Klik disini

Memaparkan catatan dengan label muhyiddin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label muhyiddin. Papar semua catatan

Kesatuan Guru Setuju Mansuh Upsr Dan Pmr

Selasa, 20 Julai 2010




Rata-rata kesatuan guru yang menghadiri perbincangan meja bulat yang pertama mengenai pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hari ini, bersetuju dengan cadangan kerajaan itu.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Loke Yim Pheng berkata, pihaknya bersetuju dengan cadangan pemansuhan itu tetapi dengan syarat mempunyai kaedah lain untuk menilai prestasi pelajar.

Langkah itu penting bagi mengukur serta menilai tahap pelajaran yang diterima oleh pelajar dan mengelak mereka dan guru hilang tumpuan, katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perbincangan meja bulat itu yang dihadiri hampir 140 wakil golongan pendidik dan kesatuan guru termasuk dari Sabah dan Sarawak, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohd Sabri Mohd Arshad juga bersetuju kerana menganggap fungsi kedua-dua peperiksaan itu didapati kurang jelas.

Katanya, ia dilihat lebih kepada penilaian kognitif, iaitu berdasarkan penilaian dari segi intelektual semata-mata.

"Penilaian berdasarkan pensil dan kertas semata-mata. Jika kita lihat di negara lain, seperti New Zealand, tidak ada peperiksaan berpusat.

"Langkah ini (mansuh) baik kerana dapat menjimatkan wang seperti kos percetakan, elaun peperiksaan dan pengangkutan. Beban tugas guru juga akan berkurangan dan tidak perlu memberi tumpuan pada kelas-kelas tertentu," katanya.

Beliau berkata, beban ke atas ibu bapa juga akan berkurangan kerana tidak perlu menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen dan guru juga tidak perlu membuat kelas tambahan.

"Tugas guru akan lebih fokus untuk mengatasi masalah defisit pembelajaran seperti program 3M, disiplin pelajar dan sebagainya.

"Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga yang mahu para pelajar serba boleh turut akan dapat dicapai, termasuk hasrat kerajaan untuk memiliki modal insan bertaraf dunia," katanya.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Sabah Sarawak William Ghani Bina turut bersetuju dengan cadangan pemansuhan itu tetapi dengan syarat tidak membebankan tugas guru.

"Kalau boleh, guru-guru sekarang digantikan dengan guru-guru terlatih. Tidak ada lagi guru sandaran atau guru sandaran tidak terlatih.

"Lang
kah ini akan mengawal mutu pendidikan dengan lebih baik berikutan kapasiti sesebuah kelas akan menjadi kecil. Sekarang, kelas terlalu besar, dan tidak ada hubungan antara pelajar dan guru," katanya.

Bagaimanapun, Presiden Kesatuan Guru-Guru Sekolah Tamil Malaya, P. Pharmal Lingam pula tidak bersetuju dengan cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu kerana mendakwa tidak ada kayu pengukur untuk membuat penilaian terhadap guru dan murid.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, pelbagai pandangan diterima daripada perbincangan yang diadakan selama kira-kira tiga jam itu.

Bagaimanapun, katanya, tiada keputusan dibuat pada mesyuarat itu kerana ia bertujuan mendapatkan pandangan untuk dianalisis.

"Kita menggunakan empat jenis input untuk mendapatkan pandangan iaitu melalui pengumpulan berita daripada media, pandangan orang ramai melalui e-mel dan surat.

"Selain itu, melakukan kajian di sekolah dengan mengedar soalan bagi mendapatkan maklum balas daripada pelajar dan guru, dan input daripada dua perbincangan meja bulat ini," katanya.

Beliau berkata, laporan akhir akan siap pada akhir bulan Ogos ini selepas semua input diteliti sebelum dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Read more...

Empat adun Umno Pulau persidangan perwakilan

Jumaat, 16 Julai 2010



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini melahirkan rasa kecewa dengan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu yang dipulaukan oleh beberapa wakil rakyat di kawasan itu.

Mereka adalah ADUN Jabi, Ramlan Ali; ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh; ADUN Langkap, Asha'ari Idris dan ADUN Batu Rakit, Khazan Che Mat.

"Empat wakil rakyat tak hadir, saya pun dukacita jugalah, saya tak sebelahi mana-mana pihak dalam soal politik, tapi sebagai timbalan presiden saya rasa agak kecewa.

"Mungkin ada masalah tertentu, mungkin ada hubungkait dengan jawatan dan pimpinan. Apa yang saya nak tekankan, apa saja isu dan permasalahan yang timbul antara kita, mesti kita selesaikan dengan bijaksana," katanya kepada Bernama.

Turut hadir, ahli parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie yang juga ketua Umno bahagian Setiu dan ketua Umno bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.

Timbalan Presiden Umno itu juga mengingatkan ahli Umno supaya menyelesaikan segera permasalahan atau pergeseran yang berlaku sesama mereka dalam usaha mengembalikan semula kekuatan dan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Katanya, perpaduan dalam parti itu perlu segera diperkukuhkan kerana ia menyumbang bagi mengukuhkan kedudukan parti dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

"Kalau ada isu dan rasa tak puas hati, tersinggung atau dipinggirkan, apa saja perasaan dan sentimen yang merenggangkan hubungan dan memberi impak kepada usaha memperkukuhkan parti, hal sebegini perlu diselesaikan secepat mungkin.

"Saya sebut ini bukan saja untuk Setiu, malah juga di tempat-tempat lain," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu.

Dalam masa yang sama, kata beliau, anggota Umno sendiri perlu ikhlas dengan niat sebenar untuk menjadi anggota parti itu sama ada benar-benar ingin berjuang kepada parti atau sebaliknya.

"Sepatutnya jadi anggota Umno kita serah apa yang ada pada kita, jiwa dan raga demi untuk perjuang nasib Orang Melayu dan Islam di negara kita. Kita ada pilihan, tak ada orang marah kalau tak jadi anggota Umno," katanya.

Katanya menjadi kewajipan dan tanggungjawab semua pihak sama ada di peringkat pimpinan dan akar umbi untuk mengekalkan hubungan baik dan mencari jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang timbul.

"Bermuhasabahlah kita, dengan mengambil langkah yang bijaksana untuk selesaikan masalah kita. Lagi cepat selesai, lagi baik kerana tanggungjawab kita nak bela dan beri perhatian nasib bangsa kita dan dalam masa sama kita tidak abai tanggungjawab untuk pimpin masyarakat lain kerana kita jadi kerajaan," katanya.

Muhyiddin berkata Umno perlu bangkit semula dalam situasi mencabar terutama selepas keputusan mengejutkan pada Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Katanya, usaha perlu dilipat ganda untuk menebus balik negeri-negeri yang terlepas ke tangan pembangkang dan mengembalikan kedudukan dua pertiga Barisan Nasional di parlimen.

"Senario hari ini, kita bukan lagi menghadapi cabaran tetapi ancaman dan kedudukan kita boleh tergugat kalau kita tak jaga.

"Pokoknya, usaha yang boleh kita lakukan untuk kukuhkan parti, jika kuat, rakyat lebih yakin dengan kita, mana yang duduk di tepi-tepi, mereka akan kembali yakin kepada kita, pimpinan dengan semangat baru, mereka akan kembali sokong kita," katanya.

Read more...

Kolej Komuniti: TPM Umum Tempoh Pembelajaran Disingkatkan

Rabu, 14 Julai 2010




KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan program pengukuhan Kolej Komuniti yang antara lain menggariskan tempoh pembelajaran bagi sembilan sektor terpilih disingkatkan daripada dua tahun kepada tiga ke enam bulan mulai tahun ini.

Program jangka pendek Sijil Kemahiran Modular Kebangsaan adalah antara inisiatif yang dirangka untuk pengukuhan institusi Kolej Komuniti selain melaksanakan program memperkasakan program pembelajaran sepanjang hayat dan mempergiatkan program perantisan.

Kementerian Pengajian Tinggi juga sedang merangka Program Pemindahan Ilmu antara Kolej Komuniti dan universiti bagi membolehkan hasil penyelidikan di universiti dapat dinikmati masyarakat setempat melalui Kolej Komuniti.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran semasa berucap melancarkan program itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini yakin inisiatif itu akan menjadikan Kolej Komuniti sebagai pemangkin utama kepada pembentukan masyarakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi di negara ini.

Beliau berkata, warga Kolej Komuniti perlu sentiasa bertindak secara proaktif dalam melakukan inovasi pembangunan kurikulum, latihan sumber manusia, pemantapan struktur dan tadbir urus institusi serta pengukuhan kerjasama antara institusi dan industri.

"Saya percaya usaha berterusan Kolej Komuniti dalam memperkukuh halatuju, memperkasa pengajian sepanjang hayat, menstruktur semula program latihan berasaskan kemahiran dan mewujudkan kerjasama dengan pihak industri dan universiti akan memacu institusi ini ke arah merealisasikan program pengukuhannya," kata beliau.

Muhyiddin menambah, program itu juga sejajar dengan matlamat kerajaan untuk memperluaskan akses rakyat kepada pendidikan dan latihan berasaskan kemahiran bagi melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan tenaga mahir negara.

Mengenai Program Pemindahan Ilmu antara universiti dan Kolej Komuniti pula, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia akan meletakkan Kolej Komuniti pada kedudukan yang amat strategik sebagai sebuah institusi pendidikan dan latihan yang berperanan menyalurkan penemuan-penemuan baru hasil penyelidikan universiti tempatan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.

"Ini adalah satu bentuk inovasi dalam penyediaan program latihan kemahiran berasaskan penyelidikan yang wajar dikembangkan lagi.

"Saya percaya dengan adanya program seumpama ini, tenaga kerja yang dilahirkan oleh kolej komuniti akan dapat menguasai pelbagai bentuk kemahiran baru yang akan meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing mereka," katanya.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP