diketuai oleh seorang ulama terkemuka, Hasan Mahmud.

Beliau mewujudkan sekumpulan imam muda yang dapat dijadikan contoh dan menggunakan bantuan mereka untuk memerangi gejala "keruntuhan sosial dan moral."

Calon terbabit, berusia antara 18 dan 27 tahun, dipilih berdasarkan kriteria personaliti dan pengetahuan agama mereka. Seperti juga dalam "American Idol" dan program bakat yang lain, calon disingkirkan setiap minggu apabila mereka gagal melayakkan diri.

Banyak penonton dan pembaca yang terkejut apabila mendapati sepanjang tempoh program itu, calon-calon diasingkan dan ditempatkan dalam ruang tidur sebuah masjid - tanpa telefon bimbit, Internet, televisyen dan peralatan moden lain - supaya mereka dapat "berfikir sendiri dan tidak perlu bergantung harap kepada bantuan atau galakan dari luar."

Pemenang pertandingan itu berpeluang menunaikan fardu Haji di Mekah, bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran di universiti di Madinah, dan bekerja di masjid," kata pengulas dalam akhbar harian Tagesspiegel yang diterbitkan dari Berlin.

Akhbar Jerman itu menegaskan bahawa semua peserta yang mengambil bahagian pastinya "dikagumi oleh peminat remaja dan bakal ibu mertua."

"Bagi umat Islam, menantu yang ideal adalah bakal imam kerana mereka berpendidikan dan mempunyai pengetahuan mendalam tentang Islam," akhbar itu memetik Iselan Bazar daripada rangkaian Astro Oasis yang menyiarkan rancangan pencarian bakat agama itu.

Read more...

Futsal 1Belia 1Malaysia Libatkan Semua Kawasan Parlimen

Khamis, 8 Julai 2010




Program Futsal 1Belia 1Malaysia yang melibatkan kesemua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara akan dilaksanakan mulai bulan ini dalam usaha kerajaan memasyarakatkan sukan di peringkat akar umbi.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata setiap kawasan Parlimen dikehendaki mengadakan kejohanan futsal terbuka bagi kategori lelaki dan wanita sebelum 15 Okt ini.

Katanya juara bagi kejohanan itu kemudian akan mewakili kawasan Parlimen berkenaan ke Kejohanan Kebangsaan pada 17 hingga 19 Dis ini di Presint 18, Putrajaya.

"Kita mengharapkan pada Disember ini di Putrajaya, kita dapat mengumpulkan belia-belia ini dalam satu perhimpunan atau mini karnival yang dapat merapatkan lagi hubungan anggota-anggota Parlimen dengan belia dari seluruh negara," katanya semasa berucap pada majlis makan tengah hari anjuran Kementerian Belia dan Sukan bersama Kementerian Dalam Negeri di Parlimen, di sini pada Khamis.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta para Anggota Parlimen lain.

Ahmad Shabery berkata jawatankuasa pelaksana program di peringkat Parlimen akan dipengerusikan oleh Anggota Parlimen kawasan berkenaan.

Kerajaan memperuntukkan RM10,000 untuk setiap kawasan bagi menganjurkan kejohanan futsal masing-masing.

Selain itu, katanya program itu diadakan bagi menguji keberkesanan gelanggang-gelanggang futsal yang dibina kerajaan di seluruh negara.

Beliau berkata gelanggang itu dinamakan sebagai Gelangang Futsal 1Malaysia untuk menaikkan lagi penjenamaan 1Malaysia dan merapatkan hubungan antara kaum.

Read more...

Gempar pemain bola tampar terengganu mati,Melaka dipersalahkan?


KUALA TERENGGANU: Terengganu mengalu-alukan langkah Melaka untuk menyiasat punca kematian pemain bola tampar Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, sekembalinya atlit berkenaan daripada menyertai Sukma di Melaka dari 10 hingga 19 Jun lalu.

Mohd Fadli Muhammad, 19, meninggal di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini Isnin lalu, akibat jangkitan kuman pada paru-parunya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu, Rozi Mamat berkata, Terengganu juga mahu tahu punca sebenar kematian Mohd Fadli.

Kita juga ingin mengetahui punca sebenar kematian Mohd Fadli jika ia ada kaitan dengan tempat penginapannya semasa Sukma berlangsung," katanya.

Berikutan kejadian itu, Rozi berkata, kerajaan negeri mungkin melindungi atlit mereka dengan insurans di masa depan.

Beliau menyampaikan sumbangan kerajaan negeri kepada ibu Mohd Fadli, Zabedah Salleh, 46, di Kampung Jeram, dekat sini.

"Selain dari kerajaan negeri, keluarga Allahyarham juga menerima sumbangan kewangan daripada Menteri Belia dan Sukan dan Persatuan Bola Tampar Negeri Terengganu," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan Negeri Melaka, Datuk Ab Katim Sulaiman, berkata pihaknya akan meminta Kolej Universiti Islam Melaka (Kuim) iaitu lokasi atlit bola tampar ditempatkan, serta Jabatan Kesihatan untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

"Sekretariat Sukma dan Majlis Sukan Negeri Melaka akan menjalankan siasatan bagi melihat kemungkinan termasuk seperti yang didakwa rakan mangsa," katanya.

Rakan mangsa mendakwa penginapan yang disediakan untuk mereka tidak memuaskan yang mungkin menyumbang kepada kematian mangsa.

Ab Katim mengakui bahawa kawasan Kuim di Kuala Sungai Baru itu dulunya memang mengalami pencemaran udara kerana terdapat kandang babi tetapi ia telah lama diselesaikan dan tiada lagi kandang babi terdapat di situ

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP