Klik disini

Memaparkan catatan dengan label politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label politik. Papar semua catatan

Rmk-10 Lulus

Khamis, 29 Julai 2010



Dewan Negara meluluskan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) selepas dibahas selama lima hari dan penggulungan selama dua hari.

Usul berkenaan dipersetujui sebulat suara oleh semua anggota Dewan.

Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang mengingatkan sekali lagi kepada semua Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai supaya mengambil berat mengenai perbahasan yang dijalankan di Dewan Negara.

"Saya berharap semua Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai mengambil berat perbahasan yang dijalankan kerana apa yang kita bahaskan di Dewan yang mulia ini, adalah satu perkara yang sangat penting untuk semua," katanya.

RMK-10 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 10 Jun lepas yang menggariskan perbelanjaan pembangunan negara ke arah memacu Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.

RMK-10 yang bertemakan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial telah mencadangkan peruntukan berjumlah RM230 bilion untuk perbelanjaan sepanjang tempoh lima tahun.

Rancangan strategik yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 30 Jun lepas dirangka supaya selari dengan sasaran negara untuk muncul sebagai negara maju menjelang 2020.

Antara teras utama RMK-10, termasuk mencarta pembangunan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi dengan pendapatan per kapita dijangka meningkat kepada RM38,845 pada 2015.

Selain itu, ia juga mensasarkan pertambahan peluang pekerjaan di negara ini kepada 13.2 juta pekerjaan menjelang 2015.

RMK-10 turut merancang meningkatkan jumlah modal insan tempatan yang berkualiti selain menarik kehadiran tenaga profesional dari luar ke Malaysia.

Persidangan Dewan bersambung Khamis.

Read more...

Timbalan Pendakwa raya digugurkan Daripada pasukan pendakwa ke Anwar

Rabu, 28 Julai 2010



Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail Selasa mengesahkan Timbalan Pendakwa Raya Farah Azlina Latif telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata langkah itu adalah susulan terhadap dakwaan bahawa Farah Azlina mempunyai "hubungan romantis" dengan saksi utama kes tersebut, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar pada Jun 2008.

Farah Azlina turut digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara atas faktor yang sama, katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sidang akhbar berkenaan diadakan bagi menjelaskan perkembangan terkini sekaligus menjawab persoalan mengenai hubungan Farah Azlina dan Mohd Saiful seperti yang disiarkan oleh laman web Malaysia Today baru-baru ini.

Abdul Gani berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

"Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

"Ini boleh menjadi sangat sukar bagi kita, tetapi sebarang perkara peribadi sekiranya boleh memberikan kesan dalam apa juga bentuk terhadap jabatan ini akan ditangani dengan amat serius," katanya.

Tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran kes tidak terganggu, katanya.

Beliau menjelaskan penglibatan Farah Azlina dalam kes itu sangat terhad iaitu sekadar membantu mencatatkan segala nota mengenai perbicaraan tersebut.

"Beliau tidak mempunyai akses langsung kepada kertas siasatan kes atau mempunyai apa-apa sebab untuk mengakses kertas siasatan atau apa-apa maklumat sulit yang ada pada pihak pendakwaan.

"Beliau sama sekali tidak terlibat dalam sebarang perbincangan atau persediaan kes termasuk penyusunan strategi pasukan pendakwa," katanya.

Mengulas lanjut Abdul Gani berkata pasukan pendakwa untuk semua kes berprofil tinggi telah menetapkan peraturan bahawa kertas siasatan dan dokumen kes hanya boleh disimpan oleh Ketua Pendakwa atau Pendakwa Kanan.

"Pendakwa baru hanya membantu kami dalam menjalankan beberapa tugas yang sama sekali tidak melibatkan perbincangan, penyusunan strategi dan pembentangan hujah di dalam mahkamah," katanya.

Pasukan pendakwa untuk kes berkenaan diketuai oleh Peguam Cara Negara 2, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang dibantu oleh timbalan pendakwa raya Datuk Nordin Hassan, Noorin Badaruddin, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azman dan Farah Azlina.

"Tugas menyoal saksi dilakukan oleh Mohd Yusof, Mohamed Hanafiah, Datuk Nordin dan Noorin manakala Chiang Kiat bertugas membantu aspek perundangan berhubung rayuan dan semakan kes.

"Farah Azlina, Naidatul Athirah dan Mira Mirna hanya dipertanggungjawabkan untuk mengambil dan mencatatkan segala nota perbicaraan," katanya.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun, 2008.

Read more...

Patung Mazu

Selasa, 27 Julai 2010




Tawaran awal kerajaan negeri Sabah kepada bekas Ketua Menteri Tan Sri Chong Kah Kiat untuk menempatkan semula patung Mazu yang dipohonnya di Kudat, masih kekal, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Ini kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah berhasrat mengekalkan keamanan dan keharmonian di Sabah, selain toleransi agama tanpa mengira fahaman, katanya dalam kenyataan ketika mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes Mazu di Kota Kinabalu hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menolak permohonan Chong untuk merayu terhadap keputusan kerajaan negeri mengubah kelulusan bagi pembinaan patung setinggi 108 kaki itu, yang akan menjadi patung tertinggi Mazu (Dewi Laut) di dunia.

"Keputusan Mahkamah Persekutuan iaitu badan perundangan tertinggi di negara ini, perlu dihormati.

"Saya ingin menarik perhatian bahawa kerajaan negeri telah pun meluluskan permohonan tanah seluas empat ekar oleh Gabungan Persatuan Hainan bagi Sabah dan Labuan, untuk membina patung Mazu di Bak Bak, Kudat. Saya juga ingin menyatakan di sini bahawa tawaran awal kerajaan Sabah kepada Tan Sri Chong untuk menempatkan semula patung itu, masih kekal," katanya.

Musa, selepas menyaksikan majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di Kota Kinabalu hari ini, turut menjelaskan laporan beberapa akhbar yang mendakwa kerajaan
negeri tidak memberi sebarang tanah untuk tujuan itu di Kudat.

"Beberapa akhbar melaporkan bahawa kami tidak memberi tanah di Kudat, namun hakikatnya kami telah pun memberi empat ekar (tanah)... untuk patung itu ditempatkan atau dibina di sana. Jadi saya fikir kerajaan amat bertolak ansur dalam permohonan oleh Persatuan Hainan itu," kata Musa (atas).

Chong menyaman Musa dan tiga lagi atas kedudukannya sebagai pengerusi Yayasan Kebajikan Thean Hou Kudat, selepas Lembaga Bandaran Kudat, yang meluluskan pembinaan patung itu pada Februari 2006, menarik balik surat kelulusan pada 15 Nov 2007.

Projek itu mendapat bantahan daripada beberapa pihak dan kerajaan negeri menawarkan pampasan untuk penempatan semula patung itu.

Read more...

Adun Ayer Keroh Digantung



 ADUN Ayer Keroh dari DAP, Khoo Poay Tiong digantung sehari daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka esok kerana mengingkari arahan Speaker.

Speaker Datuk Wira Othman Muhamad, berkata tindakan ke atas wakil rakyat DAP itu terpaksa diambil kerana Khoo telah melanggar peraturan 34 (1), (2) dan (3) tatatertib mesyuarat ketika membahaskan satu usul.

Dewan ketika itu sedang membahas usul yang dibawa oleh Lim Jak Wong (DAP-Bachang) berkaitan cadangan pembinaan pusat pengurusan pepejal di Sungai Udang.

Othman memberitahu pemberita kemudiannya bahawa beliau sebelum itu telah beberapa kali meminta supaya Khoo segera menghentikan perbahasannya, tetapi Khoo masih ingkar dan meneruskan perbahasan, maka tindakan penggantungan terpaksa diambil.

"Tindakan menggantung satu hari ini adalah minimum. Saya tidak boleh bersabar dengan tindakan ADUN ini kerana berdegil melanggari peraturan Dewan supaya beliau berhenti berbahas," katanya.

Othman berkata sejak mula dilantik sebagai Speaker DUN Melaka pada April 2008, itulah pertama kali beliau mengambil keputusan menggantung kehadiran ADUN daripada menghadiri persidangan Dewan.

Beliau berkata beliau telah mengarahkan anggota polis supaya menahan Khoo sekiranya beliau tetap menghadiri persidangan Dewan esok.

Khoo yang juga Setiausaha Publisiti DAP Melaka pula berkata beliau akan tetap menghadiri persidangan Dewan kerana beliau mempunyai komitmen kepada pengundinya.

Beliau berkata beliau terpaksa meneruskan perbahasannya walaupun telah diminta untuk berhenti, kerana beliau sebelum itu semasa berbahas telah diganggu oleh ADUN Sungai Rambai, Hasan Raman.

Dewan bersidang selama tiga hari mulai semalam.

Read more...

Guru Dibenar Berpolitik




Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan membabitkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru satu masa dulu memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.
"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi tujuan itu, beliau berkata, pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dulu.
"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad," kata Mohd Sidek.

Beliau berkata, syarat-syarat ketat akan dikenakan supaya tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan pembabitan mereka dalam politik.

Katanya, mereka yang dibenarkan terbabit dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik. - Bernama

Read more...

Protes Kepala Lembu




Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 kepada semua 12 lelaki yang dituduh terlibat dalam perhimpunan haram sambil membawa kepala lembu pada tahun lalu.

Hakim Hasbi Hasan memutuskan perkara itu selepas kesemua 12 tertuduh mengaku salah.

Mereka ialah Ahmad Mahayuddin Abd Manaf, 36, dan timbalannya, Ibrahim Sabri, 42; Eyzva Ezhar Ramly, 31; Mohd Azmir Mohd Zain; 35, Ahmad Suhairi Zakaria, 30; Mohd Hilmi Ni, 40; Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67; Mohd. Jurit Ramli, 39; Mohammad Nordin Zakaria, 56; Jamil Mohamad Isa, 40; Rahimuddin Md. Harun, 39; dan Azhari Shaari, 39.

Semua mereka mengaku bersalah setelah pihak pendakwaan meminda tuduhan mengikut Seksyen 143, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman lebih ringan.

Sebelum ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis

Read more...

Umno Masih Parti Terbesar Melayu

Khamis, 22 Julai 2010




Umno masih merupakan parti Melayu yang terbesar dengan jumlah keanggotaan terus meningkat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Presiden Umno berkata keanggotaan Umno kini mencecah 3,186,850 orang dan pelbagai usaha berterusan dijalankan untuk menambah bilangan keanggotaan.

"(Jumlah) ini selepas ditolak anggota yang sudah meninggal dan tak dapat dikesan. Ini jumlah yang sahih. Dan kita dapati jumlah ini terus meningkat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini Rabu.

Najib turut menyangkal dakwaan bahawa ada orang Melayu yang "meluat" dengan Umno.

"Siapa kata? Itu tak betul. Saya tak dapat terima ada yang kata meluat pada Umno. Kita parti yang terbesar mewakili orang Melayu," tegasnya.

Najib juga memberitahu pemberita bahawa mesyuarat Majlis Tertinggi turut menerima laporan bahawa mesyuarat bahagian-bahagian berjalan lancar dan teratur.

Sehingga kini, sebanyak 189 daripada 191 bahagian telah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing.

Read more...

polis Nafi geledah pejabat pkr



Polis hari ini memberi penjelasan berhubung kehadiran mereka di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Polis sekaligus menafikan bahawa mereka mahu menggeledah bangunan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abd Manan Mohd Hassan berkata polis sebenarnya sedang menyiasat Ahli Majlis Tertinggi PKR iaitu Badrul Hisham Shaharin di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan.

Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard ditahan di Pejabat Perhubungan PKR Negeri Sembilan di Jalan Rahang di sini pada 9 Julai lepas, kerana didakwa memuatkan artikel berunsur hasutan di dalam blognya, mengenai Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja.

Beliau kemudiannya dibebaskan.

"Untuk melengkapkan siasatan itu, pihak polis memerlukan beberapa bahan dan salah satu bahan yang diperlukan ialah komputer riba Badrul Hisham.

"Jadi pihak polis telah pergi ke Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya untuk mendapatkan komputer riba tersebut yang dimaklumkan kepada pihak polis oleh Badrul Hisham, bahawa artikel tersebut (bahan bukti) telah ditulis di sana," kata Abd Manan kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau menjelaskan polis terlebih dahulu mendapat kebenaran mahkamah untuk memperolehi bahan bukti berkenaan.

Beliau berkata semasa pihak polis sedang memeriksa ibu pejabat PKR itu, Pegawai Penyiasat ASP Affendy Sulaiman telah menerima panggilan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Badrul Hisham sendiri yang menyatakan komputer riba tersebut berada bersamanya.

"Hasil daripada SMS tersebut, maka pihak polis telah menghentikan pemeriksaan di Ibu Pejabat PKR itu dan balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di mana Badrul Hisham telah berjanji untuk menyerahkan komputer riba tersebut.

"Kira-kira pukul 5.45 petang Rabu, Badrul Hisham datang ke IPD Seremban dan menyerahkan komputer riba tersebut kapada Affendy.

"Jadi dalam hal ini tidak timbul isu seperti mana yang dilaporkan dalam akhbar yang menyatakan bahawa pihak polis hendak melakukan penggeledahan. Sebenarnya ia lebih kepada untuk membantu siasatan.

"Kita nak dapatkan komputer riba itu, kita nak tahu apa yang ada dalam kandungannya. Penting komputer riba itu untuk dikaji, untuk nak buktikan ada atau tidak apa-apa elemen hasutan di dalamnya.

"Kita telah pun dapat komputer riba tersebut dan siasatan akan diteruskan," kata Abd Manan.

Read more...

Esok Penentu Petisyen Hulu Selangor

Selasa, 20 Julai 2010




Mahkamah Pilihan Raya Selasa menolak bantahan awal oleh peguam Datuk Zaid Ibrahim dan akan mendengar permohonan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan, untuk membatalkan petisyen yang dikemukakan oleh peguam itu.

Hakim Datuk Azahar Mohamed memerintahkan hakim pilihan raya mempunyai kuasa sedia ada untuk menolak atau melupuskan petisyen itu sekira ianya cacat.

Mahkamah diberi kuasa untuk berbuat demikian jika petisyen itu tidak memenuhi syarat mandatori yang ditetapkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954, katanya.

Azahar berkata beliau akan mendengar merit permohonan Kamalanathan esok.

Zaid, kini sebagai Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, kalah kepada Kamalanathan dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 25 April lalu.

Pada 24 Mei lalu, Zaid memfailkan petisyen supaya keputusan pilihan raya kecil itu diisytiharkan tidak sah dan batal dengan mendakwa berlaku rasuah dalam bentuk sogokan kepada penduduk di kawasan itu.

Zaid menamakan Kamalanathan, pegawai pengurus pilihan raya Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Azahar berkata beliau juga akan mendengar bantahan awal yang dikemukakan oleh SPR atas alasan Zaid telah gagal menyediakan bukti secukupnya terhadap dakwaan rasuah itu.

Beliau menjelaskan kuasa yang diberikan kepada hakim pilihan raya untuk menolak petisyen pilihan raya telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam beberapa kes sebelum ini.

"Pada petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh pengundi PAS, Ahmad Jamaluddin Abd Majid terhadap Rafidah Aziz, Mahkamah Persekutuan memerintahkan bahawa hakim pilihan raya mempunyai kuasa untuk menolak petisyen itu sekiranya mempunyai kecacatan," katanya.

Zaid dan Kamalanathan hadir di mahkamah hari ini.

Kamalanathan, yang juga Ketua Penerangan MIC, telah memohon untuk membatalkan petisyen itu atas alasan ianya mengaibkan, remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Katanya Zaid gagal mendedahkan identiti orang yang dikatakan telah ditawarkan rasuah.

Peguam Zaid, Azahar Azizan Harun, sebelum itu mengemukakan bahawa di bawah Seksyen 36(1) Akta Kesalahan Pilihan raya 1965, hakim pilihan raya tidak mempunyai kuasa untuk melupuskan petisyen itu tetapi harus menentukan sama ada wujud sebarang amalan rasuah atau amalan haram dalam perbicaraan penuh.

Peguam Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Kamalanathan, berhujah bahawa ada beberapa petisyen pilihan raya ditolak tanpa perbicaraan penuh dan ianya disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Oleh itu, Mahkamah Pilihan Raya tertakluk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan," katanya.

Read more...

Pemuda Umno selangor Hantar Dokumen isu Pasir Ke SPRM




Pemuda Umno Selangor pada Selasa menghantar sejumlah dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini sebagai sokongan kepada dakwaan penyelewengan pasir yang dibuat Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Noh Omar Sabtu lepas.

Ketua Penerangannya Safarizul Mustafa berkata dokumen setebal setengah inci itu dihantar bersama bukti seperti resit rasmi berkaitan aktiviti penjualan dan pembelian pasir di negeri itu.

"Buah semangka berdaun sirih, mengata orang dia yang lebih. Kita bukan seperti mereka yang mendakwa tanpa bukti, jadi hari ini kita kemukakan bukti kepada SPRM untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata semua dokumen itu diperolehi daripada badan perhubungan Umno Selangor.

Pemuda juga akan terus mengumpul bukti berhubung isu pasir di negeri tersebut bagi memastikan isu berkenaan diambil serius oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, katanya.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini mendakwa mempunyai bukti wujud penyelewengan dan amalan pilih kasih oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam menawarkan pembelian pasir kepada syarikat kontraktor.

Antaranya beliau mendakwa KSSB memberi diskaun 22 peratus atau RM4 bagi pembelian setiap tan pasir yang berharga RM17.50 kepada sebuah syarikat, manakala yang lain hanya diberi potongan sebanyak 50 sen.

Selain itu Noh juga mendakwa KSSB memberi kemudahan kredit kepada sebuah syarikat dan lima kontraktor untuk mengorek pasir pasir tanpa perlu membayar deposit.

Read more...

Anwar Akan Dihumban Di Penjara




Sekiranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman bersalah atas tuduhan meliwat, adakah beliau akan dinafikan peluang ikat jamin dan terus dihumban ke penjara?

Senario itu dikemukakan oleh bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia, John R Malott, melalui rencana pengarangnya yang disiarkan di The Wall Street Journal - akhbar yang paling tinggi edarannya di Amerika, semalam.

"Ketika melawat Malaysia bulan lau, adalah jelas bukan sahaja bagi Anwar tetapi juga pemerhati lain bahawa mereka menjangkakan keputusan bersalah pada Ogos nanti,” tulis Malott.

"Persoalannya sama ada dia akan bebas dengan ikat jamin semasa rayuannya atau terus dihumban ke penjara.”

Menurut Malott pengalamannya berkhidmat di Kuala Lumpur antara 1995 hingga 1998 menyakinkannya bahawa perbicaraan liwat kedua membabitkan bekas timbalan perdana menteri itu adalah bermotifkan politik.

"Segala yang saya ketahui ketika itu dan sekarang ini, membawa kepada rumusan bahawa perbicaraan ini adalah untuk mengketepikan beliau dari politik,” katanya.

Merujuk kepada kejayaan Anwar pada pilihan raya umum 2008, Malot berhujah perbicaraan liwat sekarang bertujuan melemahkan pakatan pembangkang yang semakin bersemangat.

"Rancangan politik kerajaan adalah untuk menghumban Anwar ke penjara supaya pembangkang menjadi kucar-kacir dan tidak bersedia. Kemudiannya, pilihan raya mengejut diumumkan dan mereka akan menang dengan mudah,” katanya.

Menurut Malott adalah mustahil bagi Anwar bagi menang pada perbicaraan itu, lebuh-lebih lagi apabila bukti-bukti penting kes itu dinafikankepada peguamnya. Malah, media-media yang dikuasai kerajaan telah juga menghukumnya dengan mendapati beliau 'bersalah' dalam laporan mereka.

"Malaysia tidak mempunyai sistem juri. Keputusan ditentukan oleh seorang hakim yang dilantik oleh kerajaan yang sama yang mahu Anwar dikeluarkan dari politik,” katanya.

Dalam artikelnya itu juga, Malott mendakwa kerajaan BN sekarang dibelenggu oleh pelbagai masalah dan mereka bertekad untuk mengurung Anwar agar segala kepincangan itu tidak dihebohkan.

Katanya, ekonomi Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan terdapat kadar pertumbuhan, namun perangkaaan itu disokong oleh perbelanjaan kerajaan.Tindakan itu menyaksikan hutang negara semakin membesar manakala pelaburan terus asing (FDI) cukup kecil.

Read more...

Najib Akan Lawat Kawasan terpencil Serawak




KUCHING: Long Banga, antara kawasan paling terpencil di Sarawak, akan menerima tetamu istimewanya Khamis ini apabila Datuk Seri Najib Razak berkunjung ke situ untuk menemui penduduk di situ pada satu majlis pemimpin bersama rakyat.

Perdana Menteri juga dijadual merasmikan Jambatan Sungai Puak di Long Banga, satu kawasan dalam daerah Baram yang hanya dapat dihubungi menerusi jalan balak yang mengambil masa lapan jam dari Miri menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Menurut atur cara lawatannya yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Sarawak hari ini, Najib akan juga melawat Pekan Bekenu untuk menghadiri satu lagi majlis pemimpin bersama rakyat, diikuti dengan satu program dinamakan "Sentuhan Harapan Petronas" di Stesen Petronas Senadin di bandar Miri.

Pada malamnya, Perdana Menteri akan menghadiri satu jamuan bersama rakyat di stadium tertutup Miri sebelum berlepas ke Kuala Lumpur

Read more...

Kerjasama dengan Pas akan hilang Tanpa kesungguhan

Isnin, 19 Julai 2010




Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata peluang untuk mewujudkan kerjasama antara Umno dan PAS yang menjurus kepada perpaduan akan hilang sekiranya kedua-dua pihak masih tidak bersunguh-sungguh ke arah itu.

Hishammuddin berkata penyatuan itu jelas akan 'dirampas' oleh beberapa pihak yang tidak menginginkan usaha itu berlaku pada masa depan berikutan pendekatan sama ingin dilakukan sebelum ini seringkali terbantut.

"Kadang-kala pertimbangan lain dicampur aduk dengan politik, peribadi dan ego seperti isu keselamatan yang dibincangkan dalam persidangan hari ini dicampur aduk dengan politik dan polemik, akhirnya yang bermaharajela adalah pihak militan (sebagai contoh)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI NAA) Bahagian Asia Pasifik ke-13 di sini, Isnin.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini bahawa terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Harussani berkata beliau bagaimanapun menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua pihak.

Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan sebarang perundingan dengan PAS yang menjurus kepada perpaduan, tetapi itu mestilah dibuat tanpa prasyarat.

Menurut Hishammuddin, keikhlasan dan niat yang suci menjadi faktor penting bagi mewujudkan penyatuan itu dalam usaha untuk memperkasakan umat Islam di negara ini.

"Keikhlasan itu perlu jika hendak duduk semeja dan berbincang mengenai masa depan ummah dan memikirkan cara untuk meniti cabaran dalam persepsi terhadap Islam dan jihad pembangunan ummah.

"Kita tidak boleh dalam satu keadaan hendak duduk semeja tetapi dalam keadaan yang lain masih ada mencaci maki dan menghina antara satu sama lain," katanya.

Menurutnya, perkara itu tidak mungkin menjadi realiti apabila kepentingan politik dan agenda masing-masing masih tidak diketepikan oleh kedua-dua pihak.

Persidangan yang berlangsung selama lima hari itu disertai oleh kira-kira 200 peserta, antara lain akan membincangkan isu kerjasama antarabangsa bagi menangani keganasan dan pemerdagangan manusia di rantau ini.

Pertubuhan itu dianggotai oleh 17,000 anggota penguatkuasa undang-undang profesional dari seluruh dunia.

Read more...

Empat adun Umno Pulau persidangan perwakilan

Jumaat, 16 Julai 2010



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini melahirkan rasa kecewa dengan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu yang dipulaukan oleh beberapa wakil rakyat di kawasan itu.

Mereka adalah ADUN Jabi, Ramlan Ali; ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh; ADUN Langkap, Asha'ari Idris dan ADUN Batu Rakit, Khazan Che Mat.

"Empat wakil rakyat tak hadir, saya pun dukacita jugalah, saya tak sebelahi mana-mana pihak dalam soal politik, tapi sebagai timbalan presiden saya rasa agak kecewa.

"Mungkin ada masalah tertentu, mungkin ada hubungkait dengan jawatan dan pimpinan. Apa yang saya nak tekankan, apa saja isu dan permasalahan yang timbul antara kita, mesti kita selesaikan dengan bijaksana," katanya kepada Bernama.

Turut hadir, ahli parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie yang juga ketua Umno bahagian Setiu dan ketua Umno bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.

Timbalan Presiden Umno itu juga mengingatkan ahli Umno supaya menyelesaikan segera permasalahan atau pergeseran yang berlaku sesama mereka dalam usaha mengembalikan semula kekuatan dan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Katanya, perpaduan dalam parti itu perlu segera diperkukuhkan kerana ia menyumbang bagi mengukuhkan kedudukan parti dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

"Kalau ada isu dan rasa tak puas hati, tersinggung atau dipinggirkan, apa saja perasaan dan sentimen yang merenggangkan hubungan dan memberi impak kepada usaha memperkukuhkan parti, hal sebegini perlu diselesaikan secepat mungkin.

"Saya sebut ini bukan saja untuk Setiu, malah juga di tempat-tempat lain," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu.

Dalam masa yang sama, kata beliau, anggota Umno sendiri perlu ikhlas dengan niat sebenar untuk menjadi anggota parti itu sama ada benar-benar ingin berjuang kepada parti atau sebaliknya.

"Sepatutnya jadi anggota Umno kita serah apa yang ada pada kita, jiwa dan raga demi untuk perjuang nasib Orang Melayu dan Islam di negara kita. Kita ada pilihan, tak ada orang marah kalau tak jadi anggota Umno," katanya.

Katanya menjadi kewajipan dan tanggungjawab semua pihak sama ada di peringkat pimpinan dan akar umbi untuk mengekalkan hubungan baik dan mencari jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang timbul.

"Bermuhasabahlah kita, dengan mengambil langkah yang bijaksana untuk selesaikan masalah kita. Lagi cepat selesai, lagi baik kerana tanggungjawab kita nak bela dan beri perhatian nasib bangsa kita dan dalam masa sama kita tidak abai tanggungjawab untuk pimpin masyarakat lain kerana kita jadi kerajaan," katanya.

Muhyiddin berkata Umno perlu bangkit semula dalam situasi mencabar terutama selepas keputusan mengejutkan pada Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Katanya, usaha perlu dilipat ganda untuk menebus balik negeri-negeri yang terlepas ke tangan pembangkang dan mengembalikan kedudukan dua pertiga Barisan Nasional di parlimen.

"Senario hari ini, kita bukan lagi menghadapi cabaran tetapi ancaman dan kedudukan kita boleh tergugat kalau kita tak jaga.

"Pokoknya, usaha yang boleh kita lakukan untuk kukuhkan parti, jika kuat, rakyat lebih yakin dengan kita, mana yang duduk di tepi-tepi, mereka akan kembali yakin kepada kita, pimpinan dengan semangat baru, mereka akan kembali sokong kita," katanya.

Read more...

Harga petrol, diesel, gula dan gas LPG naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini

Khamis, 15 Julai 2010



Harga petrol, diesel, gula dan gas LPG naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Petrol RON 95 dan RON 97 serta diesel naik 5 sen.

Manakala harga gula pula naik 25 sen, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram

Kenaikan semua harga tersebut akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Berikut adalah harga baru:

- Petrol RON 95 - RM1.85 seliter.

- Petrol RON 97 - RM2.10 seliter.

- Diesel - RM1.75 seliter.

- Gula - RM1.70 sekilogram

- Gas LPG - RM1.85 sekilogram

Berikut adalah harga baru gas:

* Tong 14KG - dari RM24.50 kepada RM25.90 (naik RM1.40)

* Tong 12KG - dari RM21.00 kepada RM22.20 (naik RM1.20)

* Tong 10KG - dari RM17.50 kepada RM18.50 (naik RM1.00)

Read more...

Elaun khas bn di potong



 DUN Selangor meluluskan usul memotong elaun khas ADUN BN Datuk Mohd Satim Diman (Seri Serdang) setelah didapati bersalah menghina dewan.

Keputusan itu dibuat ekoran kegagalannya hadir dalam sesi pendengaran jawatankuasa hak dan kebebasan walaupun telah diperintahkan berbuat demikian.

Keputusan itu dicapai setelah speaker membuat pengundian suara sebentar terhadap cadangan jawatankuasa itu sebentar tadi sebelem dewan ditangguhnya pada jam 4.30 petang.

Usul menerima penyata jawatankuasa hak dan kebebasan DUN Selangor bagi mengesyorkan hukuman kepada Mohd Satim itu dibentangkan oleh ADUN Bukit Tunku Lau Weng San.

Ia merupakan usul terakhir sepanjang empat hari DUN Selangor bersidang pada sesi ini.

Menurut speaker Teng Chang Kim, tindakan itu dianggap sebagai menghina dewan menurut Perkara 76 Peraturan Tetap DUN Selangor.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan melanggar hak dan kebebasan dewan berhubung kenyataannya mengenai menteri besar semasa membahaskan Bajet Selangor 2010 pada November tahun lalu, Mohd Satim didapati tidak bersalah.

Dalam sidang media selepas itu, Teng menjelaskan sesi pendengaran berhubung kes itu dijalankan walaupun tanpa kehadiran Mohd Satim.

Bagaimanapun, tambahnya, Khalid diwakili peguamnya Malik Imtiaz.

Teng berkata, hasil keterangan dalam sesi tersebut, jawankuasa mendapati apa yang didakwa Mohd Satim dalam dewan tidak salah walaupun tidak menggambarkan isu sebenar secara menyeluruh.

"Tetapi kerana enggan hadir sesi pendengaran, beliau dihukum denda RM1,500 yang dipotong daripada elaun khasnya," kata Teng.

Read more...

Adun Bn tidak boleh menolak menjadi pengerusi PAC



 ADUN BN Datuk Shamsudin Mohd Lias (Sungai Burong) tidak boleh menolak pelantikannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) negeri kerana ia merupakan satu usul yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN), kata speaker Teng Chang Kim.

"Selagi sudah diluluskan dewan, terpulanglah kepada mereka untuk terima atau tidak.

"Tetapi dari sudut dewan, usul sudah lulus melainkan ada usul untuk meminda (keputusan itu) dibentangkan," kata Teng ketika ditanya sama ada BN boleh menolak pelantikan tersebut.

DUN Selangor hari ini meluluskan usul untuk melantik Shamsudin sebagai pengerusi PAC, yang dianggap sebagai satu sejarah.

Ia diluluskan walaupun dibantah oleh wakil rakyat BN sewaktu usul itu dibahaskan dan kemudiannya mereka mengundi menolaknya.

Bercakap dalam sidang media selepas DUN berhenti rehat tengah hari tadi, Teng menjelaskan sekiranya pengerusi tidak menjalankan tugasnya, jawankuasa itu masih boleh berfungsi seperti biasa.

"Mana-mana anggotanya boleh dilantik mempengerusikan jawatankuasa tersebut," katanya apabila ditanya mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap Shamsudin sekiranya beliau tidak menjalankan tugasnya.

Teng juga mempersoalkan tindakan ADUN BN cuba menolak usul tersebut kerana dakwanya perkara itu telah dipersetujui dengan ketua pembangkang Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sendiri.

Tambahnya, cadangan awal itu telah dinyatakan kepada Dr Mohd Khir dalam pertemuan mereka di pejabat speaker.

"Kalau mereka (pembangkang) ikhlas, kenapa dari mula lagi mereka tidak bantah," katanya sambil mendakwa pendirian ADUN BN tidak konsisten.

Justeru, Teng berharap isu tersebut tidak dipolitikkan bagi tujuan "fahaman sempit politik".

Beliau juga menjelaskan, nisbah anggota jawatankuasa itu - dua daripada BN dan lima daripada Pakatan - dibuat menurut peruntukan berdasarkan nisbah keanggotaan dalam dewan.

"BN ada satu pertiga (dalam dewan). Jadi dua (anggota PAC) daripada tujuh itu paling hampir," jelasnya yang juga ADUN Sungai Pinang.

Read more...

Malaysia Bertuah Ada Rosmah Yang Banyak Idea



Malaysia Bertuah Ada Rosmah Yang Banyak Idea : Musa Aman



KOTA KINABALU, 15 Julai (Bernama) -- Malaysia bertuah kerana mempunyai isteri seorang Perdana Menteri yang mempunyai banyak idea dan komitmen tinggi dalam membantu kerajaan memajukan negara, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Komitmen Datin Seri Rosmah Mansor dalam membantu usaha kerajaan di bawah kepimpinan suaminya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mendahulukan rakyat menampakkan hasil dengan pengwujudan program seperti Permata Negara, katanya.

"Kita dapat melihat matlamat program Permata Negara adalah untuk melahirkan modal insan yang menjadi aset paling penting untuk memajukan negara.

"Kita juga perlu terus mendukung usaha Datin Seri Rosmah yang sentiasa prihatin dan memberi perhatian mendalam membela golongan kurang upaya yang merupakan antara rakyat yang perlu didahulukan," katanya ketika merasmikan Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia 2010 di sini pada Khamis.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) dan isteri Musa, Datin Seri Faridah Tussin, selaku Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat BN Sabah (Bakisa).

Musa berkata isteri wakil-wakil rakyat turut berperanan mempereratkan ikatan kekeluargaan dalam BN.

"Meskipun mempunyai latar belakang yang berbeza mengikut negeri masing-masing, namun itu tidak menghalang untuk kita bersatu hati. Sesungguhnya, kita adalah 1Malaysia," katanya.

Musa juga berkata program menghimpun isteri wakil-wakil rakyat seluruh negara untuk mewujudkan persefahaman, perpaduan dan semangat muhibah secara tidak langsung meningkatkan kewibawaan dan imej pemimpin serta kerajaan BN di mata rakyat.

Read more...

KJ Tak Pertahan Jawatan Ketua Pemuda Umno





KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin mengesahkan bahawa beliau memang sedang menimbang secara serius untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti yang akan datang.

Bercakap dalam interbiu dengan portal berita Agendadaily di ruang rehat bangunan Parlimen, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, keputusannya untuk melepaskan jawatan itu kerana mahu memberi laluan kepada bakat baru.

Khairy berkata demikian apabila ditanya sama ada benar atau tidak beliau ada membuat kenyataan mengenai hal itu ketika merasmikan satu mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Bahagian di Pahang baru-baru ini.

“Ya, memang saya ada berkata begitu. Walaupun belum muktamad lagi, tetapi saya memang sedang menimbang secara serius untuk tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda,” katanya.

Read more...

Jangan Keterlaluan Perjuangkan Kaum: Najib

Rabu, 14 Julai 2010

Perdana Menteri berkata mereka perlu melihat dalam konteks negara ini secara keseluruhannya yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Kita tidak boleh menyekat mana-mana pihak tetapi kita tidak hendak perbalahan berlaku yang menyebabkan sentimen perkauman itu menjadi-jadi dalam negara kita.

"Itu yang mesti kita bendung kerana saya mengajukan bahawa semangat 1Malaysia itu menjadi panduan kita," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulan, penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 dan Penganugerahan Pembaharuan Pensijilan 5S Perbendaharaan Malaysia di sini Rabu.

Najib diminta mengulas mengenai cadangan penubuhan "Perkasa Cina" oleh Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim untuk berdepan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak orang Melayu iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang diterajui Datuk Ibrahim Ali.

Ditanya mengenai cadangan supaya kuasa pendakwaan kes-kes rasuah diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Najib berkata perkara itu masih dalam kajian dan memerlukan pindaan Perlembagaan.

"Jadi, ada kekangan dalam hal itu sebab pada masa sekarang, kita (Barisan Nasional) tiada majoriti dua pertiga dalam Parlimen," katanya.

Diminta mengulas mengenai pendirian pakatan pembangkang yang bersetuju supaya kuasa pendakwaan itu diberikan kepada SPRM, Najib berkata: "Nanti kita timbang dan kaji."

Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah berpandangan kuasa untuk pendakwaan kes rasuah harus diletakkan di bawah Ketua Pesuruhjaya SPRM dan bukan di bawah Peguam Negara

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP