Malaysia Bertuah Ada Rosmah Yang Banyak Idea
Khamis, 15 Julai 2010
Malaysia Bertuah Ada Rosmah Yang Banyak Idea : Musa Aman
KOTA KINABALU, 15 Julai (Bernama) -- Malaysia bertuah kerana mempunyai isteri seorang Perdana Menteri yang mempunyai banyak idea dan komitmen tinggi dalam membantu kerajaan memajukan negara, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Komitmen Datin Seri Rosmah Mansor dalam membantu usaha kerajaan di bawah kepimpinan suaminya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mendahulukan rakyat menampakkan hasil dengan pengwujudan program seperti Permata Negara, katanya.
"Kita dapat melihat matlamat program Permata Negara adalah untuk melahirkan modal insan yang menjadi aset paling penting untuk memajukan negara.
"Kita juga perlu terus mendukung usaha Datin Seri Rosmah yang sentiasa prihatin dan memberi perhatian mendalam membela golongan kurang upaya yang merupakan antara rakyat yang perlu didahulukan," katanya ketika merasmikan Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia 2010 di sini pada Khamis.
Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) dan isteri Musa, Datin Seri Faridah Tussin, selaku Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat BN Sabah (Bakisa).
Musa berkata isteri wakil-wakil rakyat turut berperanan mempereratkan ikatan kekeluargaan dalam BN.
"Meskipun mempunyai latar belakang yang berbeza mengikut negeri masing-masing, namun itu tidak menghalang untuk kita bersatu hati. Sesungguhnya, kita adalah 1Malaysia," katanya.
Musa juga berkata program menghimpun isteri wakil-wakil rakyat seluruh negara untuk mewujudkan persefahaman, perpaduan dan semangat muhibah secara tidak langsung meningkatkan kewibawaan dan imej pemimpin serta kerajaan BN di mata rakyat.
0 ulasan:
Catat Ulasan