Klik disini

Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan

Personaliti Terkenal Akan Didakwa di makamah sesyen putrajaya

Khamis, 29 Julai 2010



Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini menjadi tumpuan apabila khabar angin mengatakan seorang personalti yang terkenal akan didakwa hari ini.

Sumber yang rapat dengan Pejabat Peguam Negara tidak menafikan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Berita itu menyaksikan puluhan wartawan, termasuk agensi berita luar negara bekejar ke mahkamah sejak awal pagi ini.

Kebanyakan mereka berhimpun di lobi dan pintu masuk mahkamah manakala ada pula yang menunggu di kawasan sekitarnya.

Adalah dipercayai dakwaan itu mungkin berkaitan dengan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang kerugian berbilion ringgit.

November tahun lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya berhubung kontroversi PKFZ mencadangkan agar bekas menteri pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy dan bekas pengurus besar PKA, Datin Paduka OC Phang disiasat atas tuduhan jenayah pecah amanah.

Ia berhubung dakwaan pecah amanah kerana tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Chan dan tiga surat aku janji yang dikeluarkan oleh Phang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

PAC menjalankan siasatan terhadap pelaksanaan projek PKFZ selepas projek itu dilaporkan meningkat daripada RM1.957 bilion kepada RM4.947 bilion.

PKA sebelum ini mengumumkan bahawa tiada tindakan undang-undang akan diambil ke atas Chan berhubung skandal PKFZ kerana beliau bukan merupakan anggota PKA.

Read more...

Syabas kaji amil Tidakkan keatas Selangor





KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sedang dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Selangor untuk menuntut pampasan kerana menangguhkan pelarasan tarif air.

Ketua Pegawai Operasinya Datuk Lee Miang Koi berkata sehingga hujung tahun ini, pampasan yang perlu dibayar kepada Syabas dijangka mencecah RM1 bilion.

"Syabas akan tuntut pampasan, kami sedang menimbang untuk ambil tindakan undang-undang, ikut perjanjian konsesi kami memang berhak ambil tindakan undang-undang," katanya ketika menjawab satu soalan yang dikemukan pada majlis Wacana Intelek Negara anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di Memorial Tunku Abdul Rahman di sini malam Rabu.

Beliau berkata Syabas sudah menghantar tuntutan mengenai pampasan itu bagaimanapun sehingga sekarang, masih tiada maklum balas dari pihak kerajaan negeri.

"Tarif air perlu diselaraskan supaya dapat perolehan untuk bayar hutang yang dipinjam bagi meningkatkan mutu perkhidmatan air.

"Dengan penangguhan pelarasan dan pembekuan program Capex oleh kerajaan negeri, taraf perkhidmatan air akan merosot," katanya.

Lee berkata Syabas juga terpaksa membayar sebahagian bil untuk dibayar kepada operator loji air walaupun mengikut perjanjian, Syabas harus membayar sama rata.

Menurutnya akibat penstrukturan semula air yang tidak dimuktamadkan, Syabas turut mengalami beberapa masalah dalam operasinya, termasuk sukar mendapat dana dari bank kerana syarikat itu tidak tahu hala tujunya.

"Sejak kerajaan negeri Selangor ambil alih, Syabas menyuarakan beberapa isu dan masalah tetapi tiada maklum balas dari kerajaan negeri sebab mereka kaitkan isu itu dengan penstrukturan semula.

"Mereka nak lihat Syabas tak berjaya dan boleh ambil alih dengan harga yang murah, walaupun terdapat pelbagai kekangan, Syabas masih perlu beri perkhidmatan kepada pengguna," katanya.

Lee berkata bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka akan menghadapi kekurangan menjelang 2012 hingga 2014 dan jika tidak diuruskan dengan baik, besar kemungkinan kekurangan itu akan berlaku lebih awal.

"Sekarang hanya ada rezab 240 juta liter sehari atau 5.9 peratus daripada keperluan harian, selain dari penggunaan purata, ada keperluan puncak seperti perayaan serta musim panas, dan jumlah 5.9 peratus tidak mencukupi untuk menampung ketika waktu puncak.

"Enam bulan lalu, penggunaan air meningkat empat peratus, jika dibandingkan dengan rezab yang ada, dalam masa setahun enam bulan rezab air akan habis dan akan mengalami kekurangan bekalan air," katanya.

Sementara itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan menggalakkan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran asing untuk membeli petrol RON97 yang tidak bersubsidi.

"Lepas ini, mereka datang beli RON97 lagi banyak lagi negara untung kerana (minyak ini) tiada subsidi," katanya. - BERNAMA

Read more...

PDRM:Gerakan Militan Dipantau




Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau dan memberi perhatian kepada semua gerakan militan sama ada di dalam dan di luar negara, termasuk gerakan militan Sikh.

Dalam kenyataan, PDRM berkata ia tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Malaysia sebagai pangkalan bagi gerakan itu.

"Setakat ini tidak terdapat tanda-tanda menunjukkan kegiatan seperti yang didakwa dalam (sebuah) blog yang boleh menjejaskan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini," menurut kenyataan itu.

PDRM mengulas mengenai sebuah laman blog yang menyebut polis Punjab mendakwa Malaysia menjadi pangkalan pergerakan militan Sikh.

Menurut kenyataan itu lagi PDRM tidak akan bertolak ansur dan akan bertindak tegas mengikut peruntukan undang-undang sekiranya gerakan militan tersebut boleh menjejas keselamatan negara.

Katanya, PDRM akan bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk pihak berkuasa India sekiranya diperlukan dalam menangani gerakan militan itu.

Read more...

Rmk-10 Lulus



Dewan Negara meluluskan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) selepas dibahas selama lima hari dan penggulungan selama dua hari.

Usul berkenaan dipersetujui sebulat suara oleh semua anggota Dewan.

Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang mengingatkan sekali lagi kepada semua Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai supaya mengambil berat mengenai perbahasan yang dijalankan di Dewan Negara.

"Saya berharap semua Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai mengambil berat perbahasan yang dijalankan kerana apa yang kita bahaskan di Dewan yang mulia ini, adalah satu perkara yang sangat penting untuk semua," katanya.

RMK-10 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 10 Jun lepas yang menggariskan perbelanjaan pembangunan negara ke arah memacu Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.

RMK-10 yang bertemakan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial telah mencadangkan peruntukan berjumlah RM230 bilion untuk perbelanjaan sepanjang tempoh lima tahun.

Rancangan strategik yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 30 Jun lepas dirangka supaya selari dengan sasaran negara untuk muncul sebagai negara maju menjelang 2020.

Antara teras utama RMK-10, termasuk mencarta pembangunan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi dengan pendapatan per kapita dijangka meningkat kepada RM38,845 pada 2015.

Selain itu, ia juga mensasarkan pertambahan peluang pekerjaan di negara ini kepada 13.2 juta pekerjaan menjelang 2015.

RMK-10 turut merancang meningkatkan jumlah modal insan tempatan yang berkualiti selain menarik kehadiran tenaga profesional dari luar ke Malaysia.

Persidangan Dewan bersambung Khamis.

Read more...

Pelajar Hamil




KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 kes pelajar mengandung dan bersalin anak luar nikah sejak 2006 hingga sekarang dikesan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, 12 daripadanya berlaku di sekolah luar bandar dan sembilan di kawasan bandar.


“Siasatan kementerian menunjukkan 20 kes berdasarkan suka sama suka antara pasangan manakala satu kes membabitkan kes rogol,” katanya.


Ketika menjawab soalan Senator Datuk Azian Osman di persidangan Dewan Negara di sini, semalam, beliau berkata, semua kes berlaku dalam kawasan perumahan masing-masing.


Menurut beliau, maklumat itu diperoleh daripada Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah-sekolah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.



“Sebagai usaha menyelesaikan masalah sosial membabitkan pelajar sekolah, kementerian menerusi perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling menganjurkan program penerangan mengenai seksualiti, perhubungan antara lelaki dan perempuan serta adab dan tatacara bagaimana untuk bergaul dengan kawan-kawan,” katanya.


Beliau berkata, kebanyakan kes berlaku kerana naluri kedewasaan yang ingin mencuba selain mendapat kebebasan keterlaluan daripada keluarga.


“Selain usaha pihak sekolah, kementerian juga menasihati ibu bapa atau penjaga supaya lebih prihatin dan mengambil tahu perhubungan anak-anak mereka dengan memantau perubahan tingkah laku harian mereka,” katanya. - Bernama

Read more...

Tuntunt Hutang Amy seach




KUALA LUMPUR: “Kalau mereka hendak ambil tindakan undang-undang, saya tidak boleh buat apa-apa,” kata penyanyi rock ternama tanah air, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search berhubung sebuah syarikat logistik yang bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana didakwa gagal membayar kos perkhidmatan pengangkutan bagi menjayakan Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru, tahun lalu.

Amy, 51, berkata dia melakukan kesilapan kerana memberi kepercayaan kepada seorang rakan menguruskan konsert itu sehingga menimbulkan pelbagai masalah lain.


“Saya tidak tahu perlu membayar kos pengangkutan itu kerana saya difahamkan ia ditaja ketika perbincangan dijalankan.


“Saya tidak tahu hendak buat apa sekarang, kalau mereka mahu ambil tindakan undang-undang, saya terima,” katanya yang dihubungi semalam.

Sebelum itu ketika ditemui di Balai Berita semalam, Pengarah Urusan Wanaf Logistics (M) Sdn Bhd (Wanaf), Wan Ahmad Fazlisyah Wan Mohamad memberitahu pihaknya bercadang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap penyanyi rock itu kerana pembayaran masih belum dibuat selepas hampir setahun konsert itu berakhir.


Wanaf dilantik membawa semua peralatan pentas termasuk sistem bunyi ke lokasi konsert yang dianjurkan sebagai penghargaan kepada peminat bermula awal Mei dan berakhir Ogos tahun lalu.



Wan Ahmad Fazlisyah berkata, mengikut perjanjian antara syarikatnya dengan Amy pada awal Februari, Wanaf menyediakan lima treler membawa peralatan ke lokasi konsert.


“Bagaimanapun kami hanya membawa peralatan ke tiga lokasi, Seberang Jaya, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Jengka, Pahang manakala di Terengganu, perkhidmatan kami dibatalkan dan terpaksa berpatah balik atas alasan mereka mempunyai masalah kewangan.


“Baki perkhidmatan kami belum dibayar sehingga kini kira-kira RM200,000. Pada mulanya Amy berjanji membayar semua hutang dan memberikan tiga cek, tetapi malangnya cek tendang.


“Selepas berulang kali hubungi lama-kelamaan dia mengelak, malah panggilan dan surat tuntutan tidak dilayan,” katanya.


Menurutnya, walaupun kecewa dengan sikap penyanyi itu, pihaknya masih bersabar dan menggunakan cara rasmi untuk menuntut pembayaran seperti menghantar surat selain berusaha menghubunginya.

“Ini kali pertama Wanaf terbabit menyediakan perkhidmatan untuk konsert dan pada mulanya kami cukup gembira kerana berpeluang bekerjasama dengan penyanyi terkenal, malah dapat menyumbang sesuatu untuk konsert itu.


“Tetapi sekarang saya cukup terkilan pembayaran tidak dibuat selepas setahun manakala penyanyi itu masih mengadakan persembahan baru-baru ini. Kami membuka ruang membincangkan perkara ini seluas-luasnya dan tiada niat selain menuntut hak kami,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields kelmarin. Beliau berkata, pihaknya berharap maklum balas Amy untuk menyelesaikan pembayaran tertunggak selama setahun itu.

“Seboleh-bolehnya kami tidak mahu sehingga peringkat tindakan undang-undang kerana masih mengharapkan perbincangan, tetapi jika masih tidak diendahkan, kami terpaksa lakukannya,” katanya.

Read more...

Mansuh Diskaun Rumah Rm500,000 keatas bumiputera:selangor

Rabu, 28 Julai 2010



Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata cadangan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua supaya diskaun bumiputera dimansuhkan dalam pembelian rumah adalah bagi hartanah bernilai RM500,000 ke atas.

Beliau berkata Pua tidak mencadangkan pemansuhan diskaun bagi pembelian rumah kos rendah atau mampu milik dalam lingkungan RM250,000 seunit.

Ditanya sama ada cadangan itu akan diambil kira dalam pembentangan bajet negeri bagi 2011, Abdul Khalid berkata: "Kalau setuju akan ditulis dalam ucapan bajet, kalau tak ada, kita diam sahaja."

Katanya, cadangan Pua itu ada rasionalnya kerana jika berhasrat membantu mereka yang kurang berkemampuan, diskaun tersebut perlu ditumpukan kepada golongan berkenaan.

"Kedua, antara sebab dia (Pua) katakan (perkara) tersebut, kalau diskaun tujuh peratus untuk rumah RM1 juta, orang itu akan dapat diskaun RM70,000.

"Kalau dia beli rumah tu kemudian jual pada harga pasaran, dia sudah dapat RM70,000 atau kurang sedikit," katanya selepas penutupan Majlis Dialog Bajet 2011 Selangor di siniSelasa.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri mendapati urusniaga sedemikian telahpun berlaku.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Dana Program Ramadan di Gaza anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama gabungan badan bukan kerajaan Malaysia.

Katanya, program itu dijangka dapat mengumpul dana sebanyak RM3 juta dan sebagai permulaan, kerajaan negeri memberikan sumbangan berjumlah RM500,000.

Kutipan derma juga akan dilakukan pada setiap solat Jumaat, selain mengharapkan sumbangan daripada syarikat berkaitan dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata hasil kutipan dalam bentuk makanan, minuman, ubat-ubatan dan bahan pendidikan akan dihantar ke ke Gaza melalui misi yang disertai 40 aktivis diketuai Pengarah Penerangan Selangor Dr Badrul Amin Bahron.

Mereka akan bertolak dari Kuala Lumpur pada 6 Ogos ini dan kembali ke tanah air pada 18 Ogos.

Read more...

Timbalan Pendakwa raya digugurkan Daripada pasukan pendakwa ke Anwar



Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail Selasa mengesahkan Timbalan Pendakwa Raya Farah Azlina Latif telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata langkah itu adalah susulan terhadap dakwaan bahawa Farah Azlina mempunyai "hubungan romantis" dengan saksi utama kes tersebut, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar pada Jun 2008.

Farah Azlina turut digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara atas faktor yang sama, katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sidang akhbar berkenaan diadakan bagi menjelaskan perkembangan terkini sekaligus menjawab persoalan mengenai hubungan Farah Azlina dan Mohd Saiful seperti yang disiarkan oleh laman web Malaysia Today baru-baru ini.

Abdul Gani berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

"Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

"Ini boleh menjadi sangat sukar bagi kita, tetapi sebarang perkara peribadi sekiranya boleh memberikan kesan dalam apa juga bentuk terhadap jabatan ini akan ditangani dengan amat serius," katanya.

Tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran kes tidak terganggu, katanya.

Beliau menjelaskan penglibatan Farah Azlina dalam kes itu sangat terhad iaitu sekadar membantu mencatatkan segala nota mengenai perbicaraan tersebut.

"Beliau tidak mempunyai akses langsung kepada kertas siasatan kes atau mempunyai apa-apa sebab untuk mengakses kertas siasatan atau apa-apa maklumat sulit yang ada pada pihak pendakwaan.

"Beliau sama sekali tidak terlibat dalam sebarang perbincangan atau persediaan kes termasuk penyusunan strategi pasukan pendakwa," katanya.

Mengulas lanjut Abdul Gani berkata pasukan pendakwa untuk semua kes berprofil tinggi telah menetapkan peraturan bahawa kertas siasatan dan dokumen kes hanya boleh disimpan oleh Ketua Pendakwa atau Pendakwa Kanan.

"Pendakwa baru hanya membantu kami dalam menjalankan beberapa tugas yang sama sekali tidak melibatkan perbincangan, penyusunan strategi dan pembentangan hujah di dalam mahkamah," katanya.

Pasukan pendakwa untuk kes berkenaan diketuai oleh Peguam Cara Negara 2, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang dibantu oleh timbalan pendakwa raya Datuk Nordin Hassan, Noorin Badaruddin, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azman dan Farah Azlina.

"Tugas menyoal saksi dilakukan oleh Mohd Yusof, Mohamed Hanafiah, Datuk Nordin dan Noorin manakala Chiang Kiat bertugas membantu aspek perundangan berhubung rayuan dan semakan kes.

"Farah Azlina, Naidatul Athirah dan Mira Mirna hanya dipertanggungjawabkan untuk mengambil dan mencatatkan segala nota perbicaraan," katanya.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun, 2008.

Read more...

Maradona Disingkirkan Dari skuad Argentina




BUENOS AIRES: Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) memilih untuk tidak memperbaharui kontrak lagenda bola sepak, Diego Maradona sebagai jurulatih skuad kebangsaan negara itu.

Jurucakap AFA, Ernesto Cherquis Bialo, berkata keputusan itu diambil selepas Presiden AFA, Julio Grondona mengadakan perbincangan dengan Maradona semalam.
Masa depan jurulatih berusia 49 tahun itu sejak tersingkir pada Piala Dunia di Afrika Selatan menimbulkan spekulasi media.
“Presiden memberikan beberapa petunjuk kepada Maradona dalam perbincangan yang panjang lebar semalam.

"Selepas itu, jawatankuasa eksekutif AFA sebulat suara memutuskan tidak membaharui kontraknya sebagai pengarah teknikal skuad kebangsaan," katanya.

Maradona yang kurang pengaralaman sebagai jurulatih hanya mengendalikan skuad kebangsaan Argentina selama 18 bulan dan hanya layak ke pusingan akhir Piala Dunia Afrika Selatan sebelum tersingkir pada pusingan sukur akhir kepada Jerman.

Read more...

Skim Khairat Kematian Pengurusan Kehidupan 1Malaysia Tidak Ikut Peraturan

Selasa, 27 Julai 2010




Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan jangan terlibat dengan skim khairat kematian "Pengurusan Kehidupan 1Malaysia".

Suruhanjaya itu berkata berdasarkan maklumat pemantauan yang dijalankannya, skim itu meragukan kerana ia bertentangan dengan Undang-undang Kecil Koperasi dan Akta Koperasi 1993.

Dalam satu kenyataan Selasa, SKM berkata terdapat pihak tertentu atas nama koperasi didapati menawarkan skim itu kepada orang awam dengan mengenakan bayaran RM365 setahun dengan jaminan pampasan sebanyak RM20,000 apabila berlakunya kematian tanpa mengira bentuk dan jenis kematian.

Skim yang dilaksanakan itu tidak diperuntukkan dalam Undang-Undang Kecil Koperasi, dan pelaksanaannya tidak mempunyai aturan yang telah diluluskan oleh mesyuarat agung tahunan koperasi dan tidak dikemukakan kepada SKM.

"Had umur untuk menyertai skim dan anggota Koperasi iaitu dari umur setahun hingga 99 tahun adalah bertentangan dengan Akta Koperasi 1993, dan selain itu undang-undang kecil koperasi yang didaftarkan hanya membenarkan koperasi mengambil anggota di kawasan Kuala Lumpur sahaja," menurut kenyataan itu.

SKM mendapati koperasi itu telah mengiklankan skim tersebut di luar Kuala Lumpur yang penyertaannya terbuka kepada warganegara Malaysia, dan perkara itu bertentangan dengan Akta Koperasi 1993.

SKM akan menjalankan pemeriksaan terhadap koperasi dan skim yang ditawarkan itu, dan orang ramai boleh menghubungi Rohana Mazlan (Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan) di talian 03-4047 4000 untuk sebarang pertanyaan.

Read more...

Minuman 3 in 1 perlu dikawal

Isnin, 26 Julai 2010



Penggunaan produk minuman '3-in-1' yang kini menjadi pilihan kebanyakan masyarakat perlu dikawal pengambilannya kerana ia boleh memudaratkan kesihatan jika diambil secara berlebihan.

Pensyarah Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Roslee Rajikan berkata pengguna perlu bijak membuat pilihan dengan melihat label nutrien atau zat makanan pada produk berkenaan.

"Jika ambil produk ini sekali sekala tanpa berlebihan saya rasa tidak timbul masalah. Tetapi jika sehari lima hingga enam kali, mungkin boleh timbul masalah," katanya semasa ditemubual Zulkifli Bujang dalam program Kerusi Panas di Radio 24.

Dr Roslee berkata pengguna tidak boleh mengawal pengambilan gula dengan pengambilan minuman 3-in-1, berbanding jika menyediakan sendiri minuman.

Menurut kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), rakyat negara ini mengambil secara purata 26 sudu teh gula setiap hari, iaitu tiga kali ganda lebih tinggi daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr Roslee berkata untuk mendidik masyarakat mengurangkan pengambilan gula bukan satu perkara mudah meskipun pelbagai kempen diadakan untuk menyedarkan masyarakat.

"Tetapi ramai juga orang yang telah mempunyai kesedaran telah beralih kepada corak pengambilan yang lebih baik. Dulu tidak pernah dengar teh tarik kurang manis dan teh O kurang manis. Tetapi sekarang sudah jadi perkara biasa," katanya.

Dr Roslee berkata meskipun kerajaan menambah bekalan gula sebanyak 15 peratus daripada biasa sebagai persediaan menyambut perayaan, orang ramai perlu bijak mengawal penggunaannya.

Beliau juga menasihatkan individu yang mempunyai ibu bapa atau keluarga yang menghidap diabetis supaya mengawal pengambilan gula dan mengamalkan pemakanan sihat bagi mengurangkan risiko menghidap penyakit yang sama.

"Memang ada sedikit pengaruh genetik kepada perkembangan penyakit ini. Tetapi kita tidak boleh menyalahkan ibu bapa (yang menghidap diabetis) sedangkan kita mempunyai keupayaan untuk mengubah cara hidup terutama pengambilan makanan yang sihat serta bersenam," katanya.

Read more...

Yassin Ditahan Positif Dadah




SUBANG JAYA: Bekas anggota kumpulan pelawak Senario, Yassin Yahya (gambar), ditahan polis kerana dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah, awal pagi Ahad.

Yassin,32, ditahan di sebuah pusat hiburan di Sunway Piramid sekitar pukul 1 pagi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya juga menjalankan ujian air kencing kepada 30 orang awam lain yang berada di pusat hiburan itu.

"Tiga lelaki termasuk Yassin didapati positif dadah selepas ujian tersebut dilakukan.

"Ujian tersebut juga mendapati Yassin mengambil dadah jenis ganja, manakala dua orang lagi iaitu pengurusnya dan seorang ahli perniagaan dikesan mengambil dadah jenis ketamin," kata Khalid seperti dipetik portal The Star Online, Ahad.

Tambahnya, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya.

Read more...

Usahawan Malaysia Disoal-siasat

Khamis, 22 Julai 2010



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah menyoal-siasat seorang usahawan negara ini berhubung komisyen RM11.3 juta yang diterimanya daripada dua firma Australia sebagai usahanya membantu mereka memenangi kontrak bagi mencetak dan membekalkan wang negara.

Menurut akhbar, The Age di Melbourne, pihak berkuasa Australia telah memohon bantuan SPRM bagi siasatan membabitkan bayaran komisyen RM134 juta (A$47.5 juta) yang dibayar oleh firma mencetak wang Securency and Note Printing Australia - kedua-duanya anak syarikat Bank Negara Australia - Reserve Bank of Australia (RBA) - sepanjang tempoh enam tahun.

"Sumber risikan daripada soal-siasat telah dihantar kepada pasukan polis persekutuan Australia bagi menentukan sama ada eksekutif dua anak syarikat RBA itu untuk melanggar undang-undang anti-rasuah,” kata laporan itu.

"Orang tengah (Malaysia) dibayar wang bagi membantu firma RBA mendapatkan kontrak mencetak dan membekalkan wang daripada Bank Negara Malaysia...”.

Mengikut undang-undang Australia, adalah satu kesalahan bagi syarikat ataupun individu membayar pegawai asing bagi mendaptkan kelebihan dalam perniagaan. Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimun 10 tahun dan boleh dikenakan denda yang berat.

Usahawan Malaysia yang tidak dinamakan itu didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Umno dan dipercayai akrab dengan pegawai kanan kerajaan yang menerima sogokan komisyen yang dibayar oleh firma RBA.

Menurut The Age juga, usahawan itu juga pernah bertindak sebagai broker bagi kilang membuat senjata kerajaan Pakistan.

Read more...

Umno Masih Parti Terbesar Melayu




Umno masih merupakan parti Melayu yang terbesar dengan jumlah keanggotaan terus meningkat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Presiden Umno berkata keanggotaan Umno kini mencecah 3,186,850 orang dan pelbagai usaha berterusan dijalankan untuk menambah bilangan keanggotaan.

"(Jumlah) ini selepas ditolak anggota yang sudah meninggal dan tak dapat dikesan. Ini jumlah yang sahih. Dan kita dapati jumlah ini terus meningkat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini Rabu.

Najib turut menyangkal dakwaan bahawa ada orang Melayu yang "meluat" dengan Umno.

"Siapa kata? Itu tak betul. Saya tak dapat terima ada yang kata meluat pada Umno. Kita parti yang terbesar mewakili orang Melayu," tegasnya.

Najib juga memberitahu pemberita bahawa mesyuarat Majlis Tertinggi turut menerima laporan bahawa mesyuarat bahagian-bahagian berjalan lancar dan teratur.

Sehingga kini, sebanyak 189 daripada 191 bahagian telah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing.

Read more...

polis Nafi geledah pejabat pkr



Polis hari ini memberi penjelasan berhubung kehadiran mereka di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Polis sekaligus menafikan bahawa mereka mahu menggeledah bangunan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abd Manan Mohd Hassan berkata polis sebenarnya sedang menyiasat Ahli Majlis Tertinggi PKR iaitu Badrul Hisham Shaharin di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan.

Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard ditahan di Pejabat Perhubungan PKR Negeri Sembilan di Jalan Rahang di sini pada 9 Julai lepas, kerana didakwa memuatkan artikel berunsur hasutan di dalam blognya, mengenai Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja.

Beliau kemudiannya dibebaskan.

"Untuk melengkapkan siasatan itu, pihak polis memerlukan beberapa bahan dan salah satu bahan yang diperlukan ialah komputer riba Badrul Hisham.

"Jadi pihak polis telah pergi ke Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya untuk mendapatkan komputer riba tersebut yang dimaklumkan kepada pihak polis oleh Badrul Hisham, bahawa artikel tersebut (bahan bukti) telah ditulis di sana," kata Abd Manan kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau menjelaskan polis terlebih dahulu mendapat kebenaran mahkamah untuk memperolehi bahan bukti berkenaan.

Beliau berkata semasa pihak polis sedang memeriksa ibu pejabat PKR itu, Pegawai Penyiasat ASP Affendy Sulaiman telah menerima panggilan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Badrul Hisham sendiri yang menyatakan komputer riba tersebut berada bersamanya.

"Hasil daripada SMS tersebut, maka pihak polis telah menghentikan pemeriksaan di Ibu Pejabat PKR itu dan balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di mana Badrul Hisham telah berjanji untuk menyerahkan komputer riba tersebut.

"Kira-kira pukul 5.45 petang Rabu, Badrul Hisham datang ke IPD Seremban dan menyerahkan komputer riba tersebut kapada Affendy.

"Jadi dalam hal ini tidak timbul isu seperti mana yang dilaporkan dalam akhbar yang menyatakan bahawa pihak polis hendak melakukan penggeledahan. Sebenarnya ia lebih kepada untuk membantu siasatan.

"Kita nak dapatkan komputer riba itu, kita nak tahu apa yang ada dalam kandungannya. Penting komputer riba itu untuk dikaji, untuk nak buktikan ada atau tidak apa-apa elemen hasutan di dalamnya.

"Kita telah pun dapat komputer riba tersebut dan siasatan akan diteruskan," kata Abd Manan.

Read more...

Bekalan Air di selangor,Putrajaya dan Kuala Lumpur membimbangkan

Rabu, 21 Julai 2010




Jumlah bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak cukup untuk menampung keperluan dan permintaan yang semakin meningkat, kata Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Datuk Ruslan Hassan yang menyifatkan keadaan itu sebagai sangat membimbangkan.

Beliau berkata jumlah kapasiti bekalan air di ketiga-tiga kawasan itu hanyalah sebanyak 4,326 juta liter sehari (JLH) berbanding purata pengeluaran sebanyak 4,086 JLH bagi tempoh 1 Jun hingga 11 Julai lepas.

"Ini menunjukkan hanya terdapat rizab kapasiti bekalan sebanyak 240 JLH atau 5.9 peratus sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata dengan peningkatan keperluan sebanyak empat peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, rizab bekalan air yang sedikit itu akan semakin berkurangan dan meruncing.

"Keadaan ini sangat membimbangkan sekiranya berlaku kemarau panjang atau pencemaran sumber air mentah di kawasan takungan ataupun sungai-sungai yang boleh menyebabkan penutupan loji air," katanya.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam dilaporkan berkata bahawa bekalan air di negeri berkenaan adalah mencukupi sehingga tahun 2019.

Ruslan berkata Syabas sedang menghadapi kesulitan untuk menampung keperluan bekalan air terutama selepas berlaku gangguan, iaitu untuk memulihkan kembali bekalan, kerana rizab kapasiti yang terhad dan keperluan puncak yang meningkat akibat gangguan tersebut.

Beliau juga menjelaskan beberapa loji air telah dipaksa beroperasi dalam keadaan jauh melebihi kapasiti reka bentuk asal sejak beberapa tahun lepas tanpa henti untuk menampung keperluan pengguna.

Ia termasuk Loji Sungai Langat dengan kapasiti 386 JLH telah sentiasa beroperasi pada tahap 450 JLH dan Loji Air Semenyih dengan kapasiti 565 JLH beroperasi pada lingkungan 580-620 JLH.

"Hal ini menyebabkan loji-loji tidak dapat diselenggara pada waktu yang sepatutnya kerana dikhuatiri akan menjejaskan bekalan. Jika dibiarkan berlarutan, ia boleh menyebabkan kesan jangka panjang," kata Ruslan.

Beliau berkata fakta-fakta bekalan air itu telah dimajukan kepada kerajaan negeri dan persekutuan untuk tindakan selanjutnya.

"Syabas sedia memberi penerangan kepada mana-mana pihak agar (mereka ini) lebih bersedia sekiranya berlaku krisis bekalan," katanya.

Read more...

Esok Penentu Petisyen Hulu Selangor

Selasa, 20 Julai 2010




Mahkamah Pilihan Raya Selasa menolak bantahan awal oleh peguam Datuk Zaid Ibrahim dan akan mendengar permohonan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan, untuk membatalkan petisyen yang dikemukakan oleh peguam itu.

Hakim Datuk Azahar Mohamed memerintahkan hakim pilihan raya mempunyai kuasa sedia ada untuk menolak atau melupuskan petisyen itu sekira ianya cacat.

Mahkamah diberi kuasa untuk berbuat demikian jika petisyen itu tidak memenuhi syarat mandatori yang ditetapkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954, katanya.

Azahar berkata beliau akan mendengar merit permohonan Kamalanathan esok.

Zaid, kini sebagai Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, kalah kepada Kamalanathan dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 25 April lalu.

Pada 24 Mei lalu, Zaid memfailkan petisyen supaya keputusan pilihan raya kecil itu diisytiharkan tidak sah dan batal dengan mendakwa berlaku rasuah dalam bentuk sogokan kepada penduduk di kawasan itu.

Zaid menamakan Kamalanathan, pegawai pengurus pilihan raya Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Azahar berkata beliau juga akan mendengar bantahan awal yang dikemukakan oleh SPR atas alasan Zaid telah gagal menyediakan bukti secukupnya terhadap dakwaan rasuah itu.

Beliau menjelaskan kuasa yang diberikan kepada hakim pilihan raya untuk menolak petisyen pilihan raya telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam beberapa kes sebelum ini.

"Pada petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh pengundi PAS, Ahmad Jamaluddin Abd Majid terhadap Rafidah Aziz, Mahkamah Persekutuan memerintahkan bahawa hakim pilihan raya mempunyai kuasa untuk menolak petisyen itu sekiranya mempunyai kecacatan," katanya.

Zaid dan Kamalanathan hadir di mahkamah hari ini.

Kamalanathan, yang juga Ketua Penerangan MIC, telah memohon untuk membatalkan petisyen itu atas alasan ianya mengaibkan, remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Katanya Zaid gagal mendedahkan identiti orang yang dikatakan telah ditawarkan rasuah.

Peguam Zaid, Azahar Azizan Harun, sebelum itu mengemukakan bahawa di bawah Seksyen 36(1) Akta Kesalahan Pilihan raya 1965, hakim pilihan raya tidak mempunyai kuasa untuk melupuskan petisyen itu tetapi harus menentukan sama ada wujud sebarang amalan rasuah atau amalan haram dalam perbicaraan penuh.

Peguam Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Kamalanathan, berhujah bahawa ada beberapa petisyen pilihan raya ditolak tanpa perbicaraan penuh dan ianya disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Oleh itu, Mahkamah Pilihan Raya tertakluk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan," katanya.

Read more...

Pemuda Umno selangor Hantar Dokumen isu Pasir Ke SPRM




Pemuda Umno Selangor pada Selasa menghantar sejumlah dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini sebagai sokongan kepada dakwaan penyelewengan pasir yang dibuat Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Noh Omar Sabtu lepas.

Ketua Penerangannya Safarizul Mustafa berkata dokumen setebal setengah inci itu dihantar bersama bukti seperti resit rasmi berkaitan aktiviti penjualan dan pembelian pasir di negeri itu.

"Buah semangka berdaun sirih, mengata orang dia yang lebih. Kita bukan seperti mereka yang mendakwa tanpa bukti, jadi hari ini kita kemukakan bukti kepada SPRM untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata semua dokumen itu diperolehi daripada badan perhubungan Umno Selangor.

Pemuda juga akan terus mengumpul bukti berhubung isu pasir di negeri tersebut bagi memastikan isu berkenaan diambil serius oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, katanya.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini mendakwa mempunyai bukti wujud penyelewengan dan amalan pilih kasih oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam menawarkan pembelian pasir kepada syarikat kontraktor.

Antaranya beliau mendakwa KSSB memberi diskaun 22 peratus atau RM4 bagi pembelian setiap tan pasir yang berharga RM17.50 kepada sebuah syarikat, manakala yang lain hanya diberi potongan sebanyak 50 sen.

Selain itu Noh juga mendakwa KSSB memberi kemudahan kredit kepada sebuah syarikat dan lima kontraktor untuk mengorek pasir pasir tanpa perlu membayar deposit.

Read more...

Kesatuan Guru Setuju Mansuh Upsr Dan Pmr




Rata-rata kesatuan guru yang menghadiri perbincangan meja bulat yang pertama mengenai pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hari ini, bersetuju dengan cadangan kerajaan itu.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Loke Yim Pheng berkata, pihaknya bersetuju dengan cadangan pemansuhan itu tetapi dengan syarat mempunyai kaedah lain untuk menilai prestasi pelajar.

Langkah itu penting bagi mengukur serta menilai tahap pelajaran yang diterima oleh pelajar dan mengelak mereka dan guru hilang tumpuan, katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perbincangan meja bulat itu yang dihadiri hampir 140 wakil golongan pendidik dan kesatuan guru termasuk dari Sabah dan Sarawak, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohd Sabri Mohd Arshad juga bersetuju kerana menganggap fungsi kedua-dua peperiksaan itu didapati kurang jelas.

Katanya, ia dilihat lebih kepada penilaian kognitif, iaitu berdasarkan penilaian dari segi intelektual semata-mata.

"Penilaian berdasarkan pensil dan kertas semata-mata. Jika kita lihat di negara lain, seperti New Zealand, tidak ada peperiksaan berpusat.

"Langkah ini (mansuh) baik kerana dapat menjimatkan wang seperti kos percetakan, elaun peperiksaan dan pengangkutan. Beban tugas guru juga akan berkurangan dan tidak perlu memberi tumpuan pada kelas-kelas tertentu," katanya.

Beliau berkata, beban ke atas ibu bapa juga akan berkurangan kerana tidak perlu menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen dan guru juga tidak perlu membuat kelas tambahan.

"Tugas guru akan lebih fokus untuk mengatasi masalah defisit pembelajaran seperti program 3M, disiplin pelajar dan sebagainya.

"Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga yang mahu para pelajar serba boleh turut akan dapat dicapai, termasuk hasrat kerajaan untuk memiliki modal insan bertaraf dunia," katanya.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Sabah Sarawak William Ghani Bina turut bersetuju dengan cadangan pemansuhan itu tetapi dengan syarat tidak membebankan tugas guru.

"Kalau boleh, guru-guru sekarang digantikan dengan guru-guru terlatih. Tidak ada lagi guru sandaran atau guru sandaran tidak terlatih.

"Lang
kah ini akan mengawal mutu pendidikan dengan lebih baik berikutan kapasiti sesebuah kelas akan menjadi kecil. Sekarang, kelas terlalu besar, dan tidak ada hubungan antara pelajar dan guru," katanya.

Bagaimanapun, Presiden Kesatuan Guru-Guru Sekolah Tamil Malaya, P. Pharmal Lingam pula tidak bersetuju dengan cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu kerana mendakwa tidak ada kayu pengukur untuk membuat penilaian terhadap guru dan murid.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, pelbagai pandangan diterima daripada perbincangan yang diadakan selama kira-kira tiga jam itu.

Bagaimanapun, katanya, tiada keputusan dibuat pada mesyuarat itu kerana ia bertujuan mendapatkan pandangan untuk dianalisis.

"Kita menggunakan empat jenis input untuk mendapatkan pandangan iaitu melalui pengumpulan berita daripada media, pandangan orang ramai melalui e-mel dan surat.

"Selain itu, melakukan kajian di sekolah dengan mengedar soalan bagi mendapatkan maklum balas daripada pelajar dan guru, dan input daripada dua perbincangan meja bulat ini," katanya.

Beliau berkata, laporan akhir akan siap pada akhir bulan Ogos ini selepas semua input diteliti sebelum dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Read more...

Najib Akan Lawat Kawasan terpencil Serawak




KUCHING: Long Banga, antara kawasan paling terpencil di Sarawak, akan menerima tetamu istimewanya Khamis ini apabila Datuk Seri Najib Razak berkunjung ke situ untuk menemui penduduk di situ pada satu majlis pemimpin bersama rakyat.

Perdana Menteri juga dijadual merasmikan Jambatan Sungai Puak di Long Banga, satu kawasan dalam daerah Baram yang hanya dapat dihubungi menerusi jalan balak yang mengambil masa lapan jam dari Miri menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Menurut atur cara lawatannya yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Sarawak hari ini, Najib akan juga melawat Pekan Bekenu untuk menghadiri satu lagi majlis pemimpin bersama rakyat, diikuti dengan satu program dinamakan "Sentuhan Harapan Petronas" di Stesen Petronas Senadin di bandar Miri.

Pada malamnya, Perdana Menteri akan menghadiri satu jamuan bersama rakyat di stadium tertutup Miri sebelum berlepas ke Kuala Lumpur

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP