Klik disini

Memaparkan catatan dengan label bn. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bn. Papar semua catatan

Esok Penentu Petisyen Hulu Selangor

Selasa, 20 Julai 2010




Mahkamah Pilihan Raya Selasa menolak bantahan awal oleh peguam Datuk Zaid Ibrahim dan akan mendengar permohonan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan, untuk membatalkan petisyen yang dikemukakan oleh peguam itu.

Hakim Datuk Azahar Mohamed memerintahkan hakim pilihan raya mempunyai kuasa sedia ada untuk menolak atau melupuskan petisyen itu sekira ianya cacat.

Mahkamah diberi kuasa untuk berbuat demikian jika petisyen itu tidak memenuhi syarat mandatori yang ditetapkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954, katanya.

Azahar berkata beliau akan mendengar merit permohonan Kamalanathan esok.

Zaid, kini sebagai Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, kalah kepada Kamalanathan dengan majoriti 1,725 undi pada pilihan raya kecil Hulu Selangor pada 25 April lalu.

Pada 24 Mei lalu, Zaid memfailkan petisyen supaya keputusan pilihan raya kecil itu diisytiharkan tidak sah dan batal dengan mendakwa berlaku rasuah dalam bentuk sogokan kepada penduduk di kawasan itu.

Zaid menamakan Kamalanathan, pegawai pengurus pilihan raya Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Azahar berkata beliau juga akan mendengar bantahan awal yang dikemukakan oleh SPR atas alasan Zaid telah gagal menyediakan bukti secukupnya terhadap dakwaan rasuah itu.

Beliau menjelaskan kuasa yang diberikan kepada hakim pilihan raya untuk menolak petisyen pilihan raya telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam beberapa kes sebelum ini.

"Pada petisyen pilihan raya yang dikemukakan oleh pengundi PAS, Ahmad Jamaluddin Abd Majid terhadap Rafidah Aziz, Mahkamah Persekutuan memerintahkan bahawa hakim pilihan raya mempunyai kuasa untuk menolak petisyen itu sekiranya mempunyai kecacatan," katanya.

Zaid dan Kamalanathan hadir di mahkamah hari ini.

Kamalanathan, yang juga Ketua Penerangan MIC, telah memohon untuk membatalkan petisyen itu atas alasan ianya mengaibkan, remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Katanya Zaid gagal mendedahkan identiti orang yang dikatakan telah ditawarkan rasuah.

Peguam Zaid, Azahar Azizan Harun, sebelum itu mengemukakan bahawa di bawah Seksyen 36(1) Akta Kesalahan Pilihan raya 1965, hakim pilihan raya tidak mempunyai kuasa untuk melupuskan petisyen itu tetapi harus menentukan sama ada wujud sebarang amalan rasuah atau amalan haram dalam perbicaraan penuh.

Peguam Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Kamalanathan, berhujah bahawa ada beberapa petisyen pilihan raya ditolak tanpa perbicaraan penuh dan ianya disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Oleh itu, Mahkamah Pilihan Raya tertakluk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan," katanya.

Read more...

Najib Akan Lawat Kawasan terpencil Serawak




KUCHING: Long Banga, antara kawasan paling terpencil di Sarawak, akan menerima tetamu istimewanya Khamis ini apabila Datuk Seri Najib Razak berkunjung ke situ untuk menemui penduduk di situ pada satu majlis pemimpin bersama rakyat.

Perdana Menteri juga dijadual merasmikan Jambatan Sungai Puak di Long Banga, satu kawasan dalam daerah Baram yang hanya dapat dihubungi menerusi jalan balak yang mengambil masa lapan jam dari Miri menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Menurut atur cara lawatannya yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Sarawak hari ini, Najib akan juga melawat Pekan Bekenu untuk menghadiri satu lagi majlis pemimpin bersama rakyat, diikuti dengan satu program dinamakan "Sentuhan Harapan Petronas" di Stesen Petronas Senadin di bandar Miri.

Pada malamnya, Perdana Menteri akan menghadiri satu jamuan bersama rakyat di stadium tertutup Miri sebelum berlepas ke Kuala Lumpur

Read more...

Harga petrol, diesel, gula dan gas LPG naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini

Khamis, 15 Julai 2010



Harga petrol, diesel, gula dan gas LPG naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Petrol RON 95 dan RON 97 serta diesel naik 5 sen.

Manakala harga gula pula naik 25 sen, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram

Kenaikan semua harga tersebut akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Berikut adalah harga baru:

- Petrol RON 95 - RM1.85 seliter.

- Petrol RON 97 - RM2.10 seliter.

- Diesel - RM1.75 seliter.

- Gula - RM1.70 sekilogram

- Gas LPG - RM1.85 sekilogram

Berikut adalah harga baru gas:

* Tong 14KG - dari RM24.50 kepada RM25.90 (naik RM1.40)

* Tong 12KG - dari RM21.00 kepada RM22.20 (naik RM1.20)

* Tong 10KG - dari RM17.50 kepada RM18.50 (naik RM1.00)

Read more...

Elaun khas bn di potong



 DUN Selangor meluluskan usul memotong elaun khas ADUN BN Datuk Mohd Satim Diman (Seri Serdang) setelah didapati bersalah menghina dewan.

Keputusan itu dibuat ekoran kegagalannya hadir dalam sesi pendengaran jawatankuasa hak dan kebebasan walaupun telah diperintahkan berbuat demikian.

Keputusan itu dicapai setelah speaker membuat pengundian suara sebentar terhadap cadangan jawatankuasa itu sebentar tadi sebelem dewan ditangguhnya pada jam 4.30 petang.

Usul menerima penyata jawatankuasa hak dan kebebasan DUN Selangor bagi mengesyorkan hukuman kepada Mohd Satim itu dibentangkan oleh ADUN Bukit Tunku Lau Weng San.

Ia merupakan usul terakhir sepanjang empat hari DUN Selangor bersidang pada sesi ini.

Menurut speaker Teng Chang Kim, tindakan itu dianggap sebagai menghina dewan menurut Perkara 76 Peraturan Tetap DUN Selangor.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan melanggar hak dan kebebasan dewan berhubung kenyataannya mengenai menteri besar semasa membahaskan Bajet Selangor 2010 pada November tahun lalu, Mohd Satim didapati tidak bersalah.

Dalam sidang media selepas itu, Teng menjelaskan sesi pendengaran berhubung kes itu dijalankan walaupun tanpa kehadiran Mohd Satim.

Bagaimanapun, tambahnya, Khalid diwakili peguamnya Malik Imtiaz.

Teng berkata, hasil keterangan dalam sesi tersebut, jawankuasa mendapati apa yang didakwa Mohd Satim dalam dewan tidak salah walaupun tidak menggambarkan isu sebenar secara menyeluruh.

"Tetapi kerana enggan hadir sesi pendengaran, beliau dihukum denda RM1,500 yang dipotong daripada elaun khasnya," kata Teng.

Read more...

Adun Bn tidak boleh menolak menjadi pengerusi PAC



 ADUN BN Datuk Shamsudin Mohd Lias (Sungai Burong) tidak boleh menolak pelantikannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) negeri kerana ia merupakan satu usul yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN), kata speaker Teng Chang Kim.

"Selagi sudah diluluskan dewan, terpulanglah kepada mereka untuk terima atau tidak.

"Tetapi dari sudut dewan, usul sudah lulus melainkan ada usul untuk meminda (keputusan itu) dibentangkan," kata Teng ketika ditanya sama ada BN boleh menolak pelantikan tersebut.

DUN Selangor hari ini meluluskan usul untuk melantik Shamsudin sebagai pengerusi PAC, yang dianggap sebagai satu sejarah.

Ia diluluskan walaupun dibantah oleh wakil rakyat BN sewaktu usul itu dibahaskan dan kemudiannya mereka mengundi menolaknya.

Bercakap dalam sidang media selepas DUN berhenti rehat tengah hari tadi, Teng menjelaskan sekiranya pengerusi tidak menjalankan tugasnya, jawankuasa itu masih boleh berfungsi seperti biasa.

"Mana-mana anggotanya boleh dilantik mempengerusikan jawatankuasa tersebut," katanya apabila ditanya mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap Shamsudin sekiranya beliau tidak menjalankan tugasnya.

Teng juga mempersoalkan tindakan ADUN BN cuba menolak usul tersebut kerana dakwanya perkara itu telah dipersetujui dengan ketua pembangkang Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sendiri.

Tambahnya, cadangan awal itu telah dinyatakan kepada Dr Mohd Khir dalam pertemuan mereka di pejabat speaker.

"Kalau mereka (pembangkang) ikhlas, kenapa dari mula lagi mereka tidak bantah," katanya sambil mendakwa pendirian ADUN BN tidak konsisten.

Justeru, Teng berharap isu tersebut tidak dipolitikkan bagi tujuan "fahaman sempit politik".

Beliau juga menjelaskan, nisbah anggota jawatankuasa itu - dua daripada BN dan lima daripada Pakatan - dibuat menurut peruntukan berdasarkan nisbah keanggotaan dalam dewan.

"BN ada satu pertiga (dalam dewan). Jadi dua (anggota PAC) daripada tujuh itu paling hampir," jelasnya yang juga ADUN Sungai Pinang.

Read more...

Malaysia Bertuah Ada Rosmah Yang Banyak Idea



Malaysia Bertuah Ada Rosmah Yang Banyak Idea : Musa Aman



KOTA KINABALU, 15 Julai (Bernama) -- Malaysia bertuah kerana mempunyai isteri seorang Perdana Menteri yang mempunyai banyak idea dan komitmen tinggi dalam membantu kerajaan memajukan negara, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Komitmen Datin Seri Rosmah Mansor dalam membantu usaha kerajaan di bawah kepimpinan suaminya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mendahulukan rakyat menampakkan hasil dengan pengwujudan program seperti Permata Negara, katanya.

"Kita dapat melihat matlamat program Permata Negara adalah untuk melahirkan modal insan yang menjadi aset paling penting untuk memajukan negara.

"Kita juga perlu terus mendukung usaha Datin Seri Rosmah yang sentiasa prihatin dan memberi perhatian mendalam membela golongan kurang upaya yang merupakan antara rakyat yang perlu didahulukan," katanya ketika merasmikan Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia 2010 di sini pada Khamis.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) dan isteri Musa, Datin Seri Faridah Tussin, selaku Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat BN Sabah (Bakisa).

Musa berkata isteri wakil-wakil rakyat turut berperanan mempereratkan ikatan kekeluargaan dalam BN.

"Meskipun mempunyai latar belakang yang berbeza mengikut negeri masing-masing, namun itu tidak menghalang untuk kita bersatu hati. Sesungguhnya, kita adalah 1Malaysia," katanya.

Musa juga berkata program menghimpun isteri wakil-wakil rakyat seluruh negara untuk mewujudkan persefahaman, perpaduan dan semangat muhibah secara tidak langsung meningkatkan kewibawaan dan imej pemimpin serta kerajaan BN di mata rakyat.

Read more...

Jangan Keterlaluan Perjuangkan Kaum: Najib

Rabu, 14 Julai 2010

Perdana Menteri berkata mereka perlu melihat dalam konteks negara ini secara keseluruhannya yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Kita tidak boleh menyekat mana-mana pihak tetapi kita tidak hendak perbalahan berlaku yang menyebabkan sentimen perkauman itu menjadi-jadi dalam negara kita.

"Itu yang mesti kita bendung kerana saya mengajukan bahawa semangat 1Malaysia itu menjadi panduan kita," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulan, penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 dan Penganugerahan Pembaharuan Pensijilan 5S Perbendaharaan Malaysia di sini Rabu.

Najib diminta mengulas mengenai cadangan penubuhan "Perkasa Cina" oleh Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim untuk berdepan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak orang Melayu iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang diterajui Datuk Ibrahim Ali.

Ditanya mengenai cadangan supaya kuasa pendakwaan kes-kes rasuah diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Najib berkata perkara itu masih dalam kajian dan memerlukan pindaan Perlembagaan.

"Jadi, ada kekangan dalam hal itu sebab pada masa sekarang, kita (Barisan Nasional) tiada majoriti dua pertiga dalam Parlimen," katanya.

Diminta mengulas mengenai pendirian pakatan pembangkang yang bersetuju supaya kuasa pendakwaan itu diberikan kepada SPRM, Najib berkata: "Nanti kita timbang dan kaji."

Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah berpandangan kuasa untuk pendakwaan kes rasuah harus diletakkan di bawah Ketua Pesuruhjaya SPRM dan bukan di bawah Peguam Negara

Read more...

Mahkamah Tetapkan 20 Julai Untuk Dengar Permohonan Batalkan Petisyen Pilihanraya Hulu Selangor

Selasa, 13 Julai 2010



KUALA LUMPUR 13 Julai - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 20 Julai ini untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim.

Read more...

ISU PASIR:PENJELASAN MB SELANGOR

Isnin, 12 Julai 2010




Langkah kerajaan Selangor mewujudkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bertujuan mengawal industri perlombongan pasir yang sebelum ini memberikan pihak tertentu peluang mengaut keuntungan mudah daripada kegiatan berkenaan, kata menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Selain itu, ia juga bertujuan membolehkan Selangor mengenali selok belok industri berkenaan untuk mengenalpasti ketirisan yang berlaku dalam kegiatan perlombongan pasir.

"Saya dapati terlalu ramai mereka yang terlibat dalam operasi pasir ini bukan saja individu. Ada juga kepimpinan kampung, pegawai kerajaan, pembawa lori, dan rupa-rupanya samseng pun terlibat.

"Barulah saya tahu industri ini ramai peminat. Bila kita kurangkan duit poket ini, terdapat heboh begitu besar, tapi kita mesti selesaikan," katanya ketika menjawab soalan lisan di DUN Selangor hari ini.

Soalan tersebut dikemukakan Mohd Shamsudin Lias (BN Sungai Burong) yang bertanyakan jumlah kerugian yang dialami Selangor akibat kegiatan kecurian pasir.

Dalam soalannya itu, Mohd Shamsudin turut menyoal langkah-langkah yang diambil kerajaan negeri dalam menangani isu berkenaan.

Khalid dalam jawapannya berkata, pada tahun 2006 kerajaan negeri memperoleh royalti sebanyak RM4.37 juta. Manakala bagi tahun 2007 pula jumlah kutipan berjumlah RM4.2 juta - jauh daripada kutipan sepatutnya yang dijangkakan sebanyak RM30 juta setahun.

"Kecurian masih berleluasa. Kita dapati (hasil) berjumlah RM30 juta tidak terkutip sebab kita tidak kawal. Jadi cara kita adalah tubuhkan Kumpulan Semesta," katanya.

Dedah nama

Tambahnya, hasil daripada langkah itu, kerajaan negeri berjaya mengutip hasil sebanyak RM7 juta pada 2008, tidak termasuk keuntungan daripada KSSB.

"Kenyataannya, (KSSB) bukan saja untuk tingkatkan royalti. Unjuran awal bukan (hanya) RM10 hingga RM20 juta, tapi untuk 2010 mereka jangka keuntungan melebihi RM25 juta," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga bercadang untuk mendedahkan senarai individu yang menerima lesen pengeluaran pasir sebelum 2008 untuk membolehkan masyarakat tahu sama ada indvidu berkenaan merupakan pengeluar pasir yang sebenar.

"Ikut kajian kita, 80 peratus daripada mereka tak kenalpun jentera tapi dapat lesen untuk dijual. Sekarang kita buat perubahan," katanya.

Katanya lagi, kaedah menangkap individu terlibat dalam kegiatan tersebut dan menyita peralatan mereka didapati tidak berjaya menyelesaikan masalah berkenaan.

"Untuk ini kerajaan berpendapat, salah satu usaha bukan saja selesaikan pengeluaran tetapi juga mengawasi penggunaan atau pengeluaran," katanya lagi.

Jelasnya, kaedah mengenakan kawalan di pihak pengguna pasir didapati berkesan untuk mengawal industri perlombongan, seperti yang diamalkan dalam industri minyak.

"Dulu kita hanya sekat tempat keluar pasir. Sekarang strategi kita ialah tempat penggunaan pasir. Kita akan letakkan pegawai untuk buat semakan sama ada pasir diambil dari tempat yang diluluskan kerajaan negeri.

Rampas tanah persendirian

"Contohnya, kawasan pembinaan jalan untuk kapal terbang (tambang murah) LCCT yang perlukan berjuta tan pasir," katanya lagi.

Katanya, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan pengeluar simen di Selangor supaya dapat bekerjasama bagi menentukan sama ada mereka membeli pasir daripada kawasan yang diberikan lesen.

"Kita tubuhkan syarikat kerajaan negeri (KSSB) untuk bersaing dan selesaikan masalah, sebab kita tidak tahu tentang industri ini. Kita tidak tahu siapa pembeli, siapa penggunanya," katanya.

Katanya lagi, selain langkah makro seperti itu, kerajaan negeri juga akan mengadakan mesyuarat mingguan dengan pegawai setiap daerah untuk mengenalpasti kawasan yang berlaku kecurian pasir.

Tambahnya, kerajaan juga akan membayar sagu hati sebanyak RM5,000 kepada pemberi maklumat yang boleh mendedahkan maklumat kegiatan kecurian pasir.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan langkah untuk merampas tanah milik persendirian yang membiarkan kegiatan kecurain pasir dilakukan di tanah mereka.

"Kerajaan negeri setuju beri borang 7A untuk rampas tanah tersebut, dan bila dirampas, tanah akan jadi milik kerajaan dan kerajaan negeri akan jaga tanah tersebut supaya tidak berlaku kecurian.

"Hampir 7, 8 keping tanah sudah kita ambil kerana mereka tidak jaga tanah mereka dan dibiarkan dicuri," katanya lagi.

Tambahnya, peruntukan untuk penguatkuasaan seperti itu akan dibiayai oleh KSSB.

Read more...

PM yakin johor kubu kuat Umno

Ahad, 11 Julai 2010




Adakah johor akan kekal menjadi kubu kuat umno?

Perdana Menteri melahirkan keyakinan negeri Johor akan terus kekal menjadi kubu kuat kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno, sebagaimana yang telah berlaku sejak dahulu lagi.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno berkata, walaupun begitu usaha mengukuhkan perpaduan dan kesetiaan di kalangan pemimpin dan anggota Umno Johor perlu terus diperkukuhkan.

"Saya yakin kita akan terus menang di Johor, tetapi kejayaan itu perlu disusuli dengan usaha mengukuhkan kesetiaan dan perpaduan di kalangan anggota. Jangan ada cerita-cerita sumbang," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pulai serta Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini pada Ahad.

Katanya, Umno sememangnya merupakan kubu kuat kepada Umno sejak zaman pengasasnya Allahyarham Datuk Onn Jaafar dan aspek itu perlu dipertahankan dan dikekalkan oleh anggotanya sehingga kini dan masa depan.

Perdana Menteri meminta setiap pemimpin dan anggota Umno Johor supaya "menjaga Johor baik-baik" dan memastikan ia terus menjadi kubu kuat kepada Umno serta BN, walaupun menyedari ia kini menjadi tumpuan parti pembangkang.

"Jagalah kawasan kita (Johor) baik-baik sebab pembangkang menyerang Johor kerana mengetahui negeri ini adalah kubu kuat kepada Umno dan BN," katanya.

Untuk memastikan Johor terus kekal menjadi kubu kuat kepada Umno dan BN, Perdana Menteri juga menasihatkan anggota parti supaya sentiasa mengamalkan kerja sebagai sebuah pasukan.

Katanya, perlawanan suku akhir bola sepak Piala Dunia 2010 di antara Brazil dan Belanda sebagai contoh di mana kelonggaran semangat berpasukan telah mengakibatkan Brazil tewas 1-2 di tangan Belanda.

Gol pertama Belanda pada perlawanan itu, kata Perdana Menteri, merupakan gol sendiri yang terhasil akibat salah faham di antara pemain pertahanan dan penjaga gol Brazil.

Najib juga meminta pemimpin Umno daripada bahagian yang sama tetapi turut memegang jawatan anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri, supaya terus bekerjasama sebagai satu pasukan bagi mengelak "menjaringkan gol sendiri."

Perdana Menteri turut meminta pemimpin Umno supaya tidak "syok" sendiri dengan sokongan yang diterima mereka daripada anggota parti dan ketua-ketua cawangan di bahagian mereka.

Katanya, sokongan daripada anggota parti sendiri itu tidak membawa erti jika sebahagian besar masyarakat tidak berpuas hati dengan perkhidmatan dan kerja yang dilaksanakan olehnya.

Pemimpin dan anggota Umno, menurut beliau, perlu responsif dan "mendengar degup nadi rakyat" dengan memberikan perkhidmatan terbaik dalam menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi oleh rakyat.

Najib berkata, tidak ada parti politik lain yang dapat mengambil alih peranan yang dimainkan oleh Umno di dalam menentukan kelangsungan hidup orang-orang Melayu.

"Umno tiada gantinya atau alternatif. Tidak ada parti lain selain daripada Umno (di dalam memperjuangkan masa depan orang Melayu)," kata Perdana Menteri.

Selain itu, katanya, Umno sebagai parti teras di dalam BN juga perlu memahami aspirasi kaum-kaum lain dan tidak hanya yang berkenaan dengan orang Melayu.

Turut hadir pada majlis perasmian itu adalah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dan Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP