Klik disini

Memaparkan catatan dengan label dap. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dap. Papar semua catatan

Tutup premis judi,arak dan rumah urut,Khir sedia mintak maaf

Sabtu, 31 Julai 2010




Dr Mohamad Khir berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha DAP Selangor, Lau Weng Sang pada sidang akhbar di sini hari Jumaat yang memberikan tempoh sehingga 12 tengah hari Ahad ini kepada Dr Mohamad Khir mengemukakan bukti atau senarai nama kumpulan samseng yang didakwanya melindungi kegiatan mencuri pasir di Selangor.

Lau berkata jika bekas Menteri Besar Selangor itu gagal berbuat demikian, beliau perlu memohon maaf secara terbuka kepada DAP Selangor.

Sekiranya Dr Mohamad Khir gagal melakukan satu daripada dua perkara itu, DAP Selangor akan membuat polis atau mengambil tindakan undang-undang terhadapnya, katanya.

Semalam, Dr Mohamad Khir mendakwa kumpulan samseng yang melindungi kegiatan mencuri pasir di Selangor mempunyai kaitan dengan DAP Selangor.

Read more...

Mansuh Diskaun Rumah Rm500,000 keatas bumiputera:selangor

Rabu, 28 Julai 2010



Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata cadangan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua supaya diskaun bumiputera dimansuhkan dalam pembelian rumah adalah bagi hartanah bernilai RM500,000 ke atas.

Beliau berkata Pua tidak mencadangkan pemansuhan diskaun bagi pembelian rumah kos rendah atau mampu milik dalam lingkungan RM250,000 seunit.

Ditanya sama ada cadangan itu akan diambil kira dalam pembentangan bajet negeri bagi 2011, Abdul Khalid berkata: "Kalau setuju akan ditulis dalam ucapan bajet, kalau tak ada, kita diam sahaja."

Katanya, cadangan Pua itu ada rasionalnya kerana jika berhasrat membantu mereka yang kurang berkemampuan, diskaun tersebut perlu ditumpukan kepada golongan berkenaan.

"Kedua, antara sebab dia (Pua) katakan (perkara) tersebut, kalau diskaun tujuh peratus untuk rumah RM1 juta, orang itu akan dapat diskaun RM70,000.

"Kalau dia beli rumah tu kemudian jual pada harga pasaran, dia sudah dapat RM70,000 atau kurang sedikit," katanya selepas penutupan Majlis Dialog Bajet 2011 Selangor di siniSelasa.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri mendapati urusniaga sedemikian telahpun berlaku.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Dana Program Ramadan di Gaza anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama gabungan badan bukan kerajaan Malaysia.

Katanya, program itu dijangka dapat mengumpul dana sebanyak RM3 juta dan sebagai permulaan, kerajaan negeri memberikan sumbangan berjumlah RM500,000.

Kutipan derma juga akan dilakukan pada setiap solat Jumaat, selain mengharapkan sumbangan daripada syarikat berkaitan dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata hasil kutipan dalam bentuk makanan, minuman, ubat-ubatan dan bahan pendidikan akan dihantar ke ke Gaza melalui misi yang disertai 40 aktivis diketuai Pengarah Penerangan Selangor Dr Badrul Amin Bahron.

Mereka akan bertolak dari Kuala Lumpur pada 6 Ogos ini dan kembali ke tanah air pada 18 Ogos.

Read more...

Pemuda Umno selangor Hantar Dokumen isu Pasir Ke SPRM

Selasa, 20 Julai 2010




Pemuda Umno Selangor pada Selasa menghantar sejumlah dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini sebagai sokongan kepada dakwaan penyelewengan pasir yang dibuat Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Noh Omar Sabtu lepas.

Ketua Penerangannya Safarizul Mustafa berkata dokumen setebal setengah inci itu dihantar bersama bukti seperti resit rasmi berkaitan aktiviti penjualan dan pembelian pasir di negeri itu.

"Buah semangka berdaun sirih, mengata orang dia yang lebih. Kita bukan seperti mereka yang mendakwa tanpa bukti, jadi hari ini kita kemukakan bukti kepada SPRM untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata semua dokumen itu diperolehi daripada badan perhubungan Umno Selangor.

Pemuda juga akan terus mengumpul bukti berhubung isu pasir di negeri tersebut bagi memastikan isu berkenaan diambil serius oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, katanya.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini mendakwa mempunyai bukti wujud penyelewengan dan amalan pilih kasih oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam menawarkan pembelian pasir kepada syarikat kontraktor.

Antaranya beliau mendakwa KSSB memberi diskaun 22 peratus atau RM4 bagi pembelian setiap tan pasir yang berharga RM17.50 kepada sebuah syarikat, manakala yang lain hanya diberi potongan sebanyak 50 sen.

Selain itu Noh juga mendakwa KSSB memberi kemudahan kredit kepada sebuah syarikat dan lima kontraktor untuk mengorek pasir pasir tanpa perlu membayar deposit.

Read more...

Media Pakatan Bergabung perjuang kebebasan media

Jumaat, 16 Julai 2010



Program menziarahi ketua pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman oleh pengarang media Pakatan Rakyat petang semalam menghasilkan satu resolusi iaitu untuk bergabung bagi memperjuangkan kebebasan media di negara ini.

Menurut Harkahdaily, keputusan itu dicapai selepas sessi sembang-sembang antara mereka di rumah Ahmad Lutfi dekat Ampang yang berlangsung dari jam 3 hingga 5 petang semalam.

Ahmad Lutfi masih bercuti selepas menjalani pembedahan pintasan jantung dua bulan lalu di pusat perubatan UKM.

Beliau dijangka akan mula bertugas semula awal Ogos depan.

Antara yang hadir pada pertemuan itu adalah ketua pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib dan ketua pengarang Harakahdaily Zulkifli Sulong serta para wartawan masing-masing.

Ziarah itu menjadi penting ekoran tindakan KDN terhadap permit akhbar masing-masing. Harakah sudah mendapat permit semalam namun terpaksa mematuhi syarat yang ketat dari KDN.

Antara syarat yang perlu dipatuhi adalah hanya boleh dijual di markas PAS sahaja.

Sehingga kini KDN belum membuat sebarang keputusan untuk permit Suara Keadilan milik PKR dan Rocket iaitu akhbar DAP.

"Kalau selama ini, masing-masing bergerak sendiri walaupun di bawah satu bumbung iaitu Pakatan Rakyat, mulai hari ini kami akan bergabung dalam usaha untuk membebaskan media di negara ini dari kongkongan pelbagai akta," kata Ahmad Lutfi.

Ahmad Lutfi mempunyai pengalaman yang banyak dalam menghadapi KDN kerana permit penerbitan majalah dan akhbar yang dikendali beliau pernah diharamkan oleh KDN.

Dalam pertemuan itu, keputusan dicapai untuk bertemu lagi minggu depan bagi merancang aktiviti bagi memperjuangkan kebebasan media di negara ini.

Lebih ramai pengarang dan aktivis media akan dilibatkan bagi menjayakan rancangan itu.

Read more...

Adun Bn tidak boleh menolak menjadi pengerusi PAC

Khamis, 15 Julai 2010



 ADUN BN Datuk Shamsudin Mohd Lias (Sungai Burong) tidak boleh menolak pelantikannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) negeri kerana ia merupakan satu usul yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN), kata speaker Teng Chang Kim.

"Selagi sudah diluluskan dewan, terpulanglah kepada mereka untuk terima atau tidak.

"Tetapi dari sudut dewan, usul sudah lulus melainkan ada usul untuk meminda (keputusan itu) dibentangkan," kata Teng ketika ditanya sama ada BN boleh menolak pelantikan tersebut.

DUN Selangor hari ini meluluskan usul untuk melantik Shamsudin sebagai pengerusi PAC, yang dianggap sebagai satu sejarah.

Ia diluluskan walaupun dibantah oleh wakil rakyat BN sewaktu usul itu dibahaskan dan kemudiannya mereka mengundi menolaknya.

Bercakap dalam sidang media selepas DUN berhenti rehat tengah hari tadi, Teng menjelaskan sekiranya pengerusi tidak menjalankan tugasnya, jawankuasa itu masih boleh berfungsi seperti biasa.

"Mana-mana anggotanya boleh dilantik mempengerusikan jawatankuasa tersebut," katanya apabila ditanya mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap Shamsudin sekiranya beliau tidak menjalankan tugasnya.

Teng juga mempersoalkan tindakan ADUN BN cuba menolak usul tersebut kerana dakwanya perkara itu telah dipersetujui dengan ketua pembangkang Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sendiri.

Tambahnya, cadangan awal itu telah dinyatakan kepada Dr Mohd Khir dalam pertemuan mereka di pejabat speaker.

"Kalau mereka (pembangkang) ikhlas, kenapa dari mula lagi mereka tidak bantah," katanya sambil mendakwa pendirian ADUN BN tidak konsisten.

Justeru, Teng berharap isu tersebut tidak dipolitikkan bagi tujuan "fahaman sempit politik".

Beliau juga menjelaskan, nisbah anggota jawatankuasa itu - dua daripada BN dan lima daripada Pakatan - dibuat menurut peruntukan berdasarkan nisbah keanggotaan dalam dewan.

"BN ada satu pertiga (dalam dewan). Jadi dua (anggota PAC) daripada tujuh itu paling hampir," jelasnya yang juga ADUN Sungai Pinang.

Read more...

Jangan Keterlaluan Perjuangkan Kaum: Najib

Rabu, 14 Julai 2010

Perdana Menteri berkata mereka perlu melihat dalam konteks negara ini secara keseluruhannya yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Kita tidak boleh menyekat mana-mana pihak tetapi kita tidak hendak perbalahan berlaku yang menyebabkan sentimen perkauman itu menjadi-jadi dalam negara kita.

"Itu yang mesti kita bendung kerana saya mengajukan bahawa semangat 1Malaysia itu menjadi panduan kita," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulan, penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 dan Penganugerahan Pembaharuan Pensijilan 5S Perbendaharaan Malaysia di sini Rabu.

Najib diminta mengulas mengenai cadangan penubuhan "Perkasa Cina" oleh Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim untuk berdepan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak orang Melayu iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang diterajui Datuk Ibrahim Ali.

Ditanya mengenai cadangan supaya kuasa pendakwaan kes-kes rasuah diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Najib berkata perkara itu masih dalam kajian dan memerlukan pindaan Perlembagaan.

"Jadi, ada kekangan dalam hal itu sebab pada masa sekarang, kita (Barisan Nasional) tiada majoriti dua pertiga dalam Parlimen," katanya.

Diminta mengulas mengenai pendirian pakatan pembangkang yang bersetuju supaya kuasa pendakwaan itu diberikan kepada SPRM, Najib berkata: "Nanti kita timbang dan kaji."

Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah berpandangan kuasa untuk pendakwaan kes rasuah harus diletakkan di bawah Ketua Pesuruhjaya SPRM dan bukan di bawah Peguam Negara

Read more...

Negara Islam Akan menjadi kenyatan Apabila Umno Dan Pas bersatu

Ahad, 11 Julai 2010



KOTA BHARU: Cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan jika PAS dan UMNO bersatu dan bekerjasama.

Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas Agama Islam (JASA), Lokman Nor Adam, berkata cita-cita PAS merealisasikan hasrat itu akan menjadi lebih mudah jika mereka berbaik-baik dan bekerjasama dengan UMNO berbanding dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Katanya, kedua-dua parti pakatan pembangkang itu ternyata mempunyai dasar perjuangan yang berbeza, di mana DAP jelas menolak Islam, manakala PKR adalah parti yang memperjuangkan kepentingan peribadi pemimpin.
"Sebab itu tiada sebab PAS tidak menyahut salam UMNO untuk berbaik-baik dan melupakan sejarah hitam menyebabkan kedua-dua parti itu berpecah daripada gabungan dalam Barisan Nasional (BN) pada 1977.

"Jika UMNO dan PAS bekerjasama banyak perkara boleh direalisasikan, termasuk melaksanakan hukum hudud, berbanding dengan tindakannya bekerjasama dengan DAP dan PKR yang ternyata mempunyai dasar dan matlamat perjuangan yang berbeza," katanya pada majlis Wacana Perdana di Balai Islam, Lundang, di sini, malam tadi.

Wacana yang lebih berbentuk debat terbuka antara kedua-dua parti terbesar PAS dan UMNO itu sedikit tercemar oleh sikap penonton yang mengejek sesetengah ahli panel.

Turut diundang menganggotai panel ialah bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Mujahid Yusoff Rawa; dan Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Mohd Affandi Yusoff.
Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, menjadi moderator wacana yang bertajuk "Bolehkah Melayu Bersatu?".

Kira-kira 3,000 penyokong kedua-dua parti itu hadir pada majlis itu.

Lokman yang sebelum ini bekas ahli PKR berpendapat PAS tidak mungkin dapat menubuhkan negara Islam seperti yang diharapkan kerana tidak mempunyai kuasa yang cukup dua pertiga di Parlimen jika tidak bersatu dengan UMNO yang mempunyai suara majoriti orang Melayu dan Islam.

Sementara itu, Dr Mohd Asri berpendapat bersatu untuk menyokong sesebuah parti politik tidak membawa makna selagi ia tidak diasaskan kepada bersatu dalam erti kata menegakkan wadah perjuangan Islam yang sebenar.

"Semangat perpaduan dan bersatu dalam konteks bangsa sahaja tidak menjamin perpaduan dalam erti kata sebenar, buktinya dapat dilihat apabila masih ramai umat Islam di dunia yang berpecah belah dan tidak bersatu kerana tidak meletakkan asas perpaduan Islam," katanya.

Read more...

Roket pula tamat premit

Sabtu, 10 Julai 2010



Selain Suara Keadilan dan Harakah, permit penerbitan bagi sebuah lagi akhbar Pakatan Rakyat -- Roket juga setakat ini masih belum diperbaharui.

difahamkan, tempoh permit bagi akhbar bulanan DAP yang diterbitkan dalam versi bahasa Melayu, Cina dan Inggeris itu telahpun luput.

Permit edisi bahasa Inggeris Roket tamat pada Jun lalu, manakala edisi bahasa Melayu dan bahasa Cina pula masing-masing tamat pada September dan November tahun lalu.

Setiausaha publisiti DAP Tony Pua ketika dihubungi berkata permohonan untuk memperbaharui permit berkenaan telahpun dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Namun, KDN biasanya lambat memberikan jawapan sehingga memaksa mereka mencetak nombor permit lama pada keluaran baru Roket.

Beliau memberi contoh, permit bagi edisi bahasa Inggeris yang tamat pada 30 Jun lalu, sebelum ini dipohon pada 4 September 2008.

Jawapan bagi permohonan tersebut hanya diterima pada 8 September 2009.

Bagi edisi bahasa Melayu, permit tahunan yang tamat tempoh pada 15 September 2010 itu pula diterima pada 11 Jun lalu, sedangkan permohonan pembaharuan dibuat pada 4 September 2008.

"Jadi kami biasanya akan mendapat permit, cuma ia sampai kepada kami sangat lewat," katanya ketika dihubungi.

Apabila jawapan itu diterima, tempoh permit itu sudahpun hampir tamat dan mereka perlu memohon untuk memperbaharuinya semula.

"Setiap tahun pun macam itu, ia akan mengambil masa sedikit sebelum jawapan diterima.

"Tetapi setakat ini kita tidak menghadapi masalah untuk memperbaharuinya. Kadang-kadang mereka hantar surat sahaja," katanya lagi.

Salah satu surat yang diterima itu kira-kira setahun lalu ketika DAP menerbitkan edisi bahasa Tamil bagi Roket.

"Kami terlupa untuk menghantar enam naskhah kepada mereka kerana akhbar itu diterbitkan jarang-jarang sekali, setiap tiga atau empat bulan sekali.

Sebelum itu pula, Roket menerima satu lagi surat daripada KDN kerana mencetak nombor permit lama pada edisi yang baru, walaupun mereka telah menerima permit baru.

Pua menjelaskan, tindakan mereka mencetak nombor permit lama adalah disebabkan kelewatan KDN memberi jawapan kepada permohonan mereka.

Beliau turut ditanya sama ada Roket turut menerima tekanan daripada KDN, seperti yang dialami rakannya Harakah dan Suara Keadilan.

"Tidak, kita tidak jangka apa-apa masalah. Setiap tahun kita akan buat pembaharuan, cuma biasanya lambat sikit (dapat jawapan)," katanya.

Sementara itu, ketua pengarang akhbar berkenaan Wan Hamidi Hamid pula berkata, Roket sememangnya berhak diterbitkan oleh DAP, semenjak parti itu ditubuhkan pada tahun 1967.

"Permit penerbitan tersebut hanyalah keperluan birokrasi bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984," katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai usaha oleh pengurusan akhbar tersebut untuk memperbaharui permit tahunan bagi Roket, Wan Hamidi berkata perkara itu tidak perlulah diperbesar-besarkan.

"Tidak perlulah fokus tentang perkara itu sebab kita bimbang Roket pula akan dijadikan sasaran KDN.

"Roket sememangnya kita ada permit, ia sentiasa diperbaharui setiap tahun," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, Roket juga setakat ini belum menerima apa-apa surat daripada KDN berhubung penerbitan terbarunya.

"Jadi kita akan teruskan penerbitan seterusnya seperti biasa," katanya lagi.

Read more...

Pertelingkahan pas dan dap tak jejaskan pakatan pembakang,anwar ibrahim



Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertelingkahan antara pimpinan tertinggi PAS dan DAP tidak akan menjejaskan keharmonian pakatan pembangkang.

Menurut beliau, PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mencapai persefahaman tentang perkara-perkara dasar antaranya melibatkan pentadbiran, agama Islam sebagai agama persekutuan dan kedudukan mahkamah Syariah.

"Ia hanya melibatkan perbezaan pendapat dan boleh diselesaikan dengan perbincangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Harapan Baru Untuk Malaysia (SEHARUM) 2010 untuk pimpinan PKR negeri di sini, Jumaat.

Beliau mendakwa isu perbalahan antara Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP Karpal Singh berhubung pembentukan negara Islam sengaja ditimbulkan oleh parti lawan untuk lagakan parti-parti pembangkang.

Anwar berkata mesyuarat membabitkan pimpinan tiga parti itu diadakan setiap minggu.

Anggota Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata PKR sedang menggerakkan anggotanya di peringkat negeri sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Read more...

Pilihan Raya ke 13 Awal febuari 2011 ?

Khamis, 8 Julai 2010


Membaca berita Utusan ini - seolah-olah saya dapat membaca apa yang tersimpan di dalam kota minda DS Najib. Menjanjikan duit raya kepada semua peneroka tanah rancangan Felda merupakan satu tanda atau signal awal bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir. Menjanjikan "satu kejutan" - DS Najib dilihat sudah boleh mencongak bilakah tarikh pilihanraya yang terbaik untuk melakar kejayaan dan kemenangan. Mungkin saya terlalu awal menghitung teka-teki ini. Namun demikian, pilihan raya Sarawak bisa sahaja dilakukan pada bila-bila masa sahaja daripada sekarang - kerana tempoh tamat rasminya adalah Jun 2011.

Kebiasaanya, pilihan raya Sarawak tidak akan menunggu sehigga saat-saat akhir, maka ramai pemerhati mengesyaki paling lewat, pilihan raya Sarawak akan diadakan pada awal tahun hadapan. Di sisi lain pula, ramai juga pemerhati politik percaya bahawa pilihan raya Sarawak akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-13, memandangkan iklim politik di Sarawak yang semakin berubah sejak DAP merampas kerusi parlimen Sibu baru-baru ini.

Bagi mengelakkan sentimen kekalahan BN yang mungkin agak banyak di Semenanjung daripada menular masuk ke Sarawak dan memberi kesan pengundian di sana. Maka, secara teorinya - pilihan raya perlu diadakan serentak, sekali gus mengurangkan kekuatan pembangkang dari segi tumpuan. Secara teknikalnya ia nampak sangat relevan dan objektif - namun tidak semestinya tepat. Jesteru itu - di bawah ini saya paparkan rasa hati,firasat dan cakap-cakap rakan UMNO saya baru-baru ini berkenaan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 akan diadakan.

1. Tarikh Pembubaran Parlimen : Penghujung Januari 2011

2. Tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 : Awal Februari 2011

3. Hampir semua calon BN/UMNO yang menang dalam Pilihan Raya ke-12 dikekalkan, kerana DS Najib tidak mahu mengambil risiko kekalahan, seandainya memilih calon baharu yang kurang dikenali.

Walauapa pun alasannya. Untuk lebih tepat, kita harus menunggu ucapan dasar DS Najib di Perhimpunan Agung UMNO Oktober depan. Mungkin pada waktu itu - teka-teki Pilihan RayaUmum ke-13 bakal terjawab. Wallahualam.

Read more...

Tiada sesiapa didakwa akibat stadium runtuh




Tidak ada orang kena dakwa walaupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu bernilai RM292 juta runtuh dalam tempoh 10 bulan.

Ahli Parlimen Kawasan Taiping, Nga Kor Ming hari ini mendedahkan walaupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu yang menelan belanja RM292 juta runtuh dalam tempoh 10 bulan setelah pembukaan rasmi, tidak ada sesiapapun didakwa atas kejadian yang menjejaskan imej Negara.

Nga Kor Ming berkata di parlimen hari ini, mengikut jawapan dari Menteri Kerja Raya, Shaziman, kontraktor utama projek berkenaan, iaitu Konsortium Bina Struktur-Emarcon-Genggam Mercu JV telah diarahkan oleh kerajaan Negeri Terengganu untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan sisa keruntuhan bumbung di Stadium itu kerana projek itu masih dalam tempoh warranti semasa kejadian runtuhan berlaku.

Walau bagaimanapun, kontraktor konsortium itu enggan melaksanakan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa runtuhan dan pembaikan walaupun beberapa surat peringatan telah dikeluarkan kepada pihak Kontraktor. Oleh itu, kerajaan terpaksa menawarkan tender baru pada 22 Mac 2010 untuk membersihkan sisa runtuhan Stadium yang menganjurkan SUKMA 2009 tersebut. Tender tersebut telah ditutup pada 19 April 2010.
Menurut Menteri berkenaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) telah menggantung lesen pendaftaran kontraktor utama projek tersebut dan mengenakan tindakan senarai hitam kepada Ahli Ahli Lembaga Pengarah dan pengarah sahamnya dari mengambil bahagian dalam mana-mana tender kerajaan mulai 4 September 2009.

Nga Kor Ming berkata, berbanding dengan Singapura, tindakan kerajaan jelas gagal mencegah kejadian sedemikian dari berlaku pada masa depan kerana pihak yang mengakibatkan keruntuhan stadium dan kerugian harta kerajaan tidak perlu menghadapi tindakan Mahkamah.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah mengambil iktihbar dari siri kejadian projek-projek kerajaan yang menjejaskan imej Negara.

"Di depan mata kita, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang bumbungnya bocor, bangunan parlimen yang menghadapi kebocoran sama, Hospital Pandan, Johor Bharu yang dijangkiti fungi, Masjid Besut Terengganu yang runtuh, Bangunan Perbadanan Taman Negeri Perak yang runtuh hancur berkecai, Jejantas Kepong yang retak dan begitu banyak contoh kesemuanya mencerminkan tanda-tanda kejatuhan kerajaan Barisan Nasional." tegas Nga.

Nga Kor Ming menyeru supaya semua projek pembinaan awam dipilih menerusi sistem tender terbuka yang telus demi membela kepentingan awam dan mengelakkan kos pembinaan projek-projek awam melambung tinggi sehingga menyebabkan Negara rugi RM28 billion saban tahun dan mengelakkan Negara terus dilanda ledakan hutang Negara yang menggunung sehingga RM378.3 billion setakat 31 Mac 2010.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP