Klik disini

Najib mencadangkan pergabungan syarikat-syarikat automotif malaysia

Sabtu, 10 Julai 2010



Katanya hanya syarikat yang berinovatif, yang sanggup melakukan perubahan dan mempunyai model perniagaan yang mampan sahaja akan benar-benar berjaya dalam abad ke-21 ini.

"Kalau sekiranya terlebih kapasiti merupakan satu daripada hambatan atau kekangan kepada syarikat-syarikat, apakah patut dilakukan proses untuk menggabungkan syarikat-syarikat automotif dalam negara kita supaya akan wujud syarikat yang lebih kuat, lebih besar dan lebih mampu lagi?," katanya semasa berucap sempena makan malam gala sambutan ulang tahun ke-25 Proton di sini malam Jumaat.

"Saya menyebut perkara ini sebagai bayangan supaya dalam kita menyambut 25 tahun kejayaan proton, saya juga ingin mengingatkan kita semua bahawa kejayaan pada masa lalu tidak menjamin kejayaan masa hadapan," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau ingin melihat kejayaan yang berterusan dari syarikat pengeluar kereta nasional itu seperti mana syarikat itu berjaya sejak ia ditubuhkan pada 1983.

"Saya ingin melihat Proton merupakan syarikat yang benar-benar membawa bendera kejayaan negara Malaysia sepertimana proton dilahirkan 25 tahun dahulu, ketika kereta saga yang pertama meluncur atas jalanraya kita dengan penuh kebanggaan, maka kita mesti jadikan Proton kebanggaan Malaysia dalam tempoh 25 tahun yang akan datang," kata Najib.

Yang turut hadir pada majlis sambutan itu ialah Penasihat Proton Tun Dr Mahathir Mohamed, yang juga pencetus idea untuk mengeluarkan kereta nasional itu.

Najib juga berkata kerajaan akan terus membantu Proton untuk terus berjaya dalam masa akan datang.

Selain itu, katanya faktor skala ekonomi turut menyumbang kepada kemampuan sesebuah syarikat untuk bersaing terutama sekali dalam bidang automotif.

Sehubungan itu, katanya Proton haruslah mampu untuk memenuhi kehendak pelanggan dan pasaran, bukan sahaja dari segi reka bentuk dan kualitinya, malah juga selera dan segala aspek yang perlu diambil kira.

Melalui proses penyusunan semula dalaman Lotus dan mewujudkan beberapa unit perniagaan strategik di dalam Proton yang menggabungkan kekuatan keseluruhannya, kemampuan syarikat pengeluar kereta nasional itu akan dapat ditingkatkan lagi.

"Jika proses penyusunan semula ini berlaku, ia akan dapat memaksimumkan segala kemahiran dan teknologi yang ada padanya dan meletakkan asas untuk mampu bersaing ke tahap yang lebih tinggi lagi," katanya.

Antara sumbangan terbesar Proton adalah kepada ekosistem automotif negara dalam memelihara kewujudan dan pembangunan para vendor.

Sehingga ini, sebanyak 153 syarikat vendor tempatan telah memperolehi manfaat sejajar dengan kemajuan yang dicatatkan oleh Proton, kata Najib.

Katanya Proton bukan sekadar sebuah perniagaan atau syarikat biasa tetapi sebaliknya sebuah usaha ikon negara untuk melakukan perubahan bukan sahaja dalam segi pembangunan teknologi tetapi sosio-masyarakat Malaysia amnya.

Pada majlis yang sama, sebanyak 651 pekerja Proton yang menjadi perintis kepada permulaan syarikat pengeluar kereta nasional itu turut diraikan oleh syarikat itu.

0 ulasan:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP