Media Pakatan Bergabung perjuang kebebasan media
Jumaat, 16 Julai 2010
Program menziarahi ketua pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman oleh pengarang media Pakatan Rakyat petang semalam menghasilkan satu resolusi iaitu untuk bergabung bagi memperjuangkan kebebasan media di negara ini.
Menurut Harkahdaily, keputusan itu dicapai selepas sessi sembang-sembang antara mereka di rumah Ahmad Lutfi dekat Ampang yang berlangsung dari jam 3 hingga 5 petang semalam.
Ahmad Lutfi masih bercuti selepas menjalani pembedahan pintasan jantung dua bulan lalu di pusat perubatan UKM.
Beliau dijangka akan mula bertugas semula awal Ogos depan.
Antara yang hadir pada pertemuan itu adalah ketua pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib dan ketua pengarang Harakahdaily Zulkifli Sulong serta para wartawan masing-masing.
Ziarah itu menjadi penting ekoran tindakan KDN terhadap permit akhbar masing-masing. Harakah sudah mendapat permit semalam namun terpaksa mematuhi syarat yang ketat dari KDN.
Antara syarat yang perlu dipatuhi adalah hanya boleh dijual di markas PAS sahaja.
Sehingga kini KDN belum membuat sebarang keputusan untuk permit Suara Keadilan milik PKR dan Rocket iaitu akhbar DAP.
"Kalau selama ini, masing-masing bergerak sendiri walaupun di bawah satu bumbung iaitu Pakatan Rakyat, mulai hari ini kami akan bergabung dalam usaha untuk membebaskan media di negara ini dari kongkongan pelbagai akta," kata Ahmad Lutfi.
Ahmad Lutfi mempunyai pengalaman yang banyak dalam menghadapi KDN kerana permit penerbitan majalah dan akhbar yang dikendali beliau pernah diharamkan oleh KDN.
Dalam pertemuan itu, keputusan dicapai untuk bertemu lagi minggu depan bagi merancang aktiviti bagi memperjuangkan kebebasan media di negara ini.
Lebih ramai pengarang dan aktivis media akan dilibatkan bagi menjayakan rancangan itu.
0 ulasan:
Catat Ulasan