Klik disini

Pemegang Sijil Skm boleh ke ipt

Khamis, 29 Julai 2010



Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pekerja berkemahiran tinggi kepada lima juta orang dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata setakat ini, jumlah pekerja berkemahiran tinggi ialah kira-kira 3.1 juta daripada keseluruhan 12 juta pekerja di negara ini.

"Ini bermakna setiap tahun kita perlu menukarkan atau melahirkan kira-kira 360,000 pekerja bukan berkemahiran tinggi kepada pekerja berkemahiran tinggi.

"Ia merupakan cabaran kepada kerajaan bagi menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) serta Akademi Latihan Pendidikan Vokasional (Veta).

Subramaniam berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya pelatih yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dapat melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah di kesemua politeknik di negara ini.

Beliau berkata kementeriannya menerusi institusi-institusi kemahiran akan menyediakan latihan di peringkat sijil atau memperoleh SKM.

"Secara prinsipnya, KPT bersetuju dengan langkah ini dan kita akan laksanakan secepat mungkin. Usaha ini akan membantu negara dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang kreatif dan inovasi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pemegang SKM akan diterima bagi memasuki skim perkhidmatan awam dan menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran perlu mengadakan kerjasama dengan IPT dan badan pensijilan dari dalam dan luar negeri.

"Ini bagi memberi peluang yang lebih luas kepada pemegang SKM untuk mendapatkan pekerjaan, meningkatkan kebolehkerjaan, membangunkan kerjaya atau melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran mahu pun bidang akademik ke peringkat lebih tinggi," katanya.

0 ulasan:

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP