Klik disini

pergabungan proton dan produa

Isnin, 26 Julai 2010




Menggabungkan Proton dan Perodua menjadi satu entiti, akan menjadi satu langkah ke hadapan untuk merangsangkan industri automotif Malaysia, demikian menurut Persatuan Vendor Proton (PVA).

Presidennya, Datuk Dr Wan Mohamed Wan Embong berkata sudah tiba masanya untuk kedua-dua syarikat pengeluar kereta negara ini melihat kepada kesan positif pengukuhan kerana ia akan membantu industri automotif berkembang ke persada antarabangsa.

"Daripada perspektif kami, kita perlu melihat masa depan dan bukannya hari ini kerana dalam bergerak ke hadapan, industri pastinya akan berhadapan dengan cabaran yang lebih hebat," kata beliau kepada Bernama dalam satu temubual.

"Malah, seluruh ekonomi dunia akan menjadi lebih mencabar, penuh dengan ketidakpastian. Walaupun ada sesetengah pihak menyatakan yang cabaran adalah peluang, saya percaya terdapatnya tekanan untuk melaksanakannya," kata beliau.

Terdahulu, dilaporkan yang kerajaan telah memberi petanda perlunya penggabungan dalam industri automotif, terutamanya antara Proton Holdings dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).

Dalam memberikan pandangan persatuan itu, Wan Mohamed berkata, "mula-mula, kita perlulah melihat kepada bahagian yang positif.

"Proton hari ini lebih baik berbanding tiga tahun dahulu dan kita perlu berterima kasih kepada pengurusan baharu kerana Proton telah kembali mencatatkan keuntungan tahun lepas.

"Saya percaya prestasi mereka akan lebih baik tahun ini, mendahului rangkaian beberapa model baharu yang telah dirancang untuk Proton," kata beliau.

Wan Mohamed berkata penguasaan pasaran Proton dalam pasaran domestik juga telah meningkat dengan ketara.

"Tiga tahun lepas, penguasaan Proton ialah 27-28 peratus dan baru-baru ini, mereka hampir menguasai 30-31 peratus dalam pasaran domestik berasaskan jumlah keluaran industri (TIV).

"Berdasarkan kepada unjuran pengeluaran, Proton akan menghasilkan lebih daripada 200,000 kereta pada tahun kewangan ini (Mac 2010 hingga Mac 2011)."

Menurut Wan Mohamed, satu kelebihan utama Proton ialah pada masa ini, ia mempunyai kapasiti lebihan.

"Kapasiti lebihan ini sudah pastinya boleh digunakan oleh Perodua tanpa perlu membuat pelaburan lain yang seterusnya. Ini akan menjurus kepada penambahbaikan kecekapan pengeluaran," kata beliau.

Wan Mohamed berkata menggabungkan kepakaran kejuruteraan dan perkhidmatan Perodua dan Proton, akan menjuruskan kepada beberapa penjimatan kos.

"Mereka juga akan mempunyai lebih ramai jurutera untuk melihat kepada pembangunan reka bentuk dan pemprosesan yang lebih baik," kata beliau.

Wan Mohamed berkata penggunaan bahagian-bahagian alat ganti biasa oleh Proton dan Perodua boleh membawa kepada skala ekonomi dan mengurangkan kos.

Beliau berkata terdapat juga kemungkinan untuk kedua-dua berkongsi platform dalam menghasilkan model-model baharu yang juga boleh menjimatkan kos dengan lebih signifikan.

Untuk industri automotif Malaysia berkembang, Wan Mohamed berkata "kita tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada pasaran domestik."

"Kita perlu memasuki pasaran seberang laut, jadi lebih global dan sehubungan ini, Proton telah bersedia untuk membimbing Perodua menggunakan rangkaian semasanya untuk membawa kereta-kereta Perodua ke pasaran seberang laut dengan lebih agresif lagi," kata beliau.

Wan Mohamed berkata boleh juga dilaksanakan pengukuhan di kalangan wakil penjual Proton dan Perodua, sekali gus membolehkan wakil penjual masing-masing menjual lebih banyak kereta.

Beliau berkata di bahagian vendor pula, kira-kira 70 peratus daripada mereka telahpun terlibat dalam kedua-dua Proton dan Perodua.

Bergerak ke hadapan, Wan Mohamed berkata "kita masih memerlukan rakan kongsi seberang laut yang boleh dan akan membawa Proton dan Perodua ke satu peringkat lain".

"Kalau tidak, ia akan mengambil masa yang agak lama jika kita melakukannya sendiri," kata beliau.

Wan Mohamed berkata industri ini berkembang amat pantas, malah gabungan kapasiti 500,000 unit setahun masih lagi kecil dari segi pelaburan tinggi yang diperlukan dalam penyelidikan dan pembangunan untuk seiring dengan teknologi.

"Inilah sesuatu yang hari diteliti oleh Proton dan Perodua. Sudah tiba masanya bagi kita untuk meninjau secara giat rakan kongsi yang boleh membawa kita ke peringkat yang lebih tinggi dan ini mesti dilakukan dengan segera," kata beliau.

"Bagi kami, jika kita mempunyai operasi yang besar dan kos setiap unit dikurangkan, maka secara keseluruhannya, ia memberikan faedah yang amat besar kepada semua pemegang kepentingan," tambah beliau.

0 ulasan:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP