Klik disini

Memaparkan catatan dengan label berita24jam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita24jam. Papar semua catatan

Skim Khairat Kematian Pengurusan Kehidupan 1Malaysia Tidak Ikut Peraturan

Selasa, 27 Julai 2010




Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan jangan terlibat dengan skim khairat kematian "Pengurusan Kehidupan 1Malaysia".

Suruhanjaya itu berkata berdasarkan maklumat pemantauan yang dijalankannya, skim itu meragukan kerana ia bertentangan dengan Undang-undang Kecil Koperasi dan Akta Koperasi 1993.

Dalam satu kenyataan Selasa, SKM berkata terdapat pihak tertentu atas nama koperasi didapati menawarkan skim itu kepada orang awam dengan mengenakan bayaran RM365 setahun dengan jaminan pampasan sebanyak RM20,000 apabila berlakunya kematian tanpa mengira bentuk dan jenis kematian.

Skim yang dilaksanakan itu tidak diperuntukkan dalam Undang-Undang Kecil Koperasi, dan pelaksanaannya tidak mempunyai aturan yang telah diluluskan oleh mesyuarat agung tahunan koperasi dan tidak dikemukakan kepada SKM.

"Had umur untuk menyertai skim dan anggota Koperasi iaitu dari umur setahun hingga 99 tahun adalah bertentangan dengan Akta Koperasi 1993, dan selain itu undang-undang kecil koperasi yang didaftarkan hanya membenarkan koperasi mengambil anggota di kawasan Kuala Lumpur sahaja," menurut kenyataan itu.

SKM mendapati koperasi itu telah mengiklankan skim tersebut di luar Kuala Lumpur yang penyertaannya terbuka kepada warganegara Malaysia, dan perkara itu bertentangan dengan Akta Koperasi 1993.

SKM akan menjalankan pemeriksaan terhadap koperasi dan skim yang ditawarkan itu, dan orang ramai boleh menghubungi Rohana Mazlan (Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan) di talian 03-4047 4000 untuk sebarang pertanyaan.

Read more...

Dua persatuan Tegur Saiful Apek

Selasa, 20 Julai 2010



PELAWAK Saiful Apek,41, dalam rancangan Melodi pada 11 Julai lalu mempersoalkan tindakan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang mendakwa terdapat 30 artis sedang dipantau kerana dipercayai terlibat dengan dadah.

Apek dalam rancangan itu berkata kenapa Seniman terlalu sibuk mengenai perkara itu sedangkan banyak isu lain yang seharusnya dibangkitkan.

Berikutan itu Apek mengambil pendekatan untuk membongkar perbuatan pengarah dan penerbit drama televisyen yang selama ini menindas pelakon dengan memberi mereka bayaran “ciput”, menipu, melakukan diskriminasi dan tidak membayar pelakon.

“Itulah kebenaran yang akan saya tegakkan. Selama ini orang buat salah pada saya, saya diam. Saya akan bongkar segala-galanya. Pihak berkenaan diminta bersedia,” katanya dalam rancangan itu.
Yusof Kelana

Mengulas kenyataan itu, Setiausaha Agung Seniman, Yusof Kelana secara menyindir mengalu-alukan tindakan Apek untuk membongkar masalah tersebut sekiranya dia benar-benar ditipu.

Bagaimanapun kata Yusof, itu tidak bermakna Seniman berdiam diri sebaliknya mereka akan bertindak sekiranya mendapat aduan secara bertulis daripada ahli-ahli-ahli.

“Kita tak boleh cakap kosong. Kalau cakap kosong kami tak ambil kira,” katanya seperti dipetik akhbar Mingguan mStar keluaran Ahad lalu.

Jelas Yusof lagi, jika Apek mendakwa dia ditindas oleh mana-mana produser, persatuan itu juga turut menerima aduan daripada syarikat produksi mengenai masalah yang dilakukan oleh pelakon termasuklah datang lambat ke lokasi serta tidak berdisiplin.

Mengenai kenyataan Apek yang menganggap dakwaan Seniman berhubung penglibatan beberapa artis dengan dadah diuar-uarkan selepas insiden dia ditahan di dalam lokap pada 12 Jun lalu kerana dipercayai terlibat dengan dadah, Yusof berkata ia tiada kena mengena dengan pelawak itu.

“Sebelum dia kena tangkap lagi kami sudah bercakap mengenai artis-artis yang sedang dipantau kerana terlibat dengan dadah.

Apa yang dilakukan persatuan itu kata Yusof hendaklah dilihat dalam konteks yang positif kerana matlamat mereka untuk membawa kesejahteraan dalam dunia hiburan.
Jurey Latif

Apek patut diam diri – Jurey Latif

Sementara itu Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latif Rosli apabila ditanya benarkah terdapat produser yang menindas pelakon seperti didakwa Apek dalam rancangan Melodi itu, Jurey tidak menafikan perkara tersebut.

Bagaimanapun kata Jurey setiap artis di negara ini haruslah bijak apabila mereka menerima tawaran berlakon sekiranya tidak mahu ditindas ataupun ditipu.

Katanya, setiap penerbit filem akan memberi kontrak yang harus dibaca oleh semua artis sebelum mereka menandatanganinya.

Jika artis memahami kontrak, tidak timbul soal mereka ditipu, tidak mendapat bayaran dan segala macam masalah lain.

“Saya tak nafikan ada produser yang tidak berlaku adil kepada pelakon. Mereka (pelakon) juga harus tahu peranan mereka sebelum menerima satu-satu tawaran. Bacalah kontrak tu dulu. Kalau tak puas hati, jangan ambil tawaran itu,” jelasnya.

Bagaimanapun Jurey kurang bersetuju dengan tindakan Apek yang membuat kenyataan tersebut kerana ia dilihat seolah-olah Apek cuba mengalihkan tumpuan orang ramai terhadap berita dia ditahan polis.

Ujarnya, ketika namanya agak tercalar pada hari ini, Apek sepatutnya mengambil pendekatan berdiam diri, tidak banyak memberi komen sebaliknya memberi tumpuan terhadap kerja-kerja kebajikan yang dijanjikannya selepas keluar dari lokap polis.

Padanya jika benar Apek ditindas oleh produser, jalan terbaik yang perlu dilakukan ialah mengambil tindakan menyaman mereka dan bukan membuat kenyataan yang boleh menambahkan lagi masalah.

“Janganlah kita bercakap macam orang berborak di kedai kopi. Kalau tak puas hati, Apek boleh tulis surat kepada kami, dan PTVM boleh meminta mana-mana stesen televisyen agar tidak menerima apa juga projek di bawah mana-mana syarikat penerbitan yang bermasalah,” katanya.

Jurey tidak menafikan tindakan Apek itu baik kerana kejayaan sesebuah drama atau filem terletak kepada kehebatan seseorang artis seperti Apek sendiri.

Tetapi tindakannya mencari salah orang lain seperti cuba untuk mengalihkan tumpuan orang ramai terhadap kesnya adalah tidak wajar.

“Kalau saya jadi Apek, saya akan mengambil tindakan mengikut peraturannya dan bukan bercakap untuk membongkar satu-satu hal yang kita tidak puas hati. Saya takut nanti kalau tersalah cakap, orang berkenaan yang kena saman dengan penerbit,” ujarnya.

Read more...

Empat adun Umno Pulau persidangan perwakilan

Jumaat, 16 Julai 2010



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini melahirkan rasa kecewa dengan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu yang dipulaukan oleh beberapa wakil rakyat di kawasan itu.

Mereka adalah ADUN Jabi, Ramlan Ali; ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh; ADUN Langkap, Asha'ari Idris dan ADUN Batu Rakit, Khazan Che Mat.

"Empat wakil rakyat tak hadir, saya pun dukacita jugalah, saya tak sebelahi mana-mana pihak dalam soal politik, tapi sebagai timbalan presiden saya rasa agak kecewa.

"Mungkin ada masalah tertentu, mungkin ada hubungkait dengan jawatan dan pimpinan. Apa yang saya nak tekankan, apa saja isu dan permasalahan yang timbul antara kita, mesti kita selesaikan dengan bijaksana," katanya kepada Bernama.

Turut hadir, ahli parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie yang juga ketua Umno bahagian Setiu dan ketua Umno bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.

Timbalan Presiden Umno itu juga mengingatkan ahli Umno supaya menyelesaikan segera permasalahan atau pergeseran yang berlaku sesama mereka dalam usaha mengembalikan semula kekuatan dan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Katanya, perpaduan dalam parti itu perlu segera diperkukuhkan kerana ia menyumbang bagi mengukuhkan kedudukan parti dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

"Kalau ada isu dan rasa tak puas hati, tersinggung atau dipinggirkan, apa saja perasaan dan sentimen yang merenggangkan hubungan dan memberi impak kepada usaha memperkukuhkan parti, hal sebegini perlu diselesaikan secepat mungkin.

"Saya sebut ini bukan saja untuk Setiu, malah juga di tempat-tempat lain," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu.

Dalam masa yang sama, kata beliau, anggota Umno sendiri perlu ikhlas dengan niat sebenar untuk menjadi anggota parti itu sama ada benar-benar ingin berjuang kepada parti atau sebaliknya.

"Sepatutnya jadi anggota Umno kita serah apa yang ada pada kita, jiwa dan raga demi untuk perjuang nasib Orang Melayu dan Islam di negara kita. Kita ada pilihan, tak ada orang marah kalau tak jadi anggota Umno," katanya.

Katanya menjadi kewajipan dan tanggungjawab semua pihak sama ada di peringkat pimpinan dan akar umbi untuk mengekalkan hubungan baik dan mencari jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang timbul.

"Bermuhasabahlah kita, dengan mengambil langkah yang bijaksana untuk selesaikan masalah kita. Lagi cepat selesai, lagi baik kerana tanggungjawab kita nak bela dan beri perhatian nasib bangsa kita dan dalam masa sama kita tidak abai tanggungjawab untuk pimpin masyarakat lain kerana kita jadi kerajaan," katanya.

Muhyiddin berkata Umno perlu bangkit semula dalam situasi mencabar terutama selepas keputusan mengejutkan pada Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Katanya, usaha perlu dilipat ganda untuk menebus balik negeri-negeri yang terlepas ke tangan pembangkang dan mengembalikan kedudukan dua pertiga Barisan Nasional di parlimen.

"Senario hari ini, kita bukan lagi menghadapi cabaran tetapi ancaman dan kedudukan kita boleh tergugat kalau kita tak jaga.

"Pokoknya, usaha yang boleh kita lakukan untuk kukuhkan parti, jika kuat, rakyat lebih yakin dengan kita, mana yang duduk di tepi-tepi, mereka akan kembali yakin kepada kita, pimpinan dengan semangat baru, mereka akan kembali sokong kita," katanya.

Read more...

Kolej Komuniti: TPM Umum Tempoh Pembelajaran Disingkatkan

Rabu, 14 Julai 2010




KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan program pengukuhan Kolej Komuniti yang antara lain menggariskan tempoh pembelajaran bagi sembilan sektor terpilih disingkatkan daripada dua tahun kepada tiga ke enam bulan mulai tahun ini.

Program jangka pendek Sijil Kemahiran Modular Kebangsaan adalah antara inisiatif yang dirangka untuk pengukuhan institusi Kolej Komuniti selain melaksanakan program memperkasakan program pembelajaran sepanjang hayat dan mempergiatkan program perantisan.

Kementerian Pengajian Tinggi juga sedang merangka Program Pemindahan Ilmu antara Kolej Komuniti dan universiti bagi membolehkan hasil penyelidikan di universiti dapat dinikmati masyarakat setempat melalui Kolej Komuniti.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran semasa berucap melancarkan program itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini yakin inisiatif itu akan menjadikan Kolej Komuniti sebagai pemangkin utama kepada pembentukan masyarakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi di negara ini.

Beliau berkata, warga Kolej Komuniti perlu sentiasa bertindak secara proaktif dalam melakukan inovasi pembangunan kurikulum, latihan sumber manusia, pemantapan struktur dan tadbir urus institusi serta pengukuhan kerjasama antara institusi dan industri.

"Saya percaya usaha berterusan Kolej Komuniti dalam memperkukuh halatuju, memperkasa pengajian sepanjang hayat, menstruktur semula program latihan berasaskan kemahiran dan mewujudkan kerjasama dengan pihak industri dan universiti akan memacu institusi ini ke arah merealisasikan program pengukuhannya," kata beliau.

Muhyiddin menambah, program itu juga sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memperluaskan akses rakyat kepada pendidikan dan latihan berasaskan kemahiran bagi melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan tenaga mahir negara.

Mengenai Program Pemindahan Ilmu antara universiti dan Kolej Komuniti pula, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia akan meletakkan Kolej Komuniti pada kedudukan yang amat strategik sebagai sebuah institusi pendidikan dan latihan yang berperanan menyalurkan penemuan-penemuan baru hasil penyelidikan universiti tempatan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.

"Ini adalah satu bentuk inovasi dalam penyediaan program latihan kemahiran berasaskan penyelidikan yang wajar dikembangkan lagi.

"Saya percaya dengan adanya program seumpama ini, tenaga kerja yang dilahirkan oleh kolej komuniti akan dapat menguasai pelbagai bentuk kemahiran baru yang akan meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing mereka," katanya.

Read more...

Laporan Anwar bayar CNN palsu

Selasa, 13 Julai 2010



 CNN menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang kononnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat bayaran agar beliau diwawancara oleh stesen televisyen berita angtarabangsa itu, awal bulan ini.

“Berita CNN menerima bayaran daripada seseorang supaya Anwar muncul di 'Connect the World' adalah palsu,” kata seorang jurucakap CNN yang berpangkalan di Hong Kong di mana ibu pejabat Asia stesen itu beroperasi.

“Adalah membimbangkan kerana tiada usaha dilakukan untuk menghubungi kami dan secara berkecuali mengesahkan dakwaan yang tidak berasas itu sebelum melaporkannya sebagai fakta.”

Akhbar harian Utusan Malaysia pada Jumaat lalu mencetuskan kontroversi dengan laporan 9 Julai yang bertajuk “Anwar didakwa bayar CNN'.

L
aporan itu merujuk kepada tulisan presiden Trevino Strategies and Media Inc, Joshua Trevino, yang menulis di portal Amerika - The New Ledger yang Anwar mengupah kenalan medianya, khususnya CNN, bagi menyakin para pelobi Yahudi bahawa beliau bukan anti-Israel.

Trevino mendakwa wawancara CNN menerusi 'Connector of the Day' pada 2 Julai lalu adalah 'jinak' berhubung Anwar disoal berhubung retorik anti-Zionis ketua pembangkang itu.

Berikut laporan itu, beberapa pemimpin tertinggi Umno membidas Anwar yang didakwa 'membayar' untuk diwawancara.

"Jika benar Anwar membiayai temu bualnya dengan CNN itu, ia menunjukkan beliau tunduk kepada Amerika Syarikat dan Yahudi...dia akan lakukan apa sahaja untuk mencapai cita-citanya untuk jadi Perdana Menteri," kata naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sehari selepas Utusan menyiarkan laporan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga timbalan presiden Umno berkata laporan itu menunjukkan Anwar adalah terdesak.

Read more...

SAHIDAN KASSIM TARIK DIRI

Isnin, 12 Julai 2010



 Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim Isnin menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata ia bertujuan memberi laluan kepada Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang dilaporkan bersedia memikul kembali jawatan itu setelah menerima pencalonan.

"Jika Tengku Abdullah tarik diri bertanding jawatan itu, barulah saya akan masuk dengan serta merta," katanya kepada pemberita di Yayasan Pok dan Kassim (YPK) dekat sini, Isnin.

Katanya, pembaharuan perlu ada dalam pengurusan FAM dan beliau yakin muka baru dalam persatuan itu akan memajukan arena sukan bola sepak tanah air.

FAM dijadual mengadakan mesyuarat agung tahunan serta pemilihan kepimpinan tertingginya pada 31 Julai ini bagi penggal 2010/2014.

Dalam perkembangan lain, Shahidan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berkata arena bola sepak negara perlu diwarnai dengan pemain import bagi menghidupkan permainan.

"Kita mengharapkan pemain tempatan bermain dengan baik kerana kita bayar gaji yang tinggi, tetapi mereka bermain dengan penuh emosi" katanya.

Beliau berkata pemain tempatan juga sering melakukan pelbagai karenah dan sentiasa beremosi, lebih-lebih lagi jika gaji lambat dibayar.

Bagaimanapun, Shahidan mengaku terdapat kebaikan dan keburukan jika pemain import diambil.

"Yang baiknya, pemain tempatan boleh mempertingkatkan mutu permainan mereka manakala yang buruknya, pemain import boleh melemahkan pemain tempatan. Tetapi kita melihat ke arah yang lebih baik," katanya.

Read more...

PM yakin johor kubu kuat Umno

Ahad, 11 Julai 2010




Adakah johor akan kekal menjadi kubu kuat umno?

Perdana Menteri melahirkan keyakinan negeri Johor akan terus kekal menjadi kubu kuat kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno, sebagaimana yang telah berlaku sejak dahulu lagi.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno berkata, walaupun begitu usaha mengukuhkan perpaduan dan kesetiaan di kalangan pemimpin dan anggota Umno Johor perlu terus diperkukuhkan.

"Saya yakin kita akan terus menang di Johor, tetapi kejayaan itu perlu disusuli dengan usaha mengukuhkan kesetiaan dan perpaduan di kalangan anggota. Jangan ada cerita-cerita sumbang," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pulai serta Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini pada Ahad.

Katanya, Umno sememangnya merupakan kubu kuat kepada Umno sejak zaman pengasasnya Allahyarham Datuk Onn Jaafar dan aspek itu perlu dipertahankan dan dikekalkan oleh anggotanya sehingga kini dan masa depan.

Perdana Menteri meminta setiap pemimpin dan anggota Umno Johor supaya "menjaga Johor baik-baik" dan memastikan ia terus menjadi kubu kuat kepada Umno serta BN, walaupun menyedari ia kini menjadi tumpuan parti pembangkang.

"Jagalah kawasan kita (Johor) baik-baik sebab pembangkang menyerang Johor kerana mengetahui negeri ini adalah kubu kuat kepada Umno dan BN," katanya.

Untuk memastikan Johor terus kekal menjadi kubu kuat kepada Umno dan BN, Perdana Menteri juga menasihatkan anggota parti supaya sentiasa mengamalkan kerja sebagai sebuah pasukan.

Katanya, perlawanan suku akhir bola sepak Piala Dunia 2010 di antara Brazil dan Belanda sebagai contoh di mana kelonggaran semangat berpasukan telah mengakibatkan Brazil tewas 1-2 di tangan Belanda.

Gol pertama Belanda pada perlawanan itu, kata Perdana Menteri, merupakan gol sendiri yang terhasil akibat salah faham di antara pemain pertahanan dan penjaga gol Brazil.

Najib juga meminta pemimpin Umno daripada bahagian yang sama tetapi turut memegang jawatan anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri, supaya terus bekerjasama sebagai satu pasukan bagi mengelak "menjaringkan gol sendiri."

Perdana Menteri turut meminta pemimpin Umno supaya tidak "syok" sendiri dengan sokongan yang diterima mereka daripada anggota parti dan ketua-ketua cawangan di bahagian mereka.

Katanya, sokongan daripada anggota parti sendiri itu tidak membawa erti jika sebahagian besar masyarakat tidak berpuas hati dengan perkhidmatan dan kerja yang dilaksanakan olehnya.

Pemimpin dan anggota Umno, menurut beliau, perlu responsif dan "mendengar degup nadi rakyat" dengan memberikan perkhidmatan terbaik dalam menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

Najib berkata, tidak ada parti politik lain yang dapat mengambil alih peranan yang dimainkan oleh Umno di dalam menentukan kelangsungan hidup orang-orang Melayu.

"Umno tiada gantinya atau alternatif. Tidak ada parti lain selain daripada Umno (di dalam memperjuangkan masa depan orang Melayu)," kata Perdana Menteri.

Selain itu, katanya, Umno sebagai parti teras di dalam BN juga perlu memahami aspirasi kaum-kaum lain dan tidak hanya yang berkenaan dengan orang Melayu.

Turut hadir pada majlis perasmian itu adalah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dan Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP