Klik disini

Dr Pornthip Hadir Inkues Teoh Pada 18 Ogos

Rabu, 14 Julai 2010




Mahkamah Koroner di sini menetapkan 18 Ogos untuk pakar forensik Thai Dr Pornthip Rojanasunand memberi keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock.

Tarikh itu diputuskan selepas kerajaan Selangor menarik balik permohonan supaya Dr Pornthip, yang sebelum ini mendakwa beliau menerima tekanan supaya tidak meneruskan keterangannya, dibenarkan memberi pendapat beliau menerusi persidangan video.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh memberitahu Koroner Azmil Muntapha Abas bahawa beliau telah menerima surat daripada Dr Pornthip semalam yang menyatakan kesediaannya untuk hadir memberi keterangan di mahkamah atas kebenaran Kementerian Keadilan Thailand.

Azmil sepatutnya membuat keputusan berhubung permohonan untuk membenarkan beliau memberi keterangan melalui persidangan video.

"Jika tiada bantahan daripada pihak lain dan ada surat daripada Kementerian Keadilan Thailand, jadi keperluan untuk kita membuat persidangan video ini tiada lagi dan Gobind dan peguam Malik Imtiaz Sarwar telah menarik balik permohonan. Kita benarkan," katanya.

Sementara menunggu kehadiran Dr Pornthip, Azmil memutuskan untuk memanggil beberapa saksi lain dahulu pada 23 Julai, termasuk ahli majlis perbandaran Kajang Tan Boon Wah.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Sebelum ini, semasa memberi keterangan pada inkues itu, Dr Pornthip berpendapat Teoh tidak membunuh diri, sebaliknya beliau yakin bahawa 80 peratus lelaki itu dibunuh.

Berikutan keterangan Dr Pornthip itu, mahkamah membenarkan mayat lelaki itu dibedah siasat kali kedua oleh Ketua Unit Patologi Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Nor, pada 22 Nov tahun lepas.

Proses bedah siasat kedua itu turut dihadiri Dr Pornthip yang mewakili kerajaan negeri Selangor manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili oleh pakar Britain, Prof Dr Peter Vanezis.

Dr Vanezis dalam keterangannya berkata Teoh berada dalam keadaan sedar semasa jatuh dan juga tiada bukti Teoh dicekik.

0 ulasan:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP