Klik disini

Memaparkan catatan dengan label polis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label polis. Papar semua catatan

Polis Serbu Lubuk Pelacur di pj

Sabtu, 31 Julai 2010




Lima wanita warga China dan dua lelaki tempatan yang menjadikan sebuah kelab karaoke mewah sebagai lubuk pelacuran ditahan dalam satu serbuan polis di Petaling Jaya lewat malam Jumaat.

Seorang anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Petaling Jaya yang dihubungi hari ini berkata wanita warga China berumur 22 hingga 26 tahun dan dua lelaki tempatan berumur 30 dan 37 tahun yang bertindak sebagai bapa ayam itu ditahan dalam serbuan pukul 11 malam.

"Dalam operasi kira-kira dua jam itu, tindakan menyerbu kelab di tingkat lima dan enam bersebelahan hotel empat bintang itu dipercayai dapat dihidu lebih awal, ekoran beberapa pelacur dapat meloloskan diri melalui lorong tikus menghubungkan tangga kecemasan yang disembunyikan berhampiran tandas kelab terbabit," katanya.

Katanya, ketika serbuan pihak pengurusan kelab bagaimanapun menafikan wujudnya kegiatan pelacuran terbabit memandangkan kelab itu mempunyai pengaruh orang kenamaan serta dikujungi oleh ramai VVIP dan mendakwa kegiatan pelacuran dilakukan oleh pekerja-pekerjanya yang ingin mengambil kesempatan.

Difahamkan, pelacur kelas atasan itu menerima bayaran sekitar RM400 hingga RM500 untuk layanan di bilik karaoke bagi 'sesi perkenalan' sebelum dibawa ke hotel bersebelahan dengan bayaran lebih mahal bagi perkhidmatan seks yang mengikut jam, katanya.

"Kesemua wanita itu ditahan mengikut Seksyen 39 (b), peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial manakala dua lelaki tempatan itu ditahan mengikut Seksyen 55B, Akta Imigresen 1959 dan di bawa ke IPD Petaling Jaya untuk siasatan lanjut," katanya.

Read more...

PDRM:Gerakan Militan Dipantau

Khamis, 29 Julai 2010




Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau dan memberi perhatian kepada semua gerakan militan sama ada di dalam dan di luar negara, termasuk gerakan militan Sikh.

Dalam kenyataan, PDRM berkata ia tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Malaysia sebagai pangkalan bagi gerakan itu.

"Setakat ini tidak terdapat tanda-tanda menunjukkan kegiatan seperti yang didakwa dalam (sebuah) blog yang boleh menjejaskan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini," menurut kenyataan itu.

PDRM mengulas mengenai sebuah laman blog yang menyebut polis Punjab mendakwa Malaysia menjadi pangkalan pergerakan militan Sikh.

Menurut kenyataan itu lagi PDRM tidak akan bertolak ansur dan akan bertindak tegas mengikut peruntukan undang-undang sekiranya gerakan militan tersebut boleh menjejas keselamatan negara.

Katanya, PDRM akan bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk pihak berkuasa India sekiranya diperlukan dalam menangani gerakan militan itu.

Read more...

Yassin Ditahan Positif Dadah

Isnin, 26 Julai 2010




SUBANG JAYA: Bekas anggota kumpulan pelawak Senario, Yassin Yahya (gambar), ditahan polis kerana dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah, awal pagi Ahad.

Yassin,32, ditahan di sebuah pusat hiburan di Sunway Piramid sekitar pukul 1 pagi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya juga menjalankan ujian air kencing kepada 30 orang awam lain yang berada di pusat hiburan itu.

"Tiga lelaki termasuk Yassin didapati positif dadah selepas ujian tersebut dilakukan.

"Ujian tersebut juga mendapati Yassin mengambil dadah jenis ganja, manakala dua orang lagi iaitu pengurusnya dan seorang ahli perniagaan dikesan mengambil dadah jenis ketamin," kata Khalid seperti dipetik portal The Star Online, Ahad.

Tambahnya, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya.

Read more...

polis Nafi geledah pejabat pkr

Khamis, 22 Julai 2010



Polis hari ini memberi penjelasan berhubung kehadiran mereka di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Polis sekaligus menafikan bahawa mereka mahu menggeledah bangunan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Abd Manan Mohd Hassan berkata polis sebenarnya sedang menyiasat Ahli Majlis Tertinggi PKR iaitu Badrul Hisham Shaharin di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan.

Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard ditahan di Pejabat Perhubungan PKR Negeri Sembilan di Jalan Rahang di sini pada 9 Julai lepas, kerana didakwa memuatkan artikel berunsur hasutan di dalam blognya, mengenai Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja.

Beliau kemudiannya dibebaskan.

"Untuk melengkapkan siasatan itu, pihak polis memerlukan beberapa bahan dan salah satu bahan yang diperlukan ialah komputer riba Badrul Hisham.

"Jadi pihak polis telah pergi ke Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya untuk mendapatkan komputer riba tersebut yang dimaklumkan kepada pihak polis oleh Badrul Hisham, bahawa artikel tersebut (bahan bukti) telah ditulis di sana," kata Abd Manan kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau menjelaskan polis terlebih dahulu mendapat kebenaran mahkamah untuk memperolehi bahan bukti berkenaan.

Beliau berkata semasa pihak polis sedang memeriksa ibu pejabat PKR itu, Pegawai Penyiasat ASP Affendy Sulaiman telah menerima panggilan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Badrul Hisham sendiri yang menyatakan komputer riba tersebut berada bersamanya.

"Hasil daripada SMS tersebut, maka pihak polis telah menghentikan pemeriksaan di Ibu Pejabat PKR itu dan balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di mana Badrul Hisham telah berjanji untuk menyerahkan komputer riba tersebut.

"Kira-kira pukul 5.45 petang Rabu, Badrul Hisham datang ke IPD Seremban dan menyerahkan komputer riba tersebut kapada Affendy.

"Jadi dalam hal ini tidak timbul isu seperti mana yang dilaporkan dalam akhbar yang menyatakan bahawa pihak polis hendak melakukan penggeledahan. Sebenarnya ia lebih kepada untuk membantu siasatan.

"Kita nak dapatkan komputer riba itu, kita nak tahu apa yang ada dalam kandungannya. Penting komputer riba itu untuk dikaji, untuk nak buktikan ada atau tidak apa-apa elemen hasutan di dalamnya.

"Kita telah pun dapat komputer riba tersebut dan siasatan akan diteruskan," kata Abd Manan.

Read more...

Dua persatuan Tegur Saiful Apek

Selasa, 20 Julai 2010



PELAWAK Saiful Apek,41, dalam rancangan Melodi pada 11 Julai lalu mempersoalkan tindakan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang mendakwa terdapat 30 artis sedang dipantau kerana dipercayai terlibat dengan dadah.

Apek dalam rancangan itu berkata kenapa Seniman terlalu sibuk mengenai perkara itu sedangkan banyak isu lain yang seharusnya dibangkitkan.

Berikutan itu Apek mengambil pendekatan untuk membongkar perbuatan pengarah dan penerbit drama televisyen yang selama ini menindas pelakon dengan memberi mereka bayaran “ciput”, menipu, melakukan diskriminasi dan tidak membayar pelakon.

“Itulah kebenaran yang akan saya tegakkan. Selama ini orang buat salah pada saya, saya diam. Saya akan bongkar segala-galanya. Pihak berkenaan diminta bersedia,” katanya dalam rancangan itu.
Yusof Kelana

Mengulas kenyataan itu, Setiausaha Agung Seniman, Yusof Kelana secara menyindir mengalu-alukan tindakan Apek untuk membongkar masalah tersebut sekiranya dia benar-benar ditipu.

Bagaimanapun kata Yusof, itu tidak bermakna Seniman berdiam diri sebaliknya mereka akan bertindak sekiranya mendapat aduan secara bertulis daripada ahli-ahli-ahli.

“Kita tak boleh cakap kosong. Kalau cakap kosong kami tak ambil kira,” katanya seperti dipetik akhbar Mingguan mStar keluaran Ahad lalu.

Jelas Yusof lagi, jika Apek mendakwa dia ditindas oleh mana-mana produser, persatuan itu juga turut menerima aduan daripada syarikat produksi mengenai masalah yang dilakukan oleh pelakon termasuklah datang lambat ke lokasi serta tidak berdisiplin.

Mengenai kenyataan Apek yang menganggap dakwaan Seniman berhubung penglibatan beberapa artis dengan dadah diuar-uarkan selepas insiden dia ditahan di dalam lokap pada 12 Jun lalu kerana dipercayai terlibat dengan dadah, Yusof berkata ia tiada kena mengena dengan pelawak itu.

“Sebelum dia kena tangkap lagi kami sudah bercakap mengenai artis-artis yang sedang dipantau kerana terlibat dengan dadah.

Apa yang dilakukan persatuan itu kata Yusof hendaklah dilihat dalam konteks yang positif kerana matlamat mereka untuk membawa kesejahteraan dalam dunia hiburan.
Jurey Latif

Apek patut diam diri – Jurey Latif

Sementara itu Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latif Rosli apabila ditanya benarkah terdapat produser yang menindas pelakon seperti didakwa Apek dalam rancangan Melodi itu, Jurey tidak menafikan perkara tersebut.

Bagaimanapun kata Jurey setiap artis di negara ini haruslah bijak apabila mereka menerima tawaran berlakon sekiranya tidak mahu ditindas ataupun ditipu.

Katanya, setiap penerbit filem akan memberi kontrak yang harus dibaca oleh semua artis sebelum mereka menandatanganinya.

Jika artis memahami kontrak, tidak timbul soal mereka ditipu, tidak mendapat bayaran dan segala macam masalah lain.

“Saya tak nafikan ada produser yang tidak berlaku adil kepada pelakon. Mereka (pelakon) juga harus tahu peranan mereka sebelum menerima satu-satu tawaran. Bacalah kontrak tu dulu. Kalau tak puas hati, jangan ambil tawaran itu,” jelasnya.

Bagaimanapun Jurey kurang bersetuju dengan tindakan Apek yang membuat kenyataan tersebut kerana ia dilihat seolah-olah Apek cuba mengalihkan tumpuan orang ramai terhadap berita dia ditahan polis.

Ujarnya, ketika namanya agak tercalar pada hari ini, Apek sepatutnya mengambil pendekatan berdiam diri, tidak banyak memberi komen sebaliknya memberi tumpuan terhadap kerja-kerja kebajikan yang dijanjikannya selepas keluar dari lokap polis.

Padanya jika benar Apek ditindas oleh produser, jalan terbaik yang perlu dilakukan ialah mengambil tindakan menyaman mereka dan bukan membuat kenyataan yang boleh menambahkan lagi masalah.

“Janganlah kita bercakap macam orang berborak di kedai kopi. Kalau tak puas hati, Apek boleh tulis surat kepada kami, dan PTVM boleh meminta mana-mana stesen televisyen agar tidak menerima apa juga projek di bawah mana-mana syarikat penerbitan yang bermasalah,” katanya.

Jurey tidak menafikan tindakan Apek itu baik kerana kejayaan sesebuah drama atau filem terletak kepada kehebatan seseorang artis seperti Apek sendiri.

Tetapi tindakannya mencari salah orang lain seperti cuba untuk mengalihkan tumpuan orang ramai terhadap kesnya adalah tidak wajar.

“Kalau saya jadi Apek, saya akan mengambil tindakan mengikut peraturannya dan bukan bercakap untuk membongkar satu-satu hal yang kita tidak puas hati. Saya takut nanti kalau tersalah cakap, orang berkenaan yang kena saman dengan penerbit,” ujarnya.

Read more...

Badrul Muhayat Buat Hal Lagi

Khamis, 15 Julai 2010




AMPANG: “Perbuatannya memang kejam dan kali ini saya tak boleh maafkan dia lagi,” kata Julia Daud, 29, isteri pelakon popular, Badrul Muhayat, 42, yang mendakwa suaminya itu sekali lagi mengasari dirinya dan merampas wang jaminan mahkamah berjumlah RM2,500, Isnin lalu.

Menurutnya, kejadian itu membuatkan hatinya terus tertutup rapat buat pelakon terbabit yang berjanji akan berubah dan menjaganya dan anak-anak lebih baik.

“Bayangkan ketika dalam lokap, saya pergi melawat dan dia merayu supaya mencari wang untuk menjaminnya kerana tidak mahu tinggal lebih lama dalam lokap.

“Saya yang tak pernah menjejak kaki di lokap terpaksa bawa seorang anak kami dan Badrul ketika itu berjanji akan lebih menumpukan perhatian kepada keluarga apabila dibebaskan,” katanya.

Julia berkata, isteri mana yang tidak sedih melihat suami dipenjarakan dan ini membuatkan hatinya mula cair dan sanggup berhutang semata-mata mahu memastikan suaminya keluar lokap.

“Namun, saya kesal kerana tak sampai berapa jam selepas mahkamah membebaskannya sejurus dia membayar kompaun, Badrul sekali lagi buat hal.

“Dia tergamak merampas wang jaminan RM2,500 yang ketika itu dipegang rakan kami sebelum melarikan diri dengan seorang wanita yang menunggunya dalam kereta,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pelakon lelaki terbabit pada mulanya menghubungi rakan wanita mereka yang bertindak sebagai penjamin dan bertanyakan mengenai wang jaminan berkenaan.

Wang jaminan itu dimasukkan ke akaun penjamin berkenaan atas perintah mahkamah sebaik perbicaraan kes Badrul didakwa mencederakan Julia selesai apabila mahkamah memerintahkan dia membayar kompaun RM1,000 kepada isterinya, Isnin lalu.

Difahamkan, wang berkenaan dikumpul isterinya selain turut diberi ahli keluarga pelakon lelaki terbabit semata-mata untuk membayar wang jaminan bagi membebaskannya.

Badrul tidak puas hati dan meminta wanita itu mengeluarkan wang berkenaan dan menyerahkan kepadanya kerana mendakwa ia kepunyaannya.

“Bagaimanapun, saya menasihatkan rakan itu jangan mengikut kata suami saya dan meminta dia menunggunya di kaunter bank berhampiran Mahkamah Ampang. Bagaimanapun, Badrul terlebih dulu tiba kerana dia mengekori rakan kami itu hingga ke kaunter bank.

“Sebaik rakan kami mengeluarkan wang, suami saya terus merampasnya. Tidak lama selepas itu, saya tiba dan saya berjanji akan memberikan RM1,000 daripada wang itu kepadanya bagi membolehkannya membayar kompaun yang dikenakan mahkamah,” katanya.

Menurut Julia, berikutan itu dia meminta suaminya menyerahkan baki wang jaminan berkenaan, namun Badrul berdegil sebelum berlaku pergelutan.

Dalam pergelutan itu, Badrul menolak badan dan kepala Julia sebelum tergesa-gesa meninggalkan kawasan itu dengan sebuah kereta bersama seorang wanita yang menunggu di dalam kenderaan itu selepas menyedari perbuatannya diperhatikan orang ramai.

Julia berkata, kini perasaannya bercampur baur dan menyesal kerana menjamin suaminya.

“Saya sedih kerana suami tergamak melakukan demikian sedangkan wang itu yang akan digunakan untuk keperluan saya dan anak-anak. Namun, Badrul langsung tak ambil peduli kehidupan kami sekeluarga, malah saya yang terpaksa menanggung segala hutang dipinjamnya,” katanya.

Berikutan itu, Julia membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan tindakan suaminya itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.:-metro

Read more...

Kertas Siasatan Kes Aminulrasyid Diserah Kepada Timbalan Pendakwa Raya

Isnin, 12 Julai 2010



Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kertas siasatan berhubung kes remaja, Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati terkena tembakan polis pada 26 April lepas, telah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Isu sama ada suspek telah melakukan kesalahan atau tidak terletak di bawah bidang kuasa mahkamah.

"Oleh yang demikian, tidak wajar bagi kerajaan untuk mengambil sebarang tindakan sebelum kes tersebut diputuskan oleh mahkamah," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) di Dewan Rakyat di sini Isnin.

Lim ingin tahu mengapa kerajaan tidak meminta maaf secara rasmi kepada keluarga Aminulrasyid di Shah Alam, dan mengapa siasatan hanya dilakukan oleh Panel Khas diketuai Timbalan Menteri dan bukannya suatu siasatan terbuka.

Hishammuddin berkata beliau "setakat ini berpuas hati bahawa siasatan yang dijalankan adalah telus dan telah diselesaikan dalam tempoh singkat."

Beliau berkata Panel Khas yang ditubuhkan memantau secara langsung proses penyiasatan dijalankan oleh polis bagi memastikan siasatan adil, telus, tidak tertangguh dan menjamin keadilan kepada semua pihak terlibat.

Panel turut meneliti prosedur penggunaan senjata api oleh polis dan prosedur-prosedur lain berkaitan dengan operasi, penugasan polis dan seterusnya membuat syor bagi menambah baik prosedur berkaitan.

"Sehubungan itu, dakwaan bahawa Panel Khas ini menjalankan siasatan secara dalaman adalah tidak benar. Panel ini hanya memantau proses siasatan yang dijalankan oleh polis," katanya.

Read more...

chegubard ditahan polis

Sabtu, 10 Julai 2010





Seorang ahli majlis pimpinan pusat PKR Badrul Hisham Shaharin ditahan polis di Seremban antaranya ekoran tulisannya dalam blog mengenai Altantuya Shariibu.

Badrul yang juga dikenali sebagai Chegubard berkata, beliau ditahan di pejabat PKR Negeri Sembilan di Seremban ketika hendak mempengerusikan mesyuarat PKR cabang Rembau kira-kira jam 9 malam pada Jumaat.

“Baru nak pengerusikan mesyuarat cabang Rembau, sekumpulan 15 orang angggota polis serbu dan ambil Chegubard, ditahan dan dalam perjalanan ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Seremban,” tulisnya dalam laman blog mikro Twitter.

Badrul yang juga pengarang buku Di Sebalik misteri pembunuhan Altantuya juga menulis bahawa rumahnya di Bukit Chedang, Seremban digeledah polis selepas beliau ditahan.

Beliau memberitahu dibawa sekali ketika operasi itu dijalankan.

Polis kemudian merakamkan kenyataannya di IPD berkenaan, tulisnya lagi.

Ketika dihubungi Malaysiakini selepas dibebaskan dengan jaminan polis hampir jam 12 tengah malam tadi, Badrul mengesahkan laporan-laporan di Twitter berkaitan penahanannya.

Katanya, pihak berkuasa memberitahunya, beliau disiasat bawah akta hasutan kerana terdapat beberapa laporan polis dibuat terhadapnya dan ekoran kenyataannya di blog dan pentas ceramah.

“Saya ditunjukkan dan disoal berkaitan artikel di blog, antaranya berkaitan Altantuya dan raja.

"Ya, saya mengaku saya yang tulis,” katanya.

Ditanya tentang penggeledahan rumahnya oleh pihak polis, Badrul yang juga jurucakap NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata:

“Saya juga tidak jelas apa yang mereka (polis) cari. Tiada apa-apa diambil. Cuma polis mengambil gambar ruang kerja saya di rumah.”

Read more...

Zahrain sedia jumpa polis sebab Raja Petra

Khamis, 8 Julai 2010



Bukti yang mendakwa Parti Keadilan Rakyat (PKR) membiayai perbelanjaan penulis blog Raja Petra Kamaruddin di London telah diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, kata Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Katanya beliau telah menyerahkan bahan bukti itu yang berbentuk kandungan e-mel kepada Nazri dan beliau sendiri sedia disoal siasat oleh polis berhubung perkara itu.

"Saya sudah bagi dokumen itu kepada Nazri. Bukti itu nanti akan didedahkan pada masa yang sesuai dan menteri pun saya percaya dia sedia disiasat polis dan saya pun bersedia jika polis nak jumpa (saya) dan bincang," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Sabtu lepas, Nazri berkata kerajaan mempunyai bukti bahawa Raja Petra, yang melarikan diri ke luar negara, dibiayai oleh PKR di London.

Zahrain berkata beliau berharap kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan terperangkap dengan permainan politik PKR khususnya yang melibatkan isu Raja Petra dan penyiasat persendirian P.Balasubramaniam.

Sehubungan itu, beliau memuji keputusan SPRM baru-baru ini untuk tidak menghantar pegawainya ke London bagi mengambil keterangan Balasubramaniam berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Tahniah kepada SPRM kerana tidak pergi ke London jumpa Balasubramaniam. Kita pun tahu kalau pergi pun apa yang Balasubramaniam akan dedah sebenarnya adalah kata-kata atau skrip yang telah dibuat oleh peguam.

"Sebenarnya peguam ini ialah peguam PKR yang rapat dengan Anwar," katanya.

Zahrain juga menggesa Anwar dan Ketua PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim yang didakwa mempunyai hubungan baik dengan kedua-duanya supaya meminta Balasubramaniam dan Raja Petra pulang ke Malaysia.

"Kalau mereka ini adalah pemimpin negara yang bertanggungjawab, mereka harus nasihat dan meminta supaya kedua-dua mereka pulang ke Malaysia dan berdepan dengan sesiapa sahaja," kata Zahrain.

Zahrain juga menyokong kenyataan Anggota Parlimen Bebas Wee Choo Keong mengenai peranan Anwar dan Zaid dalam kes yang melibatkan Raja Petra dan Balasubramaniam, kerana menurutnya, "mereka ini rapat".



"Beberapa akhbar juga telah mengeluarkan gambar mengenai sahabat-sahabat akrab ini di London. Duduk di London bukannya murah, ia melibatkan kos yang tinggi, saya percaya mereka ada orang yang taja," kata Zaharain.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP